Subscribe Twitter

Khamis, 24 Disember 2009

KUBUR MASING-MASING

Firman Allah s.w.t ;Wahai orang yang beriman, keatas kalian ( jagalah ) diri kalian, tidaklah orang yang sesat itu memberi mudharat keatas kalian, jika kalian telah diberi hidayah ( al-Maidah :105) .
Adakah ayat ini menjadi hujah kepada aku untuk berteleku dan berdiam diri daripada menyampaikan dan menyebarkan ayat Allah? Dengan alasan, ahh..cukuplah aku jage solat aku, jemaah di masjid setiap waktu, puasa, gi haji, tak payah nak disibukkan mereka yang tunggang-langgang tu, merempit, tunggang arak, dedah sana-sini, tak sembahyang, ponteng puasa.., kubur kan masing-masing, mereka tidak memberi mudharat kepada aku.
Perhatikan ayat diatas dengan teliti, seolah aku terlepas dari bebanan dakwah..
tapi, sedarkah aku firman Allah s.w.t; "Dan takutlah fitnah yang bukannya menimpa kepada orang yang zalim secara khusus.. (al-Anfal :25 )
Jika aku tidak berusaha seupaya aku, kemungkinan Allah akan menurunkan azab secara umum, bukannya khusus kepada si zalim, ah, bahkan berdiam diri melihat kemungkaran di depan mata, malah hati juga tridak diselimuti kebencian terhadap kefasadan, bukankah itu juga zalim namanya..
Diri ini terus beralasan, alah, kebathilah dah tersebar luas, nak dakwah apa lagi? takde makna daah..Kau fikir je diri kau, kubur kau, usah kisah dan peduli orang lain, aduhai malangnya diri ini, bukankah dakwah itu perlu dilaksanakan walau tidak diterima masyarakat? Allah menceritakan hal ini didalam al-Quran ; "dan ingatlah, ketika satu kaum dikalangan mereka berkata, mengapa kamu menasihati kaum yang dibinasakan atau diazab oleh Allah dengan azab keras? Mereka menjawab, "agar kami mempunyai alasan (terlepas tanggungjawab) kepada tuhanmu, dan semoga mereka bertaqwa, setelah mereka(orang yang zalim) melupakan apa yang diingatkan, kami selamatkan orang yang melarang kejahatan dan kami timpakan kepada orang yang zalim dengan siksaan yang keras disebabkan mereka berbuat kefasikan."
Ayat diatas menggambarkan ahli kampung yang berpecah kepada 3 kelompok, kelompok yang pertama adalah pelaku maksiat, puak yang kedua pula ialah mereka yang mengingkari perbuatan maksiat tersebut dan berusaha mengubahnya, manakala kumpulan yang ketiga adalah geng yang berdiam diri dan berteleku, tidak melakukan maksiat, mencegahnya juga tidak, bahkan mereka berkata kepada kumpulan yang kedua berusaha dijalan dakwah; "untuk apa kamu menasihatikaum yang dihancurkan dan diazab Allah dengan azab yang dahsyat? kenapa kamu menegah mereka sedangkan kamu tahu mereka tidak akan mendengar ajakan kamu dan berhak mendapat azab tuhan akibat kezaliman mereka? tak da faedah pun tegahan kamu keatas mereka..jawab golongan kedua itu, "kami sekadar melaksanakan kewajiban amar maaruf dan nahi mungkar, dan kami serahkan urusan selepas itu kepada Allah, kami sekada mengajak pemaksiat itu agar meninggalkan maksiat dan bertaubat kepada ALlah, muda-mudahan mereka menerima dakwah kami.
Tiada lagi alasan..alah.. jika engkau malas, katakan malas, "aku tak da ilmu," ceh, tak kan langsung tak da, tak kan kalimah syahadah pun tak faham..dakwahlah dengan kemampuan masing2, kalau dah malas sangat, aku minta satu je pada diriku ini, tolonglah jangan tambah kemaksiatan dan kemungkaran di muka bumi ini, jika engkau malas mencegahnya...be a good muslim.. tapi, tolonglah, sekurang-kurangnya jadikanlah hati engkau benci kepada maksiat, jika hati telah tenang dan rasa biasa je dengan kemaksiatan, dimana lagi iman ingin bertapak..Allahul musta'an..

Selasa, 8 Disember 2009

KEHIDUPAN DALAM KEMATIAN

Dan berilah perumpamaan kepada mereka ( manusia ) bahawa kehidupan dunia seperti air hujan yang kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuhan itu menjadi kering dan diterbangkan angin, dan Allah maha berkuasa atas segala sesuatu ( al-Kahfi :45 .
Ditenung dan direnung aksara dan makna ayat ini, aku bingung dengan percanggahan dalaman diriku, tadabbur yang menghasilkan keinsafan dan penyesalan, namun seringkali bersifat sementara. Ku yakini kehadiran maut yang berkunjung tanpa alamat, kudratku langsung tiada daya menahan dan menolak jemputannya, walau awal sedetik, hatta dita’khirkan sedetik juga mustahil.
Sebelum ku mulai safar sebentar tadi, ikrar telah termeterai, aku berjanji menjadi hambaNYA yang taat dan soleh, aku dibekalkan petunjuk agar selamat sampai ke destinasi, aku dipesan. “jangan kau memandan gmengikut apa yang kau mahu, tetapi kau mesti memandang mengikut apa yang sebenarnya!!” acap kali aku tewas, mengikut dan beramal berasaskan apa yang kau mahu, bukan apa yang sebenarnya Tuhanku mahu. Aku telah pun memulakan safar yang mencabar, perjalanan yang penuh muslihat, permainan dan tipu daya. Tiada masa rehat dan bersenang-lenang, kerana musuh yang menanti dan mengekori di sepanjang perjalanan langsung tidak pernah berehat daripada mengajak aku membuntutinya. Katanya, jalan yang aku pilih itu payah dan bosan, “kau ikut aku sajalah, tak penat, nikmat, senang amat..” hmm.. aku terfikir, si durjana itu tidak pernah tidurkah? Hah! Jika bangsat itu tidur, pasti aku bias rehat!
Selang beberapa ketika, aku bertemu dan Berjaya berhimpun dengan sekelompok manusia yang turut komited melalui jalan berliku ini, mereka mengajakku melangkah bersama, agar gagah, tidak goyah, saling kuat-memperkuat, seperti sebuah binaan. Katanya, kita umpama sekawan kambing, sukar untuk serigala mendekati kelompok yang banyak. Namun, jika menyendiri dan angkuh. Menganggap diri itu kuat dan tidak butuh pada kawan, maka, bersendirianlah kau melawan serigala.
Kali ini perjalananku lebih bermakna dan selamat. Namun, masih ada bahaya yang menanti, kerana memang fitrah manusia barangkali, tidak suka, mungkin juga gagal, untuk berfikir mengikut apa yang sebenarnya, tetapi memandang mengikut apa yang mereka mahukan.
Kumpulan ini kelihatan gagah bangat zahirnya, jumlahnya bukan sedikit, walau pada mulanya memang sedikit dan asing, dan pada suatu hari kelak, ketika perjalanan ini diambang dan dipuncak destinasi, akan berakhir sebagaimana bermulanya ia.
Dikala ini aku bingung dengan kita yang bersama tapi tidak bersatu, kita sedang dikerumuni musuh, bagaikan sekumpulan orang lapar yang mengerumuni hidangan lazat. Kita sering bercakaran, suka mengeluarkan orang dari jemaah kita. Kita lupa yang tuhan berkata. Bahawa umat ini adalah umat yang satu, kenapa kita bersungguh menyuruh saudara sekumpulan kita berfikir sebagaimana kita berfikir tentang hal yang cabang? Sedang tingkat dan tahap kesarjanaan kita berbeza. Aku hairan, kita ini sabarnya kurang, selalu ingin Berjaya dalam kegelojohan. Bukankah lebih baik dan perlunya kita menyatukan pemikiran yang kita semua telah sepakat dan setujui ia, serta mengajak mereka yang tidak pernah atau terlupa untuk memikirkannya, berfikir bersama-sama kita?
Zionis menari di sekeliling masjid al-Aqsa sambil menyanyi, “agama Muhammad telah hancur dan musnah, Muhammad telah mati, yang ditinggalkan hanyalah anak-anak perempuan yang lemah..” “arggh..!” jeritan Firdaus membingitkan telinga. “ kenapa kamu semua membatu melihat kami disini kesengseraan , tidakkah kamu melihat masjid-masjid yang berada di bumi suci ini dijajah, ada yang dirobohkan, dijadikan muzium, kandang lembu, kelab malam dan pusat pelacuran..!! bukankah kami juga saudara kalian? Bukankah kita diikat dengan simpulan yang sama?
Firdaus terus menangis, seluruh keluarganya dibunuh, esakannya bertambah kuat.. Dihatiku, kegeraman bercampur kesedihan. Geram dan benci dengan kedurjanaan si bangsat yahudi. Sedih dengna diriku dan saudaraku sekalian, ramainya yang menyembah barat dalam kehidupannya, yang punya kesedaran agama dan berilmu pula lain ceritanya. Tenggelam dalam dunia akademik, sehingga tidak timbul ilmu dan kepakarannya kepada masyarakat. Apakah tujuan ilmu didalami?
Rosaknya agama kristian kerana bertuhan tanpa agama. Terus yakin kepada Dia, tetapi hilang arah kerana rosaknya agama untuk berhubung denganNYA. Agama Islam kita rosak. Hingga ramai orang kita yang beragama tanpa tuhan, kerana kita terperangkap dalam ritual dan proses agama, kita gagal sampai kepadaNYA. Kita menyembah agama, bukan lagi tuhan. Kerana itu kita berbaklah, berkeluh-kesah dan memberontak. Kerana kita lupa yang kita hamba dan dia segalaNYA. Kita kelihatan seperti sangat beragama dek pengetahuan, dalam beragamanya kita, kita miskin dari hakikat DIA. Tidak terserlah kehambaan diri, tidak terlihat kebesaranNYA.
Aku sedih kita bodoh melihat hakikat keutamaan, kita berbalah tentang makna hadith ’nuzul Allah’ di sepertiga malam, maka lupalah kita tentang tuntutan sebenar hadith itu yang menyaran dan menggalakkan kita untuk bangun untuk berdoa, beribadah dan memohon ampun kepada Allah s.w.t, bukannya berbalah!!
Kata Firdaus, dia tidak dapat menemani safarku, tetapi berjanji untuk bertemu kembali di destinasi yang sepakat kami ingin tujui bersama, Cuma wasilah yang kami pilih berbeza.. tika merasa keseorangan, musuh yang setia menemaniku, yang tiada sifat putus asa dalam dirinya, kerap sahaja menyogokku dengan tawaran yang menggiurkan untuk menghiburkan hati dijalan hina menuju neraka. Kata Hamka, “ cinta itu iradah tuhan,dikirim ke dunia supaya ia tumbuh, kalau ia terletak diatas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain, kalau ia datang pada hati yang keruh, dan budi yang rendah ia akan membawa kerosakan, namun jika ia hinggap di hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat pada Ilahi..”
Benarlah wanita ini adalah fitnah terbesar bagi kaum Adam diatas muka bumi ini, kerana itu sesiapa yang telah berkahwin, umpama telah menyempurnakan separuh daripada agamanya, dan taqwa kepada Allah itu melengkapkan agama seseorang itu. Ah, siapa yang bisa terus hidup sendirian? Gejolak nafsu itu, perlu disalurkan kejalan syurga, kerana benih yang terhasil dari sulbimu itu bisa melahirkan permata yang menyatukan ummah, yang bisa menyedarkan si kaya yang mabuk, mengeluarkan kesengsaraan hidup si miskin yang merempat. Si kaya yang tersandar perlu disedarkan agar membantu si miskin yang terlantar. Dikala umur yang kian meningkat, aku juga butuh srikandi yang bisa menemaniku meneruskan safar ini. Agar aku punya pewaris, mungkin aku gagal untuk melihat Islam kembali memerintah bumi ini kerana umur yang punya batasnya, maka ku harap, pewarisku yang bakal menjulang panji megah ini. Teringat aku tok wan yang usianya melepasi separuh abad, menanam dan menyemai benih durian, kemanisan dan keenakan buahnya dan hasilnya, bukan lagi untuk dinikmati kerongkongnya, tetapi untuk anak cucunya. Begitulah aku, perlu menyediakan generasi selepasku, agar mereka bisa mengecapi hasil dan nikmat tatkala Islam menguasai alam.
Ikatan sesama Muslim yang kian hari tambah goyah dan longgar, aku tahu kemusykilan ini bukan mudah proses islahnya, kerap sahaja kita gelojoh mengusahakannya. Ada yang ingin cepat berubah menjadi pemerintah daripada terus diperintah dan dijajah. Akan tetapi sering kemahuan itu kita usahakan secara terburu-buru, emosi dan kejahilan. Jarang ditemui sifat kesabaran, ketabahan dan keteguhan dalam berazam dan berusaha. Ada yang ifrat, tidak kurang ramainya yang tafrit, bagi yang melampau dan gelojoh, aku melihat mereka ini seakan meledakkan kekuatan sebelum waktunya, seakan menjolok sarang tebuan. Huh.. keberanian tanpa kebijaksanaan pada hakikatnya, satu kebodohan yang mengundang kebinasaan. Tafrit? Usah bicara lagi, memang hari demi hari, jumlah muslim yang hilang sensitivity, sambil lewa dan memandang enteng masalah umat Islam ini kian ramai.
Allahuakbar 2x, ahh..! lamunanku terhenti dengan kalimah agung itu, jam di handphone ku jeling, menunjukkan jam 6.40 petang, waktu isya’ telah masuk di Riyadh, bergegas aku berwudu’, melangkah ke masjid yang hanya kira-kira 15-20 tapak dari bilikku, tak sempatku habiskan safarku, hmm, “ balik solat nanti nak mengelamun lagi lah, nak tamatkan safarku, mungkin boleh dapat good ending, Allah matikan aku dalam iman..

