Subscribe Twitter

Ahad, 31 Oktober 2010

Buku dan Otak


Hari ini, ada peristiwa di bilik kuliah yang membuatkan aku terfikir, tentang kemampuan untuk mempengaruhi seseorang, juga kebolehan untuk membuatkan orang menerima pendapat kita, tetapi bukan memaksa orang menerima pendapat kita..

Bukan semua perkara yang kita tidak setuju, mesti dilontarkan, adakalanya diam itu lebih baik ketika suasana dan individu yang berselisih dengan kita itu, seakan tiada harapan dan ruang untuk dia menerima pendapat kita atau menarik semula kata-katanya..

Lagi tersebutlah al-kisah, apa yang dapat aku simpulkan dari apa yang berlaku siang tadi di dewan kuliah, pelajar zaman sekarang, lebih selesa mengambil atau sekadar me'naqal'kan kata-kata orang lain, tanpa berfikir panjang, akal tidak digunakan untuk mencetus idea..apa yang dibaca, diambil bulat-bulat, pemikiran kreatif tidak lagi tercetus, sekadar mengikut-ikut, merasa hebat apabila mempunyai banyak maklumat hasil pembacaan, namun otak beku dari membaca persekitaran dan keadaan sekeliling.

Perkara apa yang dibincangkan di dewan kuliah itu, tak terfikir pula nak diceritakan, tetapi itulah al-kisahnya.. jadilah pelajar yang berfikir, bukan meghafal semata..

Sabtu, 30 Oktober 2010

Haji dan Shopping


Menziarahi Madinah al-munawwarah buat kesekian kalinya, entah apa inginku titipkan, barangkali ada satu cerita yang tersengih aku terfikir tentangnya..

Bandar Madinah telah dipenuhi jemaah haji dari seluruh dunia, mereka berada di bumi ini sebelum berangkat melaksanakan manasik haji di bumi Makkah.

Yang mencuit hatiku, ketika sedang bersarapan dengan Muaz, di sebuah kedai berhampiran Masjid Nabawi, datang seorang pasangan, dari Malaysia, duduk ditempat berhampiran kami, berbual dan berkenalan kami secara ringkas dan spontan, setelah mengetahui kami adalah pelajar, soalan yang ditanya menggelikan hatiku.. " dik, kalau nak tanya berapa harga barang ni?, macam mana?"

Apa maksud tersirat yang dapat anda simpulkan dari pertanyaan itu?

teringat nasyid yang didendangkan kumpulan Raihan..

" Pergi haji..
ertinya menuju Allah yang esa.."

Bolehkah kalau ditukar liriknya begini..

"Pergi haji..
ertinya pergi membeli-belah...

Sekadar itu..

Khamis, 21 Oktober 2010

Ikhlaskah begini



عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ :(( إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ)). رواه البخاري مسلم

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin al-Khattab r.a dia berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas)berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan. “ (H.R. Bukhori no:01 dan Muslim no:1907)


KISAH MUHAJIR UMMU QAIS.

Perkongsianku pada tulisan lepas, membuatku ingin meneruskannya.. semoga aku beringat, untung-untung, ada orang lain yang sama-sama beringat..

Pertamanya, sejak di bangku sekolah lagi, selalu sahaja aku mendengar orang mengaitkan hadith ini dengan kisah seorang lelaki yang berhijrah kerana ingin mengahwini Umm al-Qais, kisah ini sahih, namun ia tidak menjadi sebab wurudnya hadith ini, demikian kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari..

PERANAN NIAT

Hadith ini sangat besar peranannya dalam ibadah.. tersilap kita, terazablah kita, ter 'riya', 'terbongkak' membongkoklah kita di akhirat kelak..
Niat membezakan antara Islam dan Kafir, mukmin dan munafiq, ibadah dan adat..tidak makan kerana tiada makanan berbeza dengan tidak makan kerana berpuasa.

Amalan seseorang tidak akan diterima Allah jika ianya dilakukan bukan keranaNya, tetapi berharap menjadi buah mulut orang, meninggalkan larangan Allah, kerana maksud yang tersendiri, bukan kerana takut pada Allah.

Kita memang suka berteori tentang suatu amalan, anak-anak diajar solat, tetapi tak diberitahu, mereka solat untuk apa, siapa yang disembah, akhirnya, sehingga besar, kita hanya mengetahui praktikal solat, sifat solat nabi, tetapi, sekadar di perbuatan, hati? entah bagaimana..

Syarat penerimaan suatu ibadah seperti solat, pertamanya, mestilah dilakukan sebagaimana yang diajar baginda s.a.w, dan yang kedua, melakukannya hanya kerana Allah s.w.t. Hari ini. orang sangat menitik beratkan tentang kefahaman secara zahir iaitu praktikal, tidak kurang ramai yang mengajak kepada kefahaman secara batin(hati), tanpa mempedulikan tentang praktikal yang diajar oleh baginda s.a.w.

bukankah sepatutnya, diajar bagaimana ibadah yang berdalil, ibadah yang sahih dan warid dari baginda s.a.w, dalam masa yang sama, dipergiatkan usaha membentuk hati, agar melakukannya semata kerana Allah, berusaha melentur hati agar sentiasa terikat dengan Allah, membuahkan hasil membentuk individu yang sabar, mampu mengawal kemarahan, merasa cukup dengan apa yang ada, syukur, redha,,juga melenyapkan buruk kata-kata, 'ujub(syok sendiri), takabbur dan sebagainya.

KEHEBATAN NIAT

Kemampuan niat memang sangat hebat, niat yang salih mampu memberi kesan kepada perkara-perkara yang harus seperti makan, minum, dan sebagainya.

