Subscribe Twitter

Rabu, 15 Disember 2010

Izinkan Aku Megucup Dahimu..


Aku ingin sekali berkongsi rasa, sangat menyentuh hati, ingin aku nukilkan terjemahan satu kisah yang berlaku di Bandar Riyadh ini,

Seorang lelaki salih, katanya , 'aku sedang memandu kereta berhampiran pasar 'uwais, tiba-tiba aku melihat seorang pemuda sedang mengusik seorang pemudi. Aku merasa ragu-ragu untuk menegur mereka, aku berazam juga untuk menasihati mereka, turun sahaja aku dari kereta, pemudi itu melarikan diri, pemuda itu pula menyangka aku adalah dari Badan amr ma'ruf nahi munkar, aku pun memberi salam, kataku : "aku bukanlah polis, ataupun badan pencegah maksiat, aku hanyalah seorang saudara yang sukakan kebaikan padamu dan aku suka untuk menasihatimu"

Kami pun duduk dan aku mula mengingatkan dia tentang Allah sehingga jatuh air dari matanya, kami bertukar nombor telefon sebelum berpisah.. selepas dua minggu, aku meraba-raba telefon di poketku, terdetik ingin menghubungnya, aku terus menghubunginya, "assalamualaikum, apa khabar, kenal aku?" jawabnya : " bagaimana aku tidak kenal suara yang aku dengar darinya hidayah, menunjukkan aku cahaya dan jalan kebenaran?

Kami membuat temu janji untuk bertemu selepas asar hari tersebut..ditakdirkan Allah, aku didatangi tetamu sehingga aku terlewat sejam daripada waktu yang dijanjikan, aku berfikir samada hendak pergi ataupun tidak..? "aku telah berjanji, aku mesti pergi walaupun lewat," ketika aku mengetuk pintu rumahnya, bapa pemuda itu yang membukanya..

Tanya aku : assalamualaikum, adakah fulan ada?"

Jawab bapanya : "waalaikumussalam," dia hanya memandang aku,

Tanya aku lagi, "fulan ada?"

Dia memandang aku dengan pelik sekali, kemudian dia berkata :" ini tanah quburnya, kami baru mengebumikannya sebentar tadi.."

Kataku : "dia baru berbual dengan aku pagi tadi"

Bapanya berkata :"dia bersolat zuhur di masjid, kemudian dia membaca al-quran, kemudian pulang untuk qailulah(tidur sebentar diwaktu petang), ketika kami ingin mengejutnya untuk makan tengahari, Allah telahpun mencabut nyawanya.."

Katanya lagi : "anak aku adalah seorang yang suka menzahirkan kemaksiatan, tapi…sejak dua minggu yang lalu, dia dah berubah, dia yang mengejut kami bangun menunaikan solat subuh, sedang sebelum itu, dia enggan bangun ketika kami mengejutnya..Allah telah menganugerahinya hidayah.."

Sambungnya : " bila kamu kenal anakku wahai saudara? "

Kataku : " dua minggu yang lalu "

Kata bapanya : "egkau yang menasihatinya?"

Jawabku : " ya"

"biarkan aku mengucup dahimu.."

*artikel asal

........Ya Allah..mahalnya hidayahmu...benarlah.. seseorang yang keseluruhan hidupnya beriman padaMu, belum tentu matinya juga dalam keadaan iman..

Orang yang hidupnya bergelumang dengan dosa, belum tentu matinya juga dalam kekufuran, Allah berhak mengurniakan hidayah kepada sesiapa pun..

Ampunkan kami ya Allah...hidupkanlah dan matikanlah kami dalam iman...

indahnya kesudahan hidup si pemuda itu...aku ingin menjadi orang yang tamak pada rahmatMu ya Allah...


Selasa, 30 November 2010


Berniaga kecil-kecilan.