Khamis, 29 Oktober 2009

SUDAN KAH ATAU RIYADH..SEBUAH MONOLOG..

Alhamdulillah, kini aku telah berada di Riyadh, menyambung pengajian diperingkat Ijazah sarjana muda di Universiti Imam Muhammad ibn Sa'ud al-Islamiyyah.. Seminggu sebelum aku terbang ke Riyadh, sempat berjumpa dengan orang yang saya ingin sangat jumpa, Ust mad (Ahmad Izzuddin ), beliau sedang menyambung pengajian di peringkat PhD di UIAM dalam bidang hadith, pesan beliau pada saya, " bagus mengaji di Saudi, tapi anta jangan beku lah... "

Hmmmm.. kelihatan ada benarnya kata-kata beliau, walaupun aku baru dua hari berada di kampus, dan mungkin terlalu awal untuk membuat penilaian.. Perasaan dihati juga tidak sama berbanding ketika pertama kali aku menjejakkan kaki di Khartoum yang menghidangkan seribu satu dugaan, tetapi perasaan aku terus gembira, walaupun hingga ke hari terakhir aku di Sudan, terus berhadapan dengan masalah, tapi, entah... cabaran yang mematangkan pemikiranku..

Berbanding Riyadh, entah kenapa perasaan kurang seronok sebagaimana pertama kali ke Sudan dan sepanjang berada di bumi panas itu.. boleh jadi aku memilih untuk ke Saudi adalah untuk memudahkan aku untuk melaksanakan haji, Jika di Sudan aku diduga Allah dengan kesusahan, tetapi hidup di Saudi, aku bakalan diuji dengan kemewahan pula barangkali.. Allahul musta'an...

Aku tidak ingin menghukum suasana disini terlalu awal, dan tidak pula berniat memburuk-burukkan tempat belajar aku yang baru ini..aku juga perlu buktikan yang kita mampu mencipta suasana, bukan sekadar mengikut arus suasana sekitar yang bisa membantutkan pemikiran dan ketajaman daya fikir.. Sudankah atau Riyadh, aku telah pun memilih Riyadh dan meninggalkan Sudan, jasadku telah meninggalkan Sudan, tetapi hatiku tetap punya ikatan aqidah dengan sahabat-sahabatku disana... Allah!!!

Selasa, 15 September 2009

AKU SEORANG HAMBA..

Setiap insan tahu bahawa dia tidak datang ke dunia ini dengan kebijaksanaannya, tidak juga dengan kebijaksanaan ibu bapanya, kalaulah insan wujud di dunia ini dengan pilihan dan kebijaksanaannya, tentu semua ingin dilahirkan dengan rupa paras yang cantik dan lahir dengan penuh kemewahan, dan lahir dengan penuh sempurna. Namun ternyata ini semua diluar kawalan insan. Ini semua menyedarkan aku tentang adanya kuasa yang maha agung yang mengatur semua ini.

Dan Allah tidak akan mempersoalkan insan tentang keputusan yang diluar tanggungjawab kita, samada kita putih atau hitam, kaya ataupun miskin, yang dipersoalkan kelak adalah sejauh mana aku melaksanakan tanggungjawab dan kewajiban di dunia ini..
Kerana itu aku wajib mentaati suruhannya, dan meninggalkan larangannya dalam apa jua keadaan. Setiap amalan yang aku ingin lakukan perlulah dibatasi dengan batasan al-Quran dan Sunnah. Halal dan haram perlu dijaga, jika dilanggari, maju bagaimana sekalipun, harta melimpah ruah, pasti tiada ketenangan, hatinya dihiasi hasad dengki, musuhnya banyak..Allah.. ampunkan aku..

Bertaqwalah dimana jua engkau berada..dikala seorang diri.. tika di khalayak ramai..
taqwa itu letaknya dihati..

tidak Allah ciptakan aku melainkan untuk mengabdikan diri padaNYA...
the purpose of our life..

Ahad, 6 September 2009

RAMADHAN.....

Ramadhan telah memasuki separuh masa kedua, entah telah di ampun atau tambah di benci oleh Allah Jalla wa’Ala dan segala amalan tertolak dek kerana riya di hati yang tiada siapa tahu, puasaku bakalan jadi sebagaimana sabdaan bagindakah? Berapa ramai yang puasa yang hanya mendapat tidak lebih dari lapar dan dahaga?..na’uzubillah..
Adakah aku benar-benar berpuasa? Atau sekadar tak makan dan minum sehinga maghrib? Puasa bulan tidur? Tidur orang berpuasa ibadaaaah jawab mereka.. ibadahkah tudur selepas subuh hingga azan zuhur yang menggerakkan kita? Sedang di malamnya lepak di kedai mamak, bersembang tak tentu hala sehingga jam 3 pagi, atau berchating, surf internet sehingga subuh? Ibadahkah yang sedemikian?( Ini belum di tambah sebut tentang kedhaifan hadith yang dijadikan hujah penidur itu lagi..)
Wahai sekalian pemuda! Berkahwinlah jika mampu! Jika tidak, berpuasalah! Sesungguhnya pada puasa itu ada penawar… kenapa puasa? Kenapa tak sembahyang ke, berzikir sampai nafsu jadi maintain ke? Tak pun pergi buat umrah ke.. Subhanallah.. agungnya pahala puasa kerana hanya Allah yang akan membalasinya, tiada siapa tahu kita menadah mulut di bawah shower ketika mandi.. mendongak ke langit ketika menunggang atau membonceng motor di kala hujan.. segalanya menjadi rahsia antara kita dengan Allah.. ya! Nafsu itu perlu dipuasakan sekali! Kerana itu antara yang membatalkan puasa bukan sekadar makan dan minum, tetapi bersetubuh juga membatalkan malah terbeban keatasnya kaffarah..
Saya dan kita perlu menghitung-hitung diri ini sebelum malik yaumuddin menghitungnya di akhirat kelak, hitungan yang sangat teliti, tiada satu pun amalan tercicir daripada disebut dan ditimbang, walau hanya sebesar biji sawi..
Ya Allah.. Aku memohon redha dan syurgamu.. Aku Memohon perlindungan dari kemarahan dan neraka mu.. sesungguhnya.. amat rugilah aku, malanglah aku..jika ramadhan berlalu, namun dosaku tak terampun..

Khamis, 27 Ogos 2009

SEBUAH CORET-CORETAN

Alhamdulillah khamis lalu, 20 Ogos 2009, saya selamat sampai menjejakkan kaki ke tanah air tercinta, Malaysia, setelah hampir setahun berpanas, berdebu di bumi gersang, Sudan. Perit tapi manis..itulah yang saya dapat ungkapkan untuk Sudan.. sekarang saya bertugas di Masjid Amaniah, Kepong, sebagai imam tarawih. Alhamdulillah saya telah diterima melanjutkan pelajaran di Universiti Imam Muhammad bin Sa'ud, Riyadh, Kingdom Of Saudi Arabia. Biarlah apa yang orang nak kata tentang tempat belajar saya yang baru kelak..Saya ingin belajar demi menjadi hamba.. bila kata hamba, apa sangatlah kehidupan di dunia ini,
Kepada sahabat handai sekalian, doakanlah saya menjadi hamba yang soleh, Da'ie yang beramal..

Sabtu, 25 Julai 2009

ORANG KAFIR DI RUMAH ALLAH

*Artikel ini saya tulis ketika masih di Darul Quran untuk menjawab pertanyaan seorang sahabat,saya paparkan kembali untuk ruangan pro n kontra bagi majalah bulanan PMMS keluaran Jun 09, dan tujuan saya post di ruangan ini kerana ingin berkongsi celoteh seorang Pengurus syarikat konsultan Malaysia di Sudan tentang artikel ini.


Para ulama’ berselisih pendapat tentang keharusan golongan musyrikin memasuki masjid selain Masjid al-Haram, sebahagiannya mengharuskannya, dan sebahagian yang lain pula menegahnya, namun dalam hal ini, saya lebih cenderung melihat harusnya golongan ini memasuki masjid dengan sebab dan tujuan tertentu. Seperti untuk meminta hutang daripada muslim yang enggan keluar daripada masjid, juga dengan tujuan untuk mempelajari Islam. Sedikit kesal dengan fenomena di Malaysia, kelihatannya masjid sangat tidak mesra pelanggan.

