Subscribe Twitter

Rabu, 31 Mac 2010

Aku merindui Sudan?

Beberapa hari yang lalu, Dr. al-Amin, pensyarah berbangsa Sudan yang mengajar aku madah Nahu pada semester ini, bercerita tentang Sudan, terus aku mengelamun, aku sangat terkenang dengan perit jerih aku di Sudan, nasibku kurang baik di Sudan, biarpun begitu, bumi ini banyak mendidik aku, terima kasih sahabatku sekalian, yang tak mungkin luput dari ingatanku,

Terima kasih juga Syeikh Salih Abd Qadir yang sudi menjaga hafazanku, terima kasih PMMS..
Allah..terima kasih kalian.. "sesiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, beerti dia tidak bersyukur kepada Allah..






























Jumaat, 12 Mac 2010

Borak Syurga Dan Sembang Neraka


Sesiapa yang menetapkan amalan membaca Yaasiin di malam Jumaat sebagai pelaku bidaah yang sesat!”

“ Apa diorang ni dok bidaah-bidaahkan orang ni? Kita membaca satu surah daripada al-Quran dikatakan bidaah? Sunnah mana yang diorang pakai ni?”

“Wahabi sesat! Ibn Taimiyah buat bidaah..! tauhid dibahagikan kepada tiga pula! Sesat..sesat..”

“Apa punya pe’el diorang ni..di susah-susahkan pengajian tauhid.. sifat 20 lah..apelah.. mana orang kampong faham semua tu.. ini semua bidaah yang diada-adakan!!”

“ Berbilangnya jemaah itu suatu yang salah! Kita pelu bekerja dibawah satu jenama! Sapa-sapa yang berada di luar jemaah kita, semuanya sesat!”

Sesiapa yang tidak menggabungkan diri dengan jemaah, amalan dan kerja dakwahnya tidak diterima dan sia-sia!”

“ Lantak korang lah nak gaduh... baik clubbing malam jumaat..awek ramai turun..”

Ape mende jemaah2 ni? Cerita apa diorang ni? Chating ngan awek lagi bahagia! Serabut betul diorang ni!”

“Jom lepak Brickfield malam ni.. aku dah tak tahan ni.”

“ Hai sayang..kite jumpe malam ni kat café..mmuaaahhh”



RAMAI DAN BANYAK
Pernahkah kita merenung dan bertafakur di Suria KLCC sejenak, jauh atau dekat jarak mereka, sahabat dan rakan kita dengan halaqah usrah kita? Dengan pengajian di masjid dan surau yang kita adakan? Ramaikah kita yang ada kesedaran beragama berbanding semakin banyaknya perangai hantu yang semakin pelbagai?

Dunia kita berbeza..kita cerita, cerita ‘ahli syurga’… diorang cerita ‘ahli neraka’.. siapa yang ditipu syaitan? Kita atau mereka? Atau kita dan mereka? Benarkah kita benar dan betulkah mereka salah?

Kita tidak atau jarang sekali bersama mereka. Sekadar berceramah di masjidkah kerja kita? Sudahlah masjid kita itu orang tua yang membilang hari kematian menjemput sahaja yang ramai, anak-anak diherdik siak kerana membuat bising, malah diasingkan pula saf dewasa dan kanak-kanak..tidak perlukah kita ke padang bola,membina jambatan dakwah, wahai du’at! Bangkitlah dari lamunan! Kerah minda anda berfikir menjangkaui apa yang tercatat didalam kitab dan buku! Jangan jadikan serban, kopiah dan tudung litup anda itu menjadi kubu ampuh yang menjumudkan pemikiran anda! kita selalu menang teori..bukan..sentiasa menang teori, tetapi kerap kali kalah di sudut praktikalnya. Praktikalnya kerap sahaja dimenangi musuh, mereka bijak mengaplikasi teori dalam praktikalnya, sedang kita hebat berteori, canggung sekali praktikalnya. Kita bukan mesin Photostat!!

Dunia kita benar-benar berbeza, kita pendakwah yang tidak realiti, kurang bijak mentafsir suasana, bergaduh dan bertegang leher sesama kita, sedang masyarakat kian jauh meninggalkan fitrah, pening melihat gelagat ‘orang agama’, lantas berbogel menanggalkan pakaian (agama)! musuh tertawa riang-ria!!

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :“ Katakanlah (wahai Muhammad), apakah perlu kami beritahu kepadamu tentang orang yang paling rugi amalannya? Iaitulah mereka yang sesat amalannya di dunia ini, sedang mereka menyangka telah melakukan perbuatan yang baik” ( al-Kahfi 103-104 )


BERBEZA ATAU BERBALAH?

Mampukah kita menyatukan pemikiran manusia yang berbeza-beza? Tahap berfikir yang tidak sama tinggi rendahnya. Kita berbeza pendapat atau berbalah memenangkan cara berfikir kita? Atau kita berbeza kemudian berbalah? Siapa yang salah? Manhaj atau sikap? Siapa pandu siapa? Manhaj memandu sikap atau sikap yang jelek merosakkan manhaj!!
“ Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka” ( al-Rum-32 )

“Tarawikh 8 rakaat itu yang sunnah!!”