Setiap peniaga yang telah berjaya meluaskan empayar perniagaan, semakin besar modalnya, semua orang mengenali produknya, pasti si dia itu memulakannya kecil-kecilan, tidak pernah putus asa, melangkah setapak demi setapak, tidak gelojoh untuk berada dipuncak, sentiasa optimis dan berfikiran positif.
Orang melayu dan sistem cepat kaya atau apa-apa yang segera.
Setiap orang berkemungkinan memiliki keinginan untuk memiliki wang yang banyak, benarkah bangsa melayu sangat suka pada cara mudah untuk mendapat kekayaan? Hatta benarkah sangat ramai yang inginkan syurga dengan cara yang mudah? Contohnya solat dengan niat sahaja..tapi bab makan, tak nak pula diniatkan sahaja.. atau hidup bergelumang dengan dosa, lepas mati, minta pada kanak-kanak tahfiz membaca al-quran dikubur mereka dengan bayaran tertentu, orang kaya la katakana.. dengan sangkaan hal itu bisa menyelamatkan mereka..

Islam 24 jam.

Berjayakah kita menjadi seorang muslim 24 jam sehari? Atau, paginya beriman, dan petangnya bermaksiat? Ataupun petangnya beriman dan paginya bermaksiat? Sedarkah kita, bahawa adanya Allah yang maha tahu setiap gerak geri kita? Bertakwakah kita dimana sahaja kita berada. Kita semua sepakat mengatakan Allah itu maha melihat, mendengar dan mengetahui, namun sedarkah kita, kita hanya mengetahui tanpa merasai?
Mulakan amal sebagaimana si peniaga yang berjaya

Kita suka berbicara hal-hal yang bersifat 'giant', adapun, hal-hal yang bersifat 'nobita', sering diperlekeh dan dipandang enteng.. aku juga ingin berbicara hal-hal yang besar, bicara tentang Islam yang memerintah dunia, menyedarkan manusia tentang perlunya mengembalikan khilafah, kesatuan umat Islam, mengharapkan kerajaan Malaysia yang bersih tanpa rasuah dan sebagainya.
Tetapi, aku suka untuk mengikut resam si peniaga yang berjaya, bermula secara kecil-kecilan, tetapi sentiasa optimis dan positif bahawa dia mampu mengorak langkah untuk maju,tidak gelojoh untuk ke puncak, bukan beerti tidak langsung melihat kehadapan, tidak berada ditakuk yang sama, tetapi sentiasa berusaha untuk menambah baik dan memajukan perniagaan.
Demikian usaha untuk menegakkan Islam dalam diri orang lain, juga untuk memartabatkan Islam di muka bumi ini, mulakan secara kecil-kecilan, setiap individu memainkan peranan seperti peniaga, peniaga berfikir untuk memajukan perniagaan, muslim berfikir bagaimana hendak memenangkan Islam.
Perkara-perkara 'kecil'.

Sedarkah kita, adakah kita berusaha untuk mengamalkan sunnah-sunnah seharian baginda saw? Adakah kita berusaha untuk menegakkan Islam dalam diri kita? Sebelum kita tegakkannya pada diri orang lain. Sebagaimana yang aku sebut diatas, mulakanlah secara kecil-kecilan, ianya nampak kecil, tetapi hakikatnya besar disisi Islam. Kita perlu menanam rasa bahagia dan cinta mengamalkan sunnah dalam kehidupan seharian kita!!
Contoh.. makan dengan tangan kanan menjadi kebiasaan, perkara tersebut sunnah sebenarnya, tetapi minum? Tangan kanan telah kotor memegang makanan, maka kita sering minum dengan tangan kiri..sedang makan dan minum itu sunnahnya menggunakan tangan kanan. Apabila kita bahagia untuk beramal dengan sunnah, pasti kita akan berusaha mempelajarinya.. memakai kasut, dimulakan dengan kaki kanan, dipecat,kaki kiri dahulu, membaca basmalah ketika hendak makan, disudahi dengan alhamdulillah, usahalah untuk solat jemaah di masjid setiap waktu bagi lelaki, bukan berat untuk menyebut lafaz 'subhanallah al-azim, subhanallah wa bihamdihi', dua kalimah yang disukai oleh Allah al-Rahman, mengucap 'Alhamdulillah' ketika bersin, orang yang mendengarnya menjawab dengan ucapan 'yarhamukallah', dan banyak lagi sunnah-sunnah baginda yang mampu kita amalkan, malah, kita tidak memerlukan suatu amalan pun selain apa yang diajari baginda saw..sedang sunnahnya pun tak terhabis kita nak amalkan..