Sempat saya membuat sedikit perbandingan antara rumah-rumah ibadat di Malaysia, kelihatan masjid adalah yang paling lemah dari segi melayani dan menyantuni pengunjungnya. Anda berhak untuk tidak setuju dengan hal ini, maka andalah pencetus perubahan untuk mengembalikan fungsi masjid yang sebenar, agar benar-benar boleh digelar masjid! Bukannya lagi sekadar menjadi tempat berhimpun ‘Persatuan POP( persatuan orang pencen ).’


ORANG KAFIR DITEGAH DARIPADA MEMASUKI MASJID AL-HARAM
Diharamkan bagi orang Islam membenarkan bukan Islam untuk memasuki Masjid al-Haram dan tanah Haram disekelilingnya. Ini berdalilkan firman Allah s.w.t :

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini menjelaskan bahawa orang kafir adalah najis, berdasarkan kaedah qias orang bukan Islam dilarang untuk memasuki semua masjid.

Namun saya merasakan pendapat ini kurang tepat berdasarkan dua hujah di bawah :

- Ibn Kathir menyatakan Allah memerintahkan hamba-hambaNya yang Mukmin, suci agama dan dirinya agar mengusir orang musyrik dari Masjid al-Haram kerana mereka adalah orang yang najis agamanya, adapun kenajisan tubuh orang musyrik, maka menurut jumhur, tubuh dan diri orang musyrik tidaklah najis (Tafsir al-Quran al-Adzim..muassasah al-kutub ath-thaqafiyah ms 331-332)

- Jika Allah mengharamkan orang kafir memasuki semua masjid, pasti Allah menyebutnya secara umum di dalam ayat tersebut sebagaimana dalam ayat-ayatNya yang lain. Ini bererti larangan dalam ayat tersebut hanya khusus untuk Masjid al-Haram. Wallahu’alam.



ORANG KAFIR DILARANG MEMASUKI MASJID LAIN SELAIN MASJID AL-HARAM?
Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahih al-Bukhari telah meletakkan satu bab Orang Musyrik Masuk ke Dalam Masjid .

Diriwayatkan dari Sa’id bin Abi Sa’id bahawasanya dia mendengar Abu Hurairah berkata:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus pasukan berkuda ke arah Najd, lalu mereka kembali membawa seorang lelaki dari Bani Hanifah yang dipanggil Tsumamah bin Utsaal. Maka mereka mengikatnya di salah satu tiang masjid.

( Lihat hadith no 469 dalam Fath al-Bari syarh Sahih al-Bukhari, Dar al-Fikr jld 3, ms :136 )

Al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas berkata:

Ada beberapa mazhab mengenai masuknya orang musyrik ke dalam masjid. Pendapat yang dinukil dari Abu Hanifah membolehkan secara mutlak. Sementara pendapat dari mazhab Maliki dan al-Muzani melarangnya secara mutlak. Adapun mazhab Syafie membezakan antara Masjidil Haram dan masjid-masjid lainnya berdasarkan ayat al-Quran.
Ada pula pendapat yang khusus membolehkan bagi ahli kitab. Namun hadis dalam bab ini menolak pendapat tersebut, kerana Tsumamah bukan ahli kitab.

[Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari Dar al-Fikr, jld 3 ms :136)

Hadis penuh yang menceritakan kisah Tsumamah bin Utsaal yang diikat di tiang masjid itu boleh dilihat di dalam bab Mandi Apabila Masuk Islam, Mengikat Tawanan di Masjid, juga di dalam kitab Sahih al-Bukhari. Dari Sa’id bin Abu Sa’id, dia mendengar Abu Hurairah berkata:

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus pasukan berkuda ke arah Najd, lalu pasukan tersebut kembali dengan membawa seorang lelaki dari Bani Hanifah yang dipanggil Tsumamah Ibn Utsaal. Maka mereka mengikatnya di salah satu tiang masjid. Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar kepadanya seraya bersabda, “Lepaskan Tsumamah”. Ia pun berangkat menuju kebun kurma yang dekat dengan masjid dan mandi. Kemudian ia masuk ke masjid dan berkata, “Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan bahawasanya Muhammad adalah Rasulullah.”
[Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, Dar al-Fikr, jld 3 hadith no 462]

Hadith di atas memberi isyarat kepada kita bahawa bolehnya orang kafir masuk dan berada di dalam masjid.. Tsumamah bin Utsaal ketika diikat adalah kafir, namun para sahabat tetap mengikatnya di tiang masjid. Kemudian apabila Rasul s.a.w keluar, baginda tidak menegur apa pun yang dilakukan oleh para sahabat. Ini menunjukkan tentang keharusan orang kafir untuk memasuki masjid.
Sekadar ini yang mampu saya kemukakan, orang kafir dibenarkan memasuki masjid, Cuma kemasukan mereka itu bukanlah dengan tujuan untuk merosakkan atau mengganggu orang yang sedang beribadah di dalamnya. Sebenarnya syarat ini juga dikenakan kepada sekalian muslim yang lain juga.

Mungkin ada yang berhujah dengan firman Allah dalam surah an-Nisa’ : 43
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu saja, hingga kamu mandi. ..

Allah melarang orang-orang Islam yang berjunub daripada memasuki masjid dalam keadaan junub kecuali sekadar melintas saja, ini yang dapat kita fahami daripada ayat di atas.

Allah memulakan ayat tersebut dengan lafaz “wahai orang yang beriman..” dan bukannya “wahai manusia..”

Lihat semula hadith yang dinyatakan sebelum ini yang menunjukkan tentang keharusan orang kafir memasuki masjid, juga ada dalam riwayat Abu Daud yang menceritakan orang yahudi mendatangi Nabi s.a.w yang ketika itu berada di dalam masjid, Nabi s.a.w pasti lebih mengetahui bahawa mereka tak pernah mandi junub, namun Nabi s.a.w tetap tidak melarang mereka daripada memasukinya.

Hasilnya, rasanya kita melarang orang kafir daripada memasuki masjid dengan alasan junub juga agak kurang tepat.. wallahua’lam..

Jika gereja mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja, tidak mengira agama untuk berkunjung dan melihat cara pengibadatan mereka, diadakan sesi debat perbandingan agama, malah dijemput golongan muslimin menghadirinya. Saya juga ada seorang kawan dari Kemboja yang pernah cuba untuk bermalam di masjid ketika beliau masih berada di Kemboja, akan tetapi dihalau oleh ‘jaga’ masjid, akhirnya beliau menumpang untuk bermalam di tokong, malahan diberi selimut dan air panas oleh penjaga tokong tersebut..Kitalah pencetus perubahan. Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan hujah keharusan golongan kafir memasuki masjid, boleh sahaja anda menulisnya pada keluaran akan datang untuk menolak hujah yang saya kemukakan..

“Treat people the way you want to be treated.” Semoga kalian menyelami pepatah inggeris ini.

berikut komen beliau ;


"Your above article is a very good article about the hukum of 'Orang Kafir' enters the mosque. What about 'Orang Islam' enters the church to investigate whether any Muslim teenagers were converted to Christianity like the recent event when a journalist of Al Islam magazine in Malaysia did recently in KL. Read my opinion as stated below which I originally wrote in Malaysia Today, 15th July 2009.

As a practicing Muslim, I (http://khairul-today.blogspot.com) love my religion very dearly. Hence, when we love something with all our heart, naturally my heart is broken everytime I heard any effort to convert my fellow Muslim to any other religion.

Having said that, I must say that it is extremely embarrassing for me to read that my other fellow Muslims (whether a journalist or the Islamic Religious Department staffs) have gone to the extent searching and exploring every corner inside a Christian church like a Nazi officer searching for the Jews, just to ensure no Muslim 'remaja' (teenager) convert to Christianity.

Is my religion that not 'saleable' or good at all that people have to be forced to remain in Islam? Instead of searching for any teenager in a Christian church, can't all this so-called Islamic religious departments see the moment they step out from their comfortable air-conditioning office there are a lot of Muslim remaja or teenagers are indeed long for their help, their attention, their love, their Muslim brotherhood. They do not need to search who are among the Muslim teenagers are dying for their help, their attention, their love or their Muslim brotherhood. They are everywhere!

I still remember when I was studying in the UK, every morning when my neighbour, a Catholic priest saw my face, the first thing he will say was:

"HOW ARE YOU TODAY MY SON? ARE YOU ALRIGHT? IS THERE ANYTHING THAT I CAN HELP YOU TODAY?"

My question is very simple how many Imam, Ulamak, Islamic leaders have expressly manisfested their love and their utmost Muslim brotherhood value by asking more or less the same question like my neighbour's Catholic priest asked me EACH time he saw my face?

Because if they really do, I (http://khairul-today.blogspot.com) believe they do not have to put themselves to that low acting like a Nazi officer searching for a Jews in a Jewish synagogue! And the teenager will remain in Islam without any force. I love Islam, my only religion, dulu, kini dan selamanya!"

Isnin, 13 Julai 2009

Syurga Cinta

Syurga cinta itu adalah jodoh yang datangnya dari Allah s.w.t...
Bertemu...jatuh cinta..kemudian terus melamar dan berkahwin...
Tiada touching n kissing sebelum ikatan pernikahan dimerterai.. selamat dari tipu daya syaitan. Saya kira yang saya sudah lambat untuk melontarkan komen terhadap filem arahan Ahmad Idham tersebut-Syurga Cinta- tak kisah..nak komen jugak.. saya sangat suka dengan dialog dan ungkapan..

"Jodoh dari Syaitan-bercinta, terlanjur, kemudian mengandung, terus menikah akibat keterlanjuran.. "

"Jodoh dari jin..wanita itu tak suka dengan lelaki tersebut, terus disihir...agar jadi suka..

"Jodoh dari Allah...bertemu, cinta berputik, terus melamar lalu menikah.

Didalam kitab 'Ulum Hadith li Ibn Solah, beliau menaqalkan kata-kata Hammad bin Salamah R.A ; "sesiapa yang menuntut ilmu hadith bertujuan selain daripada Allah, maka dia telah ditipu oleh ilmunya.."

Demikian cinta, sesiapa yang mencari cinta sesama manusia selain mengharap wajah Allah, cinta telah memperdayanya..
Ilmu Hadith adalah semulia-mulia ilmu..
Cinta adalah perasaan yang mulia kurniaan Allah

Janganlah saya dan kalian mencemarinya dengan bermain cina murahan..

Ahad, 12 Julai 2009

BERUBAHLAH......

" Jika anda tidak disibukkan dengan kebaikan dan kebajikan..anda pasti akan disibukkan dengan kejahatan dan kebatilan.."

" Air yang bertakung dan tidak mengalir akan merosakkannya.. pemuda yang kosong masa dan jiwanya..akan merosakkan pemuda itu.."

"Dua nikmat...yang seringkali manusia lupa dan lalai dengannya... sihat dan masa lapang.."

Allah... janganlah kau jadikan aku sebagaimana yang kau firmankan..." adakah kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri.."

Sabtu, 27 Jun 2009

MAHARKU HANYA SEPASANG SELIPAR


“Kami datang ni, membawa hajat yang suci ingin memetik bunga di taman larangan untuk anak teruna kami.. tapi, dia ni miskin, tak berharta, tak berkereta, Cuma bercermin mata, tapi tak buta, hatinya berkata-kata…anak tuan dipuja-puja..” wakil rombongan lelaki memula bicara.