“ hmmm..ngaji tadika tak lulus..matematik 1-1 terkial-kial..nak tunjuk pandai.. 20 rakaat itu yang sunnah!!”

Siapa yang betul? Itu bukan isu, mana yang lebih utama? Perbalahan yang cabang itukah atau kesatuan ummah yang menjadi pokok.

Berbeza pendapat itu suatu yang pasti dan tetap akan berlaku pada satu-satu isu dan permasalahan atau ketika yang tertentu, namun perbezaan yang tercetus janganlah sehingga menyalakan api perpecahan, ditiup semboyan kekufuran, bidaah, sesat terhadap mereka yang tidak sebulu dan sekapal dengan pemikiran kita. Lunak sungguh bahasa kita terhadap saudara seaqidah kita. ‘ Yang zikir kuat setelah solat itu bidaah, yang zikir perlahan dan tidak berdoa setelah solat itu wahabi!’ yang bermain handset selepas solat, merokok di beranda surau itu juga yang ‘relek’.

Menghukum dan memberi gelaran itu akhirnya menjadi zikir orang agama. kita ini Dai’e yang berjiwa qadhi!! Anda tidak bersetuju? Maka andalah yang mesti mejadi pencetus revolusinya jika ada sekelumit kesedaran.


AHLI FORENSIK DAN PENGKAJI SEJARAH


Tugas ahli forensik adalah untuk menyiasat punca kematian si mati, demi membela hak si mati dan keluarganya jika terdapat unsur jenayah.

Pengkaji sejarah pula ceritanya membelek kisah silam dan tamadun serta artifak sejarah, membongkar kisah hidup si mati, atau sejarah silam orang yang masih hidup, dan perihalnya dipaparkan kepada masyarakat agar menjadi teladan dan ikutan jika ada kebaikannya. Kesilapan dan kekhilafannya pula dijadikan iktibar.

Namun kita pula memilih skrip yang berbeza dalam membicarakan tentang orang lain. Sejarah dirobek, diburuk-burukkan riwayat si mati, dicela dan dijaja kisah mereka yang telah pun menamatkan perjalanan di dunia sementara ini. Peduli apa jalan penceritaannya.. samada sahih atau dusta, yang penting, ada sahaja cerita buruk, melalui buku mahupun lisan, yang disandarkan kepada mereka yang tidak sekapal dengan kita, terus sahaja disebarkan! Kenapa kita memilih yang ini?

Muhibbudin al-Khatib, memberi satu muqaddimah yang baik ketika beliau mentahqiq kitab al-Awasim min al-Qawasim karangan Ibn ‘Arabi, antaranya beliau menyebut ;

“ Insan itu insan, berlaku ke atasnya apa yang berlaku ke atas insan yang lain, seorang yang benar dan salih kehidupannya( majoriti kehidupannya), tidak menghalangnya daripada melakukan kejahatan, demikian orang yang kehidupannya penuh dengan kejahatan dan kebatilan, tidak menghalangnya daripada melakukan kebaikan. Namun, apabila kita membicarakan tentang orang yang salih, yang kita ketahui dia ada melakukan kesalahan, janganlah kita lupa yang kehidupannya dipenuhi dengan kebaikan, janganlah kita mengkufurkannya kerana kesilapannya itu( ditonjolkan sebagai orang yang jahat). Demikian wajib apabila kita membicarakan tentang orang yang jahat dan batil, janganlah kita menonjolkannya sebagai orang yang baik kerana sedikit kebaikan yang dilakukannya itu.”


Muawiyyah ibn Abi Sufyan, Yazid bin Muawiyyah, Sultan Muhammad al-Fateh, Muhammad ibn Abd Wahhab, Ibn Taimiyah.. mereka telah menamatkan kembara di dunia ini, nasib mereka di tangan Allah, cela kita tidak menambah seksa mereka, puji kita tidak menambah nikmat mereka.

BERUBAHLAH..

Salafi, Khalafi, Sufi, Haraki, PAS, JIM, Tabligh, ISMA, ABIM siapa pun anda, kita tetap punya kalimah pengikat yang satu, berpeganglah dengan tali Allah, hulurkan salam dakwah, kembalikan masyarakat kepada fitrah, usah bertelagah kerana berbeza wasilah, kita punya ghayah (matlamat ) yang satu, bukankah begitu?

Segera bangkit! Sedarkah kita? Jumlah kita sedikit berbanding mereka yang menelanjangkan diri dari agama. Kita bergaduh bidaah atau harus bacaan yaasin di hari Jumaat, sedang kita hanya sekitar 20%, mereka yang clubbing, dating di kedai mamak, berpeleseran tanpa arah tuju di malam Jumaat itu 80%( belum dicampur dengan pelajar pengajian agama yang jelek perangainya, tonton lucah, merokok,etc.)

Siapa jua kita, kita MUSLIM. “ Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang mengajak kepada Allah dan melakukan amal soleh dan mereka berkata sesungguhnya aku dikalangan MUSLIMIN”(Fussilat : 24 )

“ sesungguhnya Mukminun itu bersaudara , maka perelokkanlah persaudaraan itu”(al-Hujurat :11 )

“ Kami bertolong-menolong dengan apa yang kami sepakati, dan berlapang dada dengan apa yang kami perselisihkan”_al-Syeikh Rashid Ridha