Mulakanlah..tegakkan Islam didalam diri kita terlebih dahulu..

Jumaat, 26 November 2010

Lambaian Yang Disambut



Perjalanan haji yang menarik tahun ini, pertama kali pergi secara koboi, adakalanya terasa perit, hidung berkepul dengan tahi, asap bas menjadi makanan pagi, tengahari dan malam. Perjalanan bertambah menjadi lebih mencabar kerana bersama kami seorang nenek, dan seorang baby, 'travel' kami disungut oleh nenek yang pernah menunaikan haji dengan tabung haji, "dulu pergi dengan tabung haji, tak payah jalan pun, naik bas, turun bas, sampai ke hotel" kami hanya mampu membalasnya dengan sengihan.

Terpisah.

Pada aku, hari yang paling menguji ialah ketika perjalanan menapak dari Arafah ke Muzdalifah sejauh 5km, bagi aku, Pak Syeikh, Apit, Loqman, Naim, Ja'a dan Faiz, bukanlah suatu masalah besar, dengan kudrat tenaga muda kami, tetapi yang menimbulkan cabaran ialah untuk kekal berjalan dalam kumpulan, tidak terpisah didalam lautan manusia, dalam masa yang sama, bersama kami keluarga Dr. Habib seramai 9 orang..

Akhirnya terpisah juga kami, aku lah yang pertama sekali rasa 'terpinggir',tak perasan langsung mereka semua berhenti rehat ditepi jalan, sedang aku menapak terus, dengan sangkaan mereka berada didepan,jutaan manusia disekitar, jalan berhimpit dada.

akhirnya aku dibenarkan untuk meneruskan perjalanan sendirian, bermalam di Muzdalifah sehingga pertengahan malam, kemudian kembali ke Makkah, jarak yang memisahkan Muzdalifah ke Makkah lebih dari 10km, Alhamdulillah sampai ke Makkah lebih kurang jam 2 pagi, hanya mampu menapak sehingga jam 1 pagi, kemudian membonceng motor dengan harga 50 Riyal, penunggang 2 memang layak diberi pujian,nak tercabut jantung aku, mencilok, dicelah bas dan kereta, membawa dilorong bertentangan, sedang aku berkain ihram cuma..kalau tercabut?ha… kemudian, dengan selamba dia Tanya, "ya haj! Quais kida?"( haji, ok tak macam ni?) aku menjawab " anta quais marrah" (engkau bagus sangat-sangat), dalam hati aku, punyalah panjang mengucap..rasa macam subuh di masjidil haram nanti, aku bukan lagi bersembahyang, tetapi disembahyangkan! Kami memulakan ekspedisi menapak pada jam 7malam..lebih 6 jam menapak…

Sangkaku, aku yang paling kurang bernasib baik, rupanya aku yang paling kurang dugaannya..rupanya selepas aku terpisah keseorangan dengan kumpulan, mereka terpecah juga kepada 3 kumpulan, semuanya melalui dugaan yang pelbagai, ada yang subuh diatas bas, ada yang berjalan seorang diri menolak baby, ada yang bersesak didalam bas yang sebenarnya hanya boleh memuatkan 40 orang, tetapi disumbat sehingga 80 orang, akhirnya, seorang penumpang pengsan, seorang muntah-muntah, semua penumpang turun tanpa membayar satu sen pun. Padan muka pemandu bas yang tamak, mencekik jemaah yang terdesak.