Kemudian ayah si dara pun menjawab.. “ tak mengapa..ambil aje le..maharnya hanya sepasang seliper..”

Hmm.. bolehkah akal waras kita menerima hal diatas? Ada lagikah mereka yang begitu tidak mengambil kira harga mahar yang perlu dibayar untuk menyunting anak daranya ?

Mengapa saya menyebut tentang mahar semurah selipar? Silap hari bulan, si pengantin lelaki bagi selipar jamban je baru tau.. kalau bagi selipar Dr. Cardin ok jugak, hal ini berlaku dizaman baginda s.a.w.. ketika seorang wanita dilamar hanya dengan selipar sebagai maharnya..

Seorang wanita dari Bani Fazarah dinikahi dengan sepasang selipar sebagai maharnya, kemudian nabi s.a.w bersabda : “adakah kamu redha dengan rela( tak dipaksa) dan dengan apa yang kamu miliki dinikahi dengan sepasang selipar sebagai maharnya?, jawabnya : ya! Harus aku untuknya.( riwayat at-Tirmidzi no 1113 )

Demikian Islam memudahkan urusan pernikahan, demi memelihara kesinambungan generasi umat manusia, generasi dibina dengan ikatan halal dan suci.

Jika di Malaysia, maharnya memang murah, tapi hantarannya… bukan jantung je sakit, usus kecil turut terasa pedihnya..

Sabda baginda s.a.w : sesungguhnya pernikahan yang paling hebat dan berkat ialah yang paling mudah maharnya.( riwayat Ahmad )

“adakah pada kamu sesuatu dari al-Quran” Tanya nabi s.a.w pada seorang lelaki yang ingin bernikah tetapi langsung tidak memiliki harta. Beliau menjawab, “ya, surah ini dan surah ini( beliau menyatakan surah yang beliau hafal) kata rasulullah s.a.w : aku nikahkan kau dengan wanita itu dengan apa yang kau ada daripada al-Quran sebagai maharnya.( riwayat al-Bukhari no 5149, Muslim no 1425)

Semakin manusia jauh meninggalkan agama, maka semakin sulitlah urusan, agama dianggap beban dan syariat tidak lagi relevan untuk diamalkan di zaman siber ini..

Saya bukanlah ingin mengulas panjang permasalahan ini, kerana saya sendiri adalah seorang bujang anak seorang ( anak tekak ). Apa yang saya tulis mungkin sekadar sebuah hujah nas yang mungkin langsung tidak melihat pada situasi masyarakat hari ini khususnya masyarakat Malaysia.

Tetapi sebagaimana matlamat yang saya tetapkan ketika mula menulis blog ini, adalah sebagai wadah saya mencanai dan mengingati maklumat dan ilmu hasil pengajian, pembacaan serta perbincangan, lama sudah tidak menulis untuk blog ini, bukan beerti aktiviti percambahan ilmu terbantut, Cuma kekurangan masa untuk berkarya, jadi mungkin saya akan terus menulis tanpa mengkaji dan menganalisis dahulu maklumat yang diperolehi, saya juga menyedari sebagai seorang mahasiswa, maklumat bukan suatu yang boleh dipindahkan dan disampaikan secara semberono tanpa kajian dan penelitian untuk menghasilkan kefahaman yang mendalam, dan boleh dipraktikkan di dalam masyarakat, jadi jika ada mahasiswa yang membaca tulisan ini, jangan jadi macam saya…hahahaha…jadilah seorang yang mengkaji, bukan seperti mesin fotostat yang hanya mencetak dari bahan asal dan kemudiannya disebarkan.

Barangkali artikel ini pasti menimbulkan kemarahan anak dara sekalian, jua mak ayah anak dara… Di akhir artikel ini, terfikir pula saya, takut jadi fitnah pula atas diri saya, sepatutnya artikel ini lebih bernilai jika ditulis oleh wanita mukminah, ataupun orang yang telah berkahwin..hmmm.. saya menulis artikel ini ketika teringat pengajian kitab Zadul Ma’ad li Ibn Qayyim yang telah memasuki bab yang berkaitan dengan pernikahan, wallahua’lam…

Isnin, 20 April 2009

YANG DIKEJAR BERJAYA KU KEJAR, YANG DIKENDONG BERCICIRAN

"Allah... terduduk kat tumpahan minyak rambut..! saya merungut..

"Alah.. sorry Sabiq, tu la, ada kerusi nak duduk kat lantai.." balas Firdaus dengan muka toye nya..

"Pinjam jubah Daus, banyak sangat tompokan ni.. macam panau baru baik je sekali tengok jubah ana ni" pinta saya..

"hah amek r dalam almari tu" dia menawarkan jubah kelabunya kepada saya.

Saya baru pulang dari mengajar mengaji seorang anak staff Petronas di Kompleks Petronas Sudan, kemudian singgah sebentar dirumah sahabat yang merangkap bilal surau kompleks untuk melepaskan lelah dan melayari internet secara percuma di rumah beliau, sebelum ke Masjid Ma'murah untuk mengikuti pengajian kitab Sunan Abu Daud pada hari semalam.

Dengan sepantas kilat saya memasukkan pendrive dan handphone kedalam kocek seluar, kemudian menyarung jubah dan terus berlari ke perhentian bas yang jaraknya lebih kurang 10 minit berjalan kaki. Sampai sahaja di perhentian tersebut, saya terus menaiki bas untuk ke Ma'murah. Saya perlu sampai sebelum Maghrib!

Bas bergerak perlahan dengan kekerapan berhenti yang mampu membuatkan mereka yang mengejar masa menjadi kecewa dan geram.. Setibanya saya di simpang ke Masjid Ma'murah, terus sahaja saya memetik jari untuk meminta diturunkan. begitu lah isyarat untuk memberitahu pemandu yang kita ingin turun.

Turun sahaja saya dari bas, saya terus menyeluk poket.. BOCOR!! dan alangkah cuaknya saya apabila handphone dan pendrive dah tak ada!!

"shadiq!! asma' !! ya kumsari!!" jerit saya kepada konduktor bas.mujur didengari.. saya terus mencari handphone dan pendrive saya, kalau-kalau tercicir didalam bas.. hanya pendrive yang ditemui.. handphone gagal ditemui!!

Pemandu bas bertanya.."Fi Syunuh..?" ( ada apa? )

saya menjawab, "talifoni masqut" (telefon saya jatuh)

Akhirnya saya mengalah.. saya turun dengan hampa dan terus menuju Masjid Ma'murah untuk mengikuti pengajian Sunan Abu Daud.. "ada rezeki jumpa lah tu.." getus saya.

Jemaah telah selesai menunaikan Maghrib, saya terus bergegas untuk mencari kalau-kalau ada jemaah masbuq.. Alhamdulillah selesai maghrib, saya terus duduk membuka kitab dan berusaha sedaya upaya tekun mendengar syarahan Syeikh Amin.. Walaupun hati masih bersedih..

Hari ini telah sampai ke bab yang membicarakan hadith-hadith berkenaan zakat fitrah dan diteruskan sehingga bab celaan orang yang cukup keperluan hariannya disudut makan pakai, tetapi masih lagi meminta-minta untuk mengecapi kehidupan yang lebih selesa!! ceh!! tak bermaruah langsung..!!

Seusai pengajian dan Isya', saya terus berjalan pulang kerumah yang memakan masa lebih kurang 10 minit juga.. "Alhamdulillah.." ucap saya lemah.. "sekurang-kurangnya aku dapat juga menghadiri pengajian walaupun kehilangan handphone.."

Yang di kejar berjaya ku perolehi, yang di kendong pula berciciran!!berkejar-kejar saya ke pengajian membuahkan setitis ilmu, handphone yang dikendong berciciran..hahaha..Alhamdulillah..

Yang pastinya ilmu yang diperolehi lebih berharga dari nilai sebuah handphone.. saya mesti menganggap hal ini sebagai ujian untuk meninggikan darjat saya di sisi Tuhan Arash.. Ya Allah jadikanlah kami dikalangan hamba-hambaMU yang sabar..

Khamis, 16 April 2009

AYAM, DARUL QURAN, DAN SUDAN

"Makcik saya nak dua ketul boleh?"
"Saya nak kepak!"
"Saya nak paha !"
"kenapa saya punya ayam kecik??"

Kat Darul Quran dulu, dialog diatas adalah dialog yang sangat familiar kedengaran setiap kali hari khamis dan jumaat..kantin akan menyediakan juadah lauk ayam hanya pada hari Khamis dan Jumaat, tersengih sendirian pula bila teringat semula kisah ayam dan DQ's students.. hari yang dinanti-nantikan, lauk paling special di kantin DQ =) ada yang sanggup beratur dua kali untuk dapat ayam lebih!!

Kini setelah berada di Sudan, boleh dikatakan saban hari kami ( pelajar Malaysia ) makan nasi berlaukkan ayam, adakalanya diselang-seli dengan khoruf (kambing biri-biri ), wah! kelihatan mewah bangat kami ni ya hidup di Sudan? tak juga, selalu sahaja ada dikalangan kami yang kekeringan di tengah bulan, entah lah, boleh jadi ini yang dinamakan rezeki Allah..

Ayam di Sudan agak mahal berbanding di Malaysia, jika di Malaysia ramai yang merungut bila harga ayam melambung sehingga RM 7, di Sudan, harga ayam mencecah SDG 10 ( lebih kurang RM 20) entah mana datang rezeki Allah kurniakan.. Subhanallah..

Syukur pada Allah yang mengurniakan rezeki yang melimpah ruah pada hambanya.. tetapi sedikit dikalangan hambanya yang bersyukur.. kita selalu merungut tentang rezeki, kenapa orang lain dapat lebih, aku dapat sedikit.. kita sering bersungut dengan apa yang tiada pada kita, tetapi kita jarang bersyukur dengan apa yang ada pada kita..

Saya belum makan tengahari lagi hari ini, jam sudah menunjukkan 5.10 petang.. bersiap sdia wahai ayam!! aku nak makan kau ni..!!

Ahad, 12 April 2009

PANAS YANG MENDIDIK

Musim sejuk telah melabuh tirai di Sudan.. cuaca panas mula menggila, hari ini, suhu yang dipaparkan di layar besar di bulatan Kubri ialah 50 darjah celcius!
Terasa mendidih otak ketika berjalan diluar rumah, hal ini benar-benar mendidik jiwa agar memikirkan kepanasan neraka yang maha dahsyat.
Rakyat Sudan yang kaya-raya telah mula meninggalkan bumi panas terik ini, mencari kesejukan di eropah. memang menjadi fitrah manusia..tidak suka dengan kepanasan..
Musim panas ada penghujungnya kelak, namun kepanasan neraka yang bersedia menyalai tubuh pemaksiat pula, tiada tahu penghujungnya.

Perjalanan yang tiada destinasi.

Cuba anda bayangkan anda sedang menaiki sebuah bas tanpa penghawa dingin untuk kesuatu tempat, tetapi jarak, destinasinya, tidak diberitahu, setelah 10 jam dalam bas, punggung pun dah panas dan melecet duduk didalam bas, peluh busuk telah beberapa kali direnjis dan dilap, emosi anda pasti terganggu dan tertanya-tanya! kemana kita nak dibawa ni? bila nak sampai ni!!