Nabi s.a.w berkata kepad Sa'ad bin Abi Waqas yang bermaksud ; "sesungguhnya tidak akan engkau menginfaqkan sesuatu demi mengharap wajah Allah melainkan kau akan diganjari pahala, hatta apa yang kau berikan di mulut isterimu" (al-Bukhari). Imam Nawawi berkata tentang hadith ini, kebiasaannya, menyuapkan makanan ke mulut isteri termasuk dalam hal bergurau-senda..namun jika dilakukan untuk mendapatkan ganjaran pahala, dia akan memperolehinya ( Fathul Bari 1/137 )

Namun, Izuddin ibn Abd Salam, beliau adalah seorang faqih dalam mazhab Syafie, menyebut, bahawa yang diganjari adalah niat dan bukannya perbuatan.. makan tak diganjari pahala, tetapi niat kita makan itu yang dinilai..(lihat Qawa'id al-al-Ahkam 1/178).

Sebagai akhirnya, aku perlu hadam dan tahu, niat itu termasuk dalam iman, apakah maksud iman? membenarkannya dengan hati, menuturnya dengan lisan dan beramal dengan anggota.. kerana itu, al-Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini dalam kitab al-Iman dalam sahihnya..


Selasa, 12 Oktober 2010

Imam Nawawi dan Nasihat Ibuku


Sejak kecil lagi, ketika aku di sekolah rendah, kemudian ke sekolah menengah, sesuai dengan pertambahan umur, aku sering didengarkan, diajar dan belajar juga disuruh menghafal hadith 40 yang disusun oleh al-Imam al-Nawawi r.h, dan kini aku telah berada di alam universiti, masih mendengar dan mempelajari kitab tersebut. Dari muda sampai ke la ni, entah bertambah, entah tidak imanku mempelajari hadith-hadith yang dituturkan baginda s.a.w.

Terdetik pula rasa ingin berkongsi tentangnya di lamanku ini, sebelum itu, suka juga nak cerita sedikit tentang penulisnya, beliau lahir di sebuah kampung yang bernama Nawa, selatan Damsyik, pada tahun 631 hijri, beliau adalah seorang 'alim yang bermazhab Syafi'e, seorang yang sangat salih, zuhud dan wara', sangat berani menasihati pemerintah, tidak takut pada celaan dan keji manusia.

Beliau meninggal dunia pada tahun 676 hijri, di kampung tempat beliau dilahirkan, umurnya hanya lebih kurang 45 tahun, umur yang sangat berkat, dihabiskan untuk mengabdikan diri kepada Allah, beliau juga bujang, tidak berkahwin kerana miskin, tidak memiliki harta.

Umurnya sedikit, tetapi sumbangannya untuk agama dan umat melaut, antara buku-bukunya yang popular dikalangan kita, seperti Riyadh al-Salihin, Minhaj al-Talibin, al-Minhaj fi syarh Sahih Muslim, dan banyak lagi.

Membaca tentangnya membuatkan aku bersemangat untuk menyumbangkan sesuatu untuk agama..umurnya pendek,tetapi berkatnya tak terkata.

UMUR ITU HARTA

Umur bagaikan harta.. harta yang banyak, belum tentu berkat, ramai orang kaya yang membunuh diri, tak rasa cukup dengan kekayaan yang sedia ada,harta yang ada hanya untuk diri dan keluarga, orang lain, cari sendiri, jangan diminta darinya.. demikian umur, panjang mana pun umur kita, tidak berguna jika tidak diguna dengan sebaiknya.. menyerahkan diri kepada tuhan pencipta sekalian alam, berbakti kepada agama dan ummah..jika tidak..rugilah kita disisi Allah.

Jadilah di dunia ini seperti orang yang bermusafir, berehat sebentar di R n R, makan, minum, mengisi minyak dan bekalan-bekalan lain untuk meneruskan perjalanan, demikian kehidupan di dunia ini, semoga aku memanfaatkannya hanya untuk Allah.

TIADA SIAPA YANG BERNIAGA UNTUK RUGI

Ayahku seorang peniaga di pasar peladang Kuala Kubu Bharu, sejak beliau pencen Komando ketika usiaku baru 5 tahun, beliau menyara kami hanya dengan perniagaan kecilnya itu, Alhamdulillah, kami empat beradik, dah besar panjang pun, hasil titik peluh mak dan ayah yang bertungkus-lumus membesarkan kami. Terima kasih mak, ayah..tanpa mak dan ayah, siapalah kami ni…

Berniaga memerlukan modal, optimumkan penggunnaan modal, untuk meraih untung, semua kira-kira duit keluar masuk perlu diambil kira, dan akhirnya, mungkin perniagaan tersebut berakhir dengan keuntungan ataupun gulung tikar.

Perniagaan ayah adakala rugi, adakala untung, tapi mak dan ayah selalu ingatkan kami tentang perniagaan yang tak akan dan tak mungkin rugi.. perniagaan akhirat, beriman kepada Allah dan rasulNya, melaksanakan suruhan dan meniggalkan larangan. Kata mak, jangan dibazirkan modal umur yang Allah beri, manfaatkan sebaiknya, jangan modalnya banyak, tetapi disia-siakan, dijoli entah kemana, kelak rugi di akhirat, benar kata mak, mak tak mengaji tinggi, tiada ijazah mahupun PhD, tapi mak sangat hebat hubungannya dengan Allah..apa yang dia tahu, diamalkannya.

Semoga aku dan kita dapat mengambil ikhtibar dari imam yang hebat ini, al-Imam al-Nawawi, modal umurnya sedikit, tetapi beliau menggunakannya dengan sangat hebat, maka keuntungannya juga pastilah sangat hebat disisi Allah kelak di akhirat..