Emosi ahli neraka jauh lebih terseksa dan menderita, bilakah azab ini akan berakhir?? sampai bila kita akan diseksa, selama-lamanya!! selama mana? tiada kesudahan..
Bagi seorang yang mati dalam keadaan Muslim, andai dia diseksa kerana perbuatan maksiatnya, dia akan dimasukkan kedalam syurga setelah habis kelakuan jahatnya dibalasi, namun emosinya juga terganggu kerana dia tidak mengetahui bilakah penyeksaannya akan berakhir.
Penderitaan kepanasan dimusim panas yang sedang menggila ini ada kesudahannya kelak, secara aturannya,ia akan berakhir sekitar bulan 8 atau 9,Wallahua'lam.. Namun panasnya neraka tiada kesudahannya bagi mereka yang gagal mengelaknya di dunia ini.

Panas di Sudan ada lagi 'ashir(jus) yang boleh diteguk buat penghilang dahaga, kat neraka nak minum ape ye..nanah..air yang mendidih..peluh..yeeark..

"Ya Allah aku mohon dengan sepenuh hati ku, kurniakanlah aku redha dan syurgaMu.. Dan aku berlindung denganMu dari kemarahan dan nerakaMu YaAllah.."

Doa ini nabi saw ajarkan kepada kita untuk dibaca setelah selesai bacaan tahiyyat akhir sebelum salam..
Jika kepanasan di dunia ini pun dah tak tertanggung, bagaimanakah aku ingin menahan seksa nerakaMu..
Panas yang benar-benar mandidik..

Sabtu, 4 April 2009

MASAKAN RABU


MASAKAN RABU

Rindunya kat masakan mak, duduk di perantauan ni, tak dapatlah nak merasa lagi cili api mak, tempoyak, masak taucu.. yang dapat kat Sudan ni, sup ALBO, sambal UMAQ, masakan yang susah dikenal pasti namanya oleh IRFAN.. tapi semua pelajar Malaysia di Sudan ni, hebat-hebat memasak, memasak adalah antara punca pendapatan kami, pelajar di Sudan, memasak di Kompleks Petronas, majlis makan-makan di Kedutaan..
Di rumah Persatuan Pelajar Malaysia di Sudan, saya ditugaskan untuk memasak pada hari Rabu.. di awal-awal kedatangan saya ke Sudan, takutnya nak masak, diorang nak makan ke masakan aku ni..?(ye la, semuanya terer memasak)
Saya direkrut dan diajar memasak..tak lah canggung sangat duduk di dapur tu.. sekarang ni Alhamdulillah dah pun pandai masak cincai-cincai, Loqman kata,”campak je ape yang ada..” masak kurma,sambal ikan bilis, kari, lemak kuning,sup, masak kicap, cek mek molek, cok keria..antara yang pernah saya masak setakat ini..dan pada rabu yang lepas, terdetik pulak nak ambil gambar hasil masakan saya buat ke sekian kalinya..


Cok keria Sabiq..marilah cuba


Di sebalik tabir pembikinan cok keria


Bebola keledek yang siap dilenyek


ini pula Daging masak kicap..
Alhamdulillah..saya dah berani memasak.. balik Malaysia nanti saya nak memasak untuk mak dan ayah.. kelak saya juga akan berkeluarga, boleh jadi ini juga bakalan menjadi sebahagian tanda kasih sayang saya pada mak, ayah, dan bakal keluarga yang akan dibina kelak.. sebagaimana mak memasak untuk anak mak ini..memasak dengan penuh kasih sayang..
nasihat sahabat-sahabat kepada saya, masaklah dengan penuh keikhlasan.. pasti berbeza..

DIDIKAN SEKOLAH KEHIDUPAN


DIDIKAN SEKOLAH KEHIDUPAN

Teringat tentang novel ‘Ayat-Ayat Cinta’ karangan Habiburrahman, Fahri, hero ciptaan pengarang tersebut, berjuang mengharungi panas sekitar 39-41 darjah celcius, untuk pergi mendambakan diri mengorek khazanah ilmu di bumi Mesir.
Saya tersenyum sambil bermonolog, “ suhu macam tu tak lah panas sangat, di Sudan ni, itu suhu tengahari di musim sejuk ni..!”
Jika Fahri itu adalah insan di dunia realiti, saya memang akan mengaguminya, mencari sumber kewangan dengan menterjemah buku untuk menyara kehidupan di negeri orang..tidak merengek meminta simpati orang.. kehidupan seharian jika diteliti ada ‘ibrah yang boleh diambil.

PASAR YANG MENDIDIK
“Panasnye hari ni kan ayah?” keluh saya sambil mengupas bawang..
Balas ayah, “hmm..dah biase dah”
Tiba-tiba teringat bualan biasa saya dengan ayah di Pasar Peladang Kuala Kubu Bharu.. biasanya saya akan membantu ayah berniaga di waktu cuti sekolah ,menjual bawang, cili kering dan pelbagai lagi bahan kering yang lain. Dapat juga duit belanja di sekolah. Kami adik-beradik, angah, abg emi, abg dan, dan saya, memang dididik untuk tidak memiliki wang dengan senang, nak duit, cari sendiri! Bukanlah mak dan ayah langsung tak pernah memberi duit belanja, tapi kami tidak pernah dimanjakan dengan sogokan wang! Berpanas di pasar terbuka, ada lagi payungnya, tak lah terlalu panas.. mengajar kami erti kehidupan, belajar berniaga, belajar bermuamalah dengan ramai orang, pelbagai bangsa, peringkat umur, macam-macam jenis manusia yang anda boleh jumpa dipasar.

PASAR TEMPAT MAKSIAT??
Bukan di pasar sahaja, malah dimana-mana!! Benar susah dan sukar menjaga mata ketika di pasar, tetapi dunia hari ini menghidangkan seribu satu jenis pandangan maksiat tanpa perlu ke pasar..’ibrah dikutip, kebobrokan pasar dibuang semampu mungkin.

DIMANA HASILNYA??
Di Sudan saya berusaha untuk tidak bergantung dengan subsidi keluarga, saya berusaha mencari sendiri sumber kewangan untuk menyara hidup, membeli buku dan sebagainya, sehinggakan tiket saya ke Sudan juga saya usahakan sendiri.. tidak pernah saya lupakan, inilah didikan yang Allah kurniakan melalui ibu dan ayah sejak kecil.. terima kasih mak..ayah..

DAKWAH MEMERLUKAN KEBERANIAN BERMUAMALAH
“Kuranglah sikit harga dek..” kata seorang pelanggan.
“tak boleh la cik, cuba kalau saya mintak naik sikit harga yang saya letak ni?” provok saya..
“Berniaga tak boleh malu-malu” kata ayah..
“Ha mari-mari bawang sekilo seringgit..!” dan macam-macam lagi ungkapan penarik yang kita biasa dengar dipasar.. kelihatan mudah, cuba dulu baru tau mudah tak mudah!! Bukan mudah membuang perasaan segan untuk melakukan semua itu..
Begitu juga dakwah, keberanian bersuara, melontarkan pandangan dan berhujah menegakkan kebenaran,semuanya memerlukan keberanian membuang perasaan segan dan rendah diri yang tak kena tempat.
Keadaan ini juga menjadikan saya menjadi minat serba sedikit dengan ekonomi dan kewangan.. sebagaimana kata saydina Umar al-Khatab, “ jangan kamu berniaga di pasar kami melainkan kamu faham akan agama(hukum-hakam berkaitan jual beli)”

DIDIKAN YANG TIDAK TERNILAI
Saya amat ingin mencabar diri untuk lebih maju dan tidak terus berada di takuk yang sama.. kesempatan yang Allah beri untuk berada di bumi Sudan ini akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk saya memajukan diri demi menjadi “die hard fan” Islam dan perjuangannya.. ilmu bukan sekadar di buku dan universiti, tetapi kehidupan anda adalah universiti yang lebih luas lagi dan banyak lagi yang belum diterokai..

Jumaat, 27 Mac 2009

USIA YANG BERKUALITI


Jika kita menghabiskan masa selama 8 jam sehari untuk tidur, ini bermakna kita telah menghabiskan 120 hari dalam setahun untuk tidur sahaja!!
Terharu saya ketika membaca secara ringkas tentang riwayat hidup Imam Nawawi, usianya ketika meninggal dunia hanya 45 tahun, namun betapa besar jasanya untuk agama, seluruh kehidupannya diserahkan untuk Islam.
Dimanakah masa untuk dibazirkan dan disia-siakan, apakah ada ruang untuk bersuka ria dan gelak terbahak-bahak.. bersediakah saya dan anda mengghadapi hari kematian?? Tiba-tiba persoalan ini menerjah benak pemikiran, namun adakah ianya disusuli dengan tindakan..
Tahun ini saya akan berusia 22 tahun, berapa banyakkah masa saya diserahkan untuk agama? berapa banyak pula untuk dunia yang serba serbi macam belacan ni..
Didalam sebuah hadith yangg sahih, Nabi s.a.w berwasiat kepada Muadz bin Jabal agar sentiasa berdoa setiap kali selepas solat, "Ya Allah bantulah aku untuk mengingatimu, bersyukur kepadamu dan melakukan amalan yang baik kepadaMU"..
Semoga tidur kita yang lama itu dalam keadaan yang sentiasa mengingati Allah, gelak terbahak kita itu dapat memastikan yang kita mampu juga bergelak ketawa di Akhirat.
Aqidah Islam mengajar kita untuk merancang, merancang kehidupan yang gemilang, berjaya didalam kehidupan sebagaimana kita diajar untuk merancang kematian yang manis, mati dengan kalimah tauhid.. itulah tiket kemenangan untuk percutian yang agung dan tiada tandingannya.. Syurga yang didalammya penuh dengan keredhaan Allah s.w.t...
Di negara kita hari ini, macam-macam kepeningan melanda, politik kotor yang tidak mungkin clorok, Fab mahupun Daia dapat menghilangkan kesan degil kekotoran itu, apakah matlamat kita dicipta? menjadi khalifah yang berjiwa hamba atau hamba yang berjiwa khalifah?? manusia bersungguh merebut jawatan dan pangkat, tanpa rasa kehambaan..
Tulisan yang terlalu ringkas, saya tak mampu meneruskannya

Rabu, 11 Mac 2009

CINTA DILUAR PERKAHWINAN UMPAMA MENGGARU KUDIS.



Apabila seseorang itu diserang penyakit kulit, tak kiralah kudis ke, kurap ke, apa-apa je lah, tangannya mesti tak reti dok diam..asyik nak menggaru je, memang sedap, syok je menggaru, tapi awas! Penyakit tu bukan boleh baik dengan menggaru, bahkan bertambah parah lagi!

Ahaks.. apa persamaannya dengan percintaan diluar perkahwinan? Ya ! ada persamaannya, pada saya lah, cinta tanpa ikatan ni memang semuanya indah..kentut geli frennya pun wangi, si buaya frennya punya bau ketiak macam bau kasturi.. makin lama makin indah dalam khalayan, hanyut dilambung ombak nafsu..tapi lagi lama barah ini akan kian bertambah parah! Jika ia tidak dinaik taraf kepada perkahwinan..

Begitulah perumpamaan yang saya nampak apabila melihat anak muda yang gatal bercinta.. boleh jadi saya juga pernah mengalami pengalaman ini.. kerana itu saya rasa macam nak tulis tentang hal ini..

Kini saya berada di Sudan, mengembara mencari bekalan perjuangan, fenomena bercintan-cintun ni turut menyerang remaja Sudan rupanya!! Tatkala malam menjelma, maka berpusu-pusulah jejaka dan jejaki bertebaran di taman-taman tepi jalan.. memadu asmara melepaskan rindu..

Tahukah anda, di Sudan, rumput memiliki nilai kormesial yang sangat tinggi di mata penduduknya, dimana ada rumput,disitulah adanya orang melepak, pasangan bercinta yang mendominasi rumput-rumput di Sudan!!

Pernah saya bertanya kepada guru al-Quran saya di Sudan ni, Syeikh Salih Abd Qadir namanya,”ustaz, ape ye punca pergaulan bebas dikalangan anak muda di Sudan ni?” katanya, antara punca utamanya ialah kos perkahwinan yang sangat tinggi..wah! antara punca yang lebih kurang sama dengan keadaan di Malaysia..

Perkahwinan disulitkan dan dipayahkan, zina dibiar dan dilihat sebagai biasa.. Al-Quran menyatakan perkahwinan menjadikan rezeki seseorang itu dimudahkan..jadi jika kita telah memiliki kemampuan untuk melunasi mahar(Mas kahwin), dan sedikit wang untuk melaksanakan walimatul urus, maka janganlah bertangguh..Namun bagi mereka yang tidak mampu lagi dalam urusan melunasi mahar, maka hendaklah bersabar sehingga Allah membuka pintu rezeki yang luas baginya..

Pendapat saya ini bisa disanggah, boleh jadi keluarga saya juga tidak akan bersetuju dengan pendapat ini,namun yakinilah janji Allah, tidak akan miskin dan melarat seseorang akibat perkahwinan..

Perkahwinan kerana Allah, natijahnya pasti baik..

Ahad, 8 Mac 2009

Tuhan itu Allah..

Isu lafaz Allah hendak diguna pakai oleh bukan muslim kelihatan hangat diperkatakan di Malaysia.. saya yang di Sudan ini bukan nak menyebok sangat untuk turut serta memberi komen, tapi saya cuba sentiasa untuk berfikir di pelbagai sudut dan bukan sekadar menjadi seorang pembaca berita, tetapi cuba untuk mengerah tenaga otak untuk menilainya dan menyatakan pandangan peribadi..
Apa jua maksud dan matlamat orang bukan Islam untuk turut menggunakan kalimah Allah dalam bible atau sebagainya,kita mungkin boleh membuat andaian mudah iaitu mereka ingin mengelirukan orang Islam..
Jika kita menyoroti kembali begitu banyak ayat didalam al-Quran yang menyebut tentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di dalam al-Quran, mereka sentiasa menyatakan bahawa Allah yang mencipta dan mentadbir alam ini.. cumanya mereka mensyirikkan tuhan dalam hal pengabdian dan ibadah, hakikatnya, semua insan dimuka bumi ini, muslim atau kafir, telah menjadi fitrah bahawa setiap doa dan ibadah mereka ditujukan kepada Allah, samada mereka sedari ataupun tidak. Cuma yang membezakan antara muslim dan non muslim ialah cara ibadah dan penyembahan mereka..
Didalam surah az-Zumar, orang kafir menyatakan segala berhala dan sembahan mereka selain Allah hanyalah sebagai perantara atau orang tengah untuk mereka lebih mudah mendekati Allah.. Mereka mengaku dan memperakui bahawa tuhan itu Allah, namun mereka tersalah cara dalam soal aqidah ini. Ini yang membezakan aqidah muslim dan non muslim.. mereka mempersekutukan Allah dengan sembahan yang lain..
Juga hakikat yang perlu kita sedari, memang sedari dahulu orang kafir telah pun menggunakan kalimah Allah sebagaimana dinyatakan didalam al-Quran.. sehinggakan ketika zaman jahiliyyah lagi kalimah Allah telah digunakan oleh kaum musyrikin ketika bertawaf di kaabah, "labbaika allahuma labbaik.."tetapi dalam keadaan berbogel..cuma apabila isu ini ditimbulkan, berkemungkinan ada muslihat disebalik tuntutan itu..
Namun tidak pula saya ingin menyatakan tentang hal itu, saya lebih suka untuk melihat tuntutan itu sebagai suatu teguran betapa goyahnya iman dan aqidah majoriti muslim hari ini..
Boleh jadi perlu kita menentang terhadap mereka yang membuat tuntutan itu, yang pastinya mereka memang memiliki agenda tersendiri disebalik tuntutan itu, tetapi alangkah bagusnya tentangan itu disertai dengan muhasabah,meniliti semula kekurangan diri, kelemahan umat Islam itu sendiri, kepincangan gerak kerja dakwah,dan segala macam kecacatan yang ada dipihak muslim sebelum menyerang oran lain..
Perkemaskanlah kerja kita, tunjukkan keindahan Islam melalui keperibadian Muslim, kaum bukan muslim telah lama menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan, masalah sebenar bukan pada mereka, tetapi kita. Bersatulah kita untuk memperkenalkan aqidah suci kepada saudara muslim kita yang lain, yang hanya Islam pada namanya sahaja, yang mengenal agama hanya ketika nak berkahwin dan kematian orang tua sahaja..hindarilah persengketaan dan perbalahan sesama kita wahai pejuang agama!!

Jumaat, 6 Mac 2009

Tegakkan Agama dalam Dirimu


Luis Moreno-Ocampo, the ICC prosecutor who called for an arrest warrant to be issued in July last year, said that al-Bashir must be arrested "to stop him from destroying evidence and committing new crimes".(sumber: al-Jazeera.net.)


Alhamdulillah kini hampir tiga bulan saya berada di bumi terik Sudan, pertama kali menghadapi situasi gawat sejak saya berada disini, presidennya, Omar Bashir ingin dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa( ICC ) atas kesalahan jenayah perang di Darfur. Sejenak termenung mengenangkan hal ini apabila saban hari masjid yang berdekatan dengan rumah saya menceritakan tentang hal waran tangkap keatas presidennya. Majoriti rakyat sudan mempertahankan pemimpin mereka, malah saya sebagai muslim juga turut menyokongnya, kalaupun al-Bashir bersalah, jangan dibiar barat yang menghakiminya.

Dunia benar-benar bersungguh-sungguh untuk menonjolkan keburukan dan kecelaan Islam dan Muslim, walhal dunia sebenarnya telah tidak mampu lagi untuk menafikan kebobrokan dan perangai syaitan yang ditonjolkan oleh Yahudi dan sekutunya keatas Palestin, mereka itu yang selayaknya dan sewajarnya dihukum dan dipersalahkan terlebih dahulu. Segala keburukan akan terus disandarkan keatas dunia Islam.. pahit pun, telan je la hakikat ni.. sapa suruh tak amal Islam dengan sebenar-benarnya.



Muslim hari ini benar-benar dilanda Wahan ( cintakan dunia dan takutkan mati ), sebagaimana yang disebut oleh baginda saw dalam hadith yang sahih. Musuh agama akan berusaha bermati-matian untuk mematikan langkah pejuang agama yang ikhlas, menjadikan perundangan Islam sekadar sebagai satu subtopik matapelajaran sejarah, bukan lagi perundangan agung..

Haruskah dunia Islam hari ini sekadar menuding jari ke pihak musuh dan menyatakan ketidakadilan dunia hari ini keatas muslim sejagat?

Ya!! mereka melakukan apa yang patut mereka buat, mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk menentang kita di pelbagai sudut.
Lihat pula keadaan dipihak Muslim.. kita bekerja sambil lewa, mulut hebat mencanang kebangkitan Islam, demonstrasi jalanan, tapi mulut yang sama juga hari-hari mengunyah makanan buatan musuh.. kita hebat mengajak manusia kepada islam, tegakkan perundangan Islam dimuka bumi ini, tapi kita terlupa untuk menegakkannya didalam diri sendiri dan keluarga..
pening dan kerisauanku berterusan memikirkan hubunganku dengan Allah jalla wa ala..adakah telah benar-benar tertegak hukum Allah didalam jiwaku ini

Sabtu, 28 Februari 2009

Mengganggu Yang Hidup Dengan Mencela Sirah si Mati



Kalau seorang ahli forensik mengkaji tubuh badan si mati, seorang ahli sejarah mengkaji sirah kehidupan si mati. Tetapi kedua-duanya mengkaji, untuk mencari manfaat bagi yang masih hidup.


Pakar forensik akan membedah tubuh si mati, bagi mengenal pasti punca kematiannya. Jika matinya berpunca dari jenayah, maka penjenayah itu mesti dicari agar jangan dia membunuh yang masih hidup. Jika kematian si mati berpunca dari penyakit yang ada risiko pewarisan genetik, maka ahli keluarga yang masih hidup, kena lebih berhati-hati dengan kehidupannya. Jika orang lain boleh tidak endah dengan bengkak sana bengkak sini, maka bagi keluarga si mati yang mati kerana kanser payu dara, tidak boleh sambil lewa.


Kerja pakar forensik tidak begitu sulit. Tubuh badan si mati ada di depan mata. Tugasnya adalah untuk mengaplikasikan ilmunya ke atas tubuh si mati di depan mata.
Seorang murid Sejarah, dia bertugas membedah sirah kehidupan si mati. Mungkin bukan sekadar seorang insan yang telah mati, tetapi satu umat yang telah binasa. Punca mati dan binasa umat itu perlu dicari.


Jika mati tokoh atau punah bangsa kerana jenayah orang lain, maka setiap bangsa yang masih hidup mestilah berhati-hati jika ada pihak lain sedang melakukan jenayah yang sama ke atas mereka. Jika ada ahli keluarga mahu pun jiran tetangga yang lunak dengan penjenayah itu, bukalah mata dan telinga, kerana mereka itulah mungkin talam dua mukanya. Pelindung nifaq seperti ini mungkin menjual ahli keluarga dan jirannya, demi maslahah diri, seperti yang telah dan sering berlaku kepada umat yang telah mati.


Jika kematian si mati berpunca dari penyakit yang ada risiko pewarisan sikap dan kerenah, maka ahli keluarga yang masih hidup kenalah lebih berhati-hati dengan kehidupan mereka. Mereka perlu sedar yang bangsa mereka ada kelemahan, daya tahan diri lemah, dan mudah jatuh sakit. Maka janganlah bermain-main di tempat kotor yang banyak penuh bakteria dan virus. Kalau ada anasir jahat yang berlegar-legar di tengah kehidupan, jangan ambil mudah kerana tubuh badan kita lemah, berdasarkan Sejarah.


Kerja murid Sejarah tidak mudah. Sirah kehidupan si mati dan umat yang telah mati, bukan berlonggok di depan mata. Segala-galanya bertabur dan berkecai. Ada yang ditimbus bumi, ada yang hilang dibaham masa. Secebis sana secebis sini, perlu dikutip dan dicantum, bagi beroleh gambaran yang penuh, terhadap hakikat kehidupan masa lampau yang ingin diteladani.
Inilah cabaran yang saya hadapi. Cabaran yang dihadapi oleh setiap murid Sejarah.
Tetapi kepayahan itulah letaknya kepuasan. Kerana hidup saya adalah kehidupan yang mengkaji si mati, untuk manafaat mereka yang masih hidup.


TELAH MATI TETAP TELAH MATI


Akan tetapi, tokoh yang sudah mati tetap sudah mati. Kita peduli dengan mereka adalah demi mengambil teladan darinya untuk hidup ini. Kita tidak mencakar dan merobek si mati, seolah-olah si mati yang telah mati, tetap mahu dibunuh dan dimatikan lagi, berkali-kali.
“Yang mati biarkan mati, yang pergi tetap kan pergi”
Kita sanggup bermati-mati, untuk membuat keputusan terhadap si mati, seolah-olah kita mahu mengambil alih kuasa Tuhan, menentukan nasib si mati di alam kedua.


AKHLAK SI HIDUP TERHADAP SI MATI


Di sinilah timbulnya hairan saya di dalam diri, atas kehodohan akhlak sesetengah kita yang rakus merobek sirah si mati. Mulut terlalu celupar mencela sirah umat yang sudah mati. Zikirnya setiap hari ialah pada mengumpul dan mempopularkan cacat cela si mati yang tulang di dalam bumi.


Apabila kita mahu berkata-kata tentang para Anbiya, sahabat dan generasi Islam yang telah lalu, kita berkata-kata dengan budi dan sopan bahasa. Kalau si mayat, kita begitu hormat untuk tidak menyakiti tubuhnya yang telah mati, maka sirah generasi umat yang lalu juga kita sentuh berpada-pada.


Kita belajar dari Sejarah, catatan hidup generasi yang sudah mati, kerana mahu mencari teladan dan panduan bagi yang hidup.
Atas dasar itu, saya sentiasa mengingatkan diri, supaya jangan celupar mengkritik generasi yang telah pergi. Yang baik pada si fulan, saya ambil jadi panduan, yang kurang dan cacat cela, saya pulangkan ia kepada Tuhannya yang juga Tuhan saya.


Nama-nama insan yang telah pergi, bermula dari Aisyah dan Fatimah, Muawiyah dan Yazid, Hasan dan Husain, Hasan al-Basri dan Umar bin Abdul Aziz, Imam Syafie, juga al-Ghazzali, malah Ibn Taimiyah, juga Muhammad bin Abdul Wahhab dan Sultan Abdul Hamid ke-II … nama-nama ini adalah nama hamba Tuhan yang sudah mati. Nasib mereka sudah pasti. Cela kita terhadap mereka tidak menambah hukuman derita. Puji kita tidak mengangkat mereka ke darjat mulia. Kita puji atau kita cela, mereka sudah melengkapkan sirah hidup mereka, dan kepada Allah jua kembali segala ketentuan.


Saya tidak suka melihat kegelojohan orang hari ini, merobek sirah si mati dengan bahasa nafsu dan kesumat diri. Mati-mati mahu membuktikan kesesatan si fulan bin si fulan, mati-mati mahu membela kebenaran si fulan bin si fulan, hingga hilang rasional dan timbang iman.
Berpada-padalah meneladani sirah yang telah mati, jangan dicaci tulang di dalam bumi, kerana kesannya buruk di Sana nanti.
Kalau saya ada pedang, ’saif’ saya adalah untuk membela kehidupan, bukan mencantas si mati yang telah pergi.
Itu baru pahlawan yang JANTAN.

Aqidah Tauhid

Aqidah Tauhid: Tiada Ilah Melainkan Allah

La Ilaha Illallah (Tiada Tuhan melainkan Allah) merupakan bahagian pertama daripada kalimah pengakuan keimanan. Ia bermaksud tiada sesuatu pun yang patut ditujukan pengabdian melainkan Allah.
Muhammad Rasulullah (Muhammad Utusan Allah) adalah bahagian keduanya. Ia bermaksud, pengabdian itu mestilah dilakukan berlandaskan ajaran dan cara yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah SAW.
Mentauhidkan Allah dengan makna makrifat yang sebenarnya hendaklah merangkumi tiga perkara iaitu :

1-Tauhid Rububiyyah
2-Tauhid Uluhiyyah
3-Tauhid Al-Asmawas sifat

TAUHID RUBUBIYYAH

Rububiyyah berasal daripada perkataan Rabb dan dari konteks linguistik, ia mengandungi beberapa maksud seperti berikut:
1-Pemeliharaan anak atau pemeliharaan kebun. Ia menjaga dari segala kesusahan kerana ia bertugas sebagai pemelihara, penjaga, pengasuh segala urusan yang berhubung dengan anak atau kebun.

2-Pemimpin atau pembela umat. Apabila ia memerintah ia menjalankan kepimpinan dan hukum; dan ia dianggap sebagai pemimpin masyarakat.
Majikan yang menjaga dan mengawasi rumah atau memilikinya juga digunakan sebagai penternak atau gembala. Ia bererti ada pertaliannya dengan fungsi raja yang memerintah, mendidik dan membela serta mengawasi. Jika perkataan Rabb digunakan untuk Dzat Ilahi, maka hakikatnya Allah merupakan Raja bagi segala makhluk. Ia sebagai Tuhan, sebagai Raja bagi segala raja, yang Maha Agung dan Maha Hakim serta tidak ada yang lebih agung dan hakim selainNya. Dia yang menjadikan alam semesta dengan pengaturan yang rapi, pemeliharaan dan pengendalian pergerakan seluruh alam.

Dari segi istilah syara, Tauhid Rububiyyah bermaksud mentauhidkan Allah pada mencipta alam, mengurus dan mentadbirkannya, memiliki, memelihara, menghidup, mematikan dan seterusnya, di mana terkandung di dalamnya juga beriman dengan qadar.
Tauhid ini sahaja tidaklah mencukupi dalam mencapai iman dan Islam, kerana Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang musyrik juga mengakui tauhid ini. FirmanNya di dalam Surah Yunus ayat 10:

“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?”

Rujuk juga surah Az-Zukhruf ayat 87, Al-Ankabut ayat 61 dan 63
Keingkaran manusia kepada adanya pencipta hanya kerana kesombongan dan ketakburan, bukan bererti fitrah manusia menolak adanya Pencipta. Kerana itu apabila kepompong kesombongan yang mengurung fitrah itu hilang, maka tanpa disedari manusia pada suatu waktu terpaksa menyerahkan dirinya kepada kekuasaan Allah dan meminta tolong kepadanya. Hakikat ini menjadi ketara apabila manusia menempuh detik-detik genting di mana segala pengharapan terputus, kecuali yang bersandar kepada Yang Maha Esa. FirmanNya di dalam surah Luqman ayat 32:

“Apabila mereka dilamun ombak yang (besar) seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya. Tetapi tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, maka sebahagian mereka sahaja yang tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar”

Daya memahami adanya Allah Yang Maha Pencipta, sudah semulajadi dibekalkan ke dalam naluri manusia. Oleh yang demikian, perbahasan mengenai Tauhid Rububiyyah bukanlah merupakan sasaran utama perbincangan Al-Quran. Persoalannya adalah sama ada fitrah ini dibentuk, dipupuk, diseleweng atau dibanteras. Jika dibanteras, bermakna manusia tersebut menzalimi dirinya sendiri. Sekiranya terseleweng maka akan songsanglah insan tadi mengharungi hidup ini, celakalah dia di neraka nanti.
Dan seandainya naluri ini dipupuk, dididik dan dipertingkatkan ketaqwaannya, maka pasti akan menatijahkan keyakinan yang bulat bahawa Allah sahajalah sumber cipta, Allah sahajalah yang berhak menerima pengabdian ringkasnya pengiktirafan uluhiyah Allah secara mutlak dan serba merangkumi:

TAUHID ULUHIYYAH

Iaitu dengan ikhlas memberikan kepada Allah, dengan mahabbah (cinta) kepadaNya, khauf (takut) kepadaNya, raja(pengharapan), tawakal dan raghbah (keinginan) dan rahbah (kegerunan) hanya kepada Allah. Bahawa semua itu dibina dengan ibadat yang ikhlas zahir dan batinnya kepada dan kerana Allah. Tidak ada sekutu bagiNya, tidak dijadikan ibadat itu kepada selainNya. Seterusnya menerima segala hukum dengan yakin dan redha.
Perkataan Ilah lazimnya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai TUHAN. Penterjemahan itu tidaklah salah tetapi pemahaman Bahasa Melayu terhadap perkataan Tuhan tidak merangkumi keseluruhan makna Ilah yang dikehendaki oleh nas syara. Selain daripada Allah, perkataan Tuhan ditujukan kepada patung-patung berhala atau dewa-dewi Hindu dan Buddha. Orang Melayu yang beragama Islam yang tidak menyembah patung-patung itu tadi sudah tentu menganggap bahawa mereka sudah menyempurnakan kewajipan mengiktiraf Allah sebagai Tuhan dan bebas daripada syirik. Sedangkan pemahaman serpihan terhadap makna Ilah itu tadi akan mendedahkan mereka kepada pelbagai syirik lain yang boleh berlaku tanpa disedari dan di luar kefahaman.
Untuk mengelakkan kekeliruan, eloklah kita perhatikan kepada penggunaan perkataan ILAH di dalam Al-Quran:

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAHnya (Al-Jatsiyah : 23)

Di dalam ayat ini Allah SWT telah menujukan perkatan ILAH kepada hawa nafsu. Sudah tentu perkataan ILAH yang diertikan sebagai tuhan menurut kefahaman biasa tidak akan dapat menggambarkan hawa nafsu sebagai tuhan. Ini membuktikan bahawa perkataan ILAH mempunyai makna yang jauh lebih luas dari perkataan tuhan yang biasa.
Perkataan ILAH membawa kepada pengertian yang saling melengkapi. Untuk tujuan perbincangan, kita bahagikan ia kepada enam pengertian iaitu:

-Tuhan menurut pengertian lazim
-Tumpuan atau matlamat pengabdian
-Tempat perlindungan
-Tumpuan kecintaan
-Pemberi rezeki
-Sumber perundangan

1.Menurut Kefahaman Lazim

Kalimah syahadah membawa pengertian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, suatu hakikat yang telah kita sedia maklumi. FirmanNya:

“Allah menyaksikan bahawsanya tidak ada ILAH melainkan DIA. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga mengatakan demikian juga). Yang menegakkan keadilan”¦” (Ali Imran : 18)

Allah sahajalah Tuhan di langit dan di bumi, pendeknya di seluruh alam.

Dan Dialah ILAH di langit dan di bumi, dan Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui” (Az-Zukhruf : 84)

Sebagai Tuhan yang tunggal, segala kekuasaan dan penciptaan secara multak adalah hakNya sahaja.

“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Ajaklah mereka yang kamu anggap (mereka itu berkuasa) selain Allah. Mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit mahupun di bumi. Dan mereka tidak mempunyai saham sedikit pun dalam pencapaian langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagiNya.” (Saba : 22)

2.Tumpuan Dan Matlamat Pengabdian

Kita mengakui bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah dan Allah sahajalah tumpuan serta matlamat pengabdian kita, tidak yang lain.
Bahkan sememangnya manusia dan jin itu diciptakan oleh Allah untuk tujuan pengabdian kepadaNya. Firman Allah:
Penyembahan dan pengabdian ini dilakukan dengan melaksanakan ibadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu juga, perkataan ibadat mestilah difahami menurut pengertiannya yang sebenar agak ia tidak dipandang sempit. Pengaruh sekularisma yang memisahkan agama daripada kehidupan mendorong masyarakat agar memahami ibadat sebagai aturcara manusia berhubung dengan Tuhannya semata-mata tanpa ada kaitan dengan urusan kehidupannya di dunia dan hubungannya sesama manusia. Sedangkan kalimah syahadah menuntut supaya ibadah itu dilakukan setiap masa, di setiap tempat, meliputi dan menyerapi setiap aspek serta ruang lingkup hidup insaniah.

“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam” (Al-An”™am : 162)
“Dan tidaklah mereka itu diperintahkan, kecuali menyembah ILAH yang Esa, yang tiada ILAH melainkan Dia. Maha Suci (Allah) dari apa yang mereka sekutukan dengan Dia.” (At-Taubah : 31)

Ringkasnya, implikasi kalimah La Ilaha Illallah iaitu ialah, seluruh hidup mestilah berterusan di dalam ubudiyyah kepada Allah. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah semata-mata.

3.Tempat Perlindungan

Kepercayaan dan kefahaman tentang kuasa Allah sudah tentu akan mewarasi fikiran bahawa tidak ada siapa yang mampu memberikan perlindungan secara mutlak selain daripada Allah. Segala perlindungan yang diberikan oleh mana jua makhluk adalah bersifat sementara dan bergantung terus kepada keizinanNya. Dia bebas mencabut keizinan itu pada bila-bila masa dan tinggallah insan itu berpaut pada dahan yang rapuh.
Maksud ILAH sebagai tempat perlindungan dapat dilihat dari ayat-ayat berikut sebagai contoh:

“Katakanlah : Aku berlindung dengan Rab manusia, Raja Manusia, ILAH manusia” (An-Nas : 1-3)
“Dialah Rab timur dan barat, tiada ILAH melainkan Dia. Maka terimalah Dia sebagai Pelindung.” (Al-Muzammil : 9)
Natijahnya, akan timbullah keyakinan bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi manfaat atau mudharat (lihat Al-Maidah : 76).
Ia juga akan membebaskan dari segala pautan ketakutan dan pengharapan yang lain dari Allah. Dengan cara ini akan hilanglah rasa gentar untuk melaksanakan hukum hakam Allah, walaupun terpaksa berhadapan dengan apa sahaja cabaran menurut perhitungan manusia.
Segala kemegahan dan kekuasaan kuasa-kuasa makluk itu akan menjdi fatamorgana yang sementara, tidak ubah seperti gagah perkasanya patung wayang kulit. Apabila selesai persembahan maka akan terhimpit-himpitlah mereka antara satu sama lain di dalam peti yang sempit, hinggakan yang paling gagah sebentar tadi akan berada di susunan paling bawah tertindas (lihat Al-Baqarah : 150)

4. Tumpuan Kecintaan

Bagi mereka yang benar-benar mempersaksikan La Ilaha Illallah, maka Allah sahajalah yang menjadi tumpuan kecintaan mereka bahkan tiada yang menyamai atau menyaingi kecintaan tersebut. Perhatikan maksud ayat-ayat berikut:
“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara mara, isteri-isteri dan kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah semua itu lebih kamu cintai dari cinta kamu kepada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya? Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (durhaka). (At-Taubah : 24)

“Dan ada di antara manusia orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah;
mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui tatkala mereka melihat azab (Al-Baqarah : 165)
Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah hasil kecintaan kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tiga perkara yang barangsiapa memilikinya nescaya dia akan merasa kemanisan iman, iaitu apabila Allah dan RasulNya lebih dicintainya dari segala sesuatu selain keduanya, apabila seseorang mengasihi seseorang yang lain kerana Allah, dan apabila dia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana bencinya ia untuk dicampakkan ke dalam api neraka” ““ Riwayat Bukhari dan Muslim

5. Pemberi Rezeki
Kalimah Syahadah menerangkan bahawa Allah sahajalah yang memberi rezeki, manakala makluk pula hanyalah pembawa atau penyampainya sahaja dan bukannya sumber yang boleh menambah atau menguranginya walau sebesar zarah. Ini adalah hakikat yang nyata, tetapi manusia selalu terlupa terutamanya apabila mereka hilang pertimbangan ketika mengharungi pancaroba dan cabaran hidup.

“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Apakah ada pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki dari langit dan bumi? Tiada ILAH selain Dia. Maka di manakah akalmu? (Al-Fatir : 3)

“Katakanlah: Bagaimana keadaan kamu jika Allah mencabut pendengaranmu, dan penglihatan serta menutup qalbumu? Apakah ada ILAH selain Allah yang berkuasa mengembalikan (itu semua) kepadamu? (Al-An”™am : 46)

Menerima Allah sebagai ILAH yang satu-satunya memberikan rezeki, akan mendatangkan kesedaran bahawa memilih jalan yang tidak diredhai Allah tidak akan menambah rezeki yang telah ditetapkan untuk kita walaupun seberat zarah. Begitu juga, dengan mentaati perintah Allah tidak sekali-kali akan mengurangkan rezeki kita walaupun sekecil mana pun ia. Maka betapa sia-sianya usaha dan ikhtiar yang durhaka kepada Allah.

6. Sumber Perundangan

ILAH juga membawa pengertian sebagai Zat yang kepadanya kita rujuk untuk mendapatkan ketentuan baik dan buruk, untuk mendapatkan hukum dan keputusan yang akan dipatuhi. Ia adalah aqidah yang terhasil daripada kefahaman bahawa Allah adalah satu-satunya ILAH yang Maka Perkasa, mempunyai kekuasaan yang mutlak, keagungan yang tidak terbanding. Kekuasaan Allah yang meliputi segala sesuatu itu tidak mungkin boleh dibahagi-bahagi. Ulamak bersepakat bahawa, seseorang itu menjadi kafir jika dia beriktiqad bahawa ada hukum yang lebih baik, adil dan praktikal berbanding dengan hukum Allah, atau ada sistem yang lebih baik atau setanding dengan syariatNya.

“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (Al-Maidah : 44)

Suatu ketika, seorang sahabat yang dahulunya beragama Nasrani, iaitu “˜Adi bin Hatim RA telah mendengar Nabi SAW membacakan sepotong firman Allah :
Mereka (Ahli Kitab) menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Rab selain Allah, dan (juga mereka melakukan hal yang sama kepada) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah ILAH yang Maha Esa. Tiada ILAH selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan” (At-Taubah : 31)
Lantas beliau bertanya kepada Rasulullah SAW, bahawa kami (yakni orang Nasrani) tidak pernah menyembah mereka!. Jawab Rasulullah SAW, “Tetapi mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan kemudian kamu patuh kepadanya. Dengan demikian itu kamu menyembah mereka.” ““ Maksud hadith riwayat Tirmizi dan Ibnu Jarir.
Ketentuan untuk memutuskan halal atau haram, sah atau tidak, baik atau buruk, adalah hak Allah semata-mata.. Segala sesuatu yang berkaitan dengan hal ini mestilah tunduk dan patut kepada wahyu Allah.. Undang-undang yang kita iktiraf hanyalah undang-undang Allah, atau sesuatu yang bersumber daripada undang-undang Allah, dan pastinya tidak bertentangan dengan ketetapanNya.

“Menetapkan hukum itu adalah hak Allah.” (Al-An'am : 57)

“Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka Ad-Din yang tidak diizinkan Allah?” (Asy-Syura :21)

Syahadah kita menuntut supaya kita menentang dan membenci segala perundangan yang durhaka kepada Allah, dan inilah tanda keimanan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu maka hendaklah merubahnya dengan lisannya dan jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.

Ketaatan kita adalah kepada Allah, maka tiadalah kita terikat kepada undang-undang dan akta-akta ciptaan manusia sekiranya ia bertentangan dengan syariat Allah. FirmanNya:

“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah, bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Maidah : 50)

Sifat senang dan suka kepada hukum yang selain daripada hukum Allah, adalah sifat munafiq dan dilaknat oleh Allah. FirmanNya:

“Apakah kamu tidak perhatikan orang-orang yang mengaku dirinya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut itu. Dan syaitan itu bertujuan mahu menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu semua (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul, nescaya kamu lihat orang-orang munafiq akan menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu (An-Nisa : 60-61)

TAUHID AL-ASMA WA AL- SIFAT

Iaitu percaya dan mengakui segala nama dan sifat Allah SWT secara ijmal dan tafsil menurut apa yang telah diberitahu di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah SAW. Di mana Allah mempunyai Al-Asmaul Husna (nama-nama yang paling baik) dan segala sifat kesempurnaan Maha Suci dari segala kekurangan.
Perlu diketahui bahawa tauhid Al-Asma was Sifat ini tidak memadai untuk membuktikan keIslaman dan menyatakannya, tetapi mestilah melaksanakan apa yang lazimnya terkandung di dalam Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah. Ini adalah kerana orang-orang kafir juga mengakui beberapa sifat dan nama Tuhan tetapi tidak dengan cara yang sebenar, seperti mengakui beberapa nama Allah dan menafikan nama Ar-Rahman . Kata mereka, “Kami tidak mengenal Ar-Rahman (Maha Pemurah) melainkan Rahman di Al-Yamamah sahaja.”. Lalu Allah menurunkan firmanNya:

“Padahal mereka kafir kepada Tuhan Yang Ar-Rahman (Maha Pemurah)” (Ar-Ra'd : 30)

Mereka mengakui beberapa nama dan sifat Allah SWT tetapi mereka ingkarkan nama Ar-Rahman dengan maknanya yang sebenar, begitu juga dengan sifat-sifat Allah. Bahkan mereka mengada-adakan sifat yang tidak layak bagi Allah SWT.

PENUTUP

Perlu dijelaskan di sini bahawa enam bahagian pengertian dan pengolahan maksud serta implikasi perkataan ILAH diketengahkan di sini adalah dalam rangka untuk memudahkan pengupasan tajuk dan bukannya untuk membataskan maksud-maksud serta implikasi yang terkandung di dalam Al-Asmaul Husna. Bahkan nama-nama dan sifat Allah yang mulia itu adalah kesimpulan kepada semua intipati Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah itu sebenarnya.
Bertafakurlah terhadap Al-Asmaul Husna nescaya ia akan membukakan hati kita kepada kefahaman yang lebih mendalam terhadap Uluhiyah dan Rububiyyah Allah SWT secara multak, tanpa sekutu dan tanpa bandingan.
Di dalam persoalan fiqh, pada keadaan-keadaan tertentu, kita dibolehkan bertaqlid kepada imam yang mujtahid. Tetapi di dalam masalah aqidah, ia tidak mungkin berlaku sedemikian rupa bahkan setiap individu wajiblah meyakinkan diri terhadap akidah yang dipegangnya secara ikhlas. Wallahu Alam