Akhirnya Alhamdulillah kami semua selamat sampai di rumah kami, aku yang paling awal, mujur kunci rumah bersama aku, dan yang paling lewat sampai, kumpulan Pak Syeikh, mereka sampai pada jam 9 pagi, solat subuh dan solat raya didalam bas..

Bayaran sebuah pengalaman.

Pengalaman yang pastinya tersemat dan akan dibandingkan dengan cabaran pada musim haji akan datang InsyaAllah, jika diizinkan Allah untuk menyahut seruan hajinya pada musim akan datang.

Sangat menarik perjalanan haji kali ini, jika kami pergi dengan travel yang berbayar, pastinya selesa dan kemudahan yang diterima akan menjadikan kita selesa untuk menunaikan haji, khemah untuk wuquf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina disediakan, tetapi pengalaman ini tiada harganya, namanya pun pelajar, mana nak cekau duit sampai tiga-empat ribu untuk membayar travel, upah yang diterima untuk melaksanakan badal haji pun bukannya seberapa, tetapi semangat untuk menjadi tetamu Allah itu bergolak, setiap kali telah berada didalam himpitan jutaan manusia, bermandi bukan sekadar dengan peluh kita sendiri, tetapi peluh jutaan orang selain kita, maka jadilah badan kita memiliki 'wangian' dari pelbagai benua, terdetik dihati, "tahun depan aku nak rehat la..tak larat nak buat haji macam ni," tapi bila dah selesai segala amalan haji, terus tak sabar menanti kedatangan musim haji akan datang..

Taqwa itu membezakah darjat.

Haji benar-benar satu didikan menurunkan ego, semua manusia sama.. tiada apa yang membezakan kita melainkan taqwa kepada Allah.. semuanya berpakaian putih tanpa jahitan..

Haji turut menuntut tenaga yang banyak, jadi, tunaikan haji di hari muda anda, dihari anda diberikan nikmat kesihatan dan kewangan, jangan ditangguh lagi, ada la seorang sahabat ni, usianya 18 tahun, merungut..katanya, " tak tau la makcik pakcik yang wat haji ketika umur 40-50 tahun..macam mana la rasa kaki diorang, umur yang belum 20 ni ha dah rasa nak tercabut kaki.."

Segala cabaran, jika kita melihatnya disudut yang positif, insyaAllah hasilnya baik, dan kita mampu melaksanakannya tanpa tekanan..bayangkan jika nak diikutkan amarah, pasti ada sahaja yang akan dihamun dan disembur, ditolak sehingga nak tersungkur, sangkaku lelaki bertubuh sasa, rupanya makcik-makcik tua yang berpaut tangan, enggan berlepas, habis semua orang dikuak dan dilanggar tanpa simpati,.

Tersalahkah begini?

Hmm..jika hendak diceritakan segalanya, tak tercerita, tetapi ada satu lagi yang ingin sangat dikongsi, dikala kita hendak mendekatkan dengan Allah, janganlah sehingga menyakiti orang lain, sedang amalan tersebut sunat sahaja, tetapi menyakiti orang lain itu satu kesalahan.. contohnya,mencium hajarul aswad itu sunat, hendak dicium boleh,tetapi tak perlulah bergasak, menolak dan menyakiti orag lain.. bukan sekadar dalam haji, tetapi juga dalam hal-hal yang lain

Oh ye..terlupa pula satu lagi yang rasa menarik untuk dikongsi, bergambar ketika masih berada didalam ihram..aku sangat lah kurang bersetuju..bukankah kita berada didalam ibadah? Mengapa ingin dijadikan kenangan sebegitu pula, misalannya begini, "Mat, aku nak sembahyang sunat ni, masa aku tengah solat, ko tangkap gambar aku tau! Saja nak buat kenangan, nanti boleh tunjuk kat kawan-kawan," amacam? Apa pendapat anda? Demikian haji, ia merupakan ibadah, tak perlulah bergambar ketika kita didalam ihram, seakan nak menunjuk-nunjuk pula perihal ibadah kita kepada selain Allah..

Ahad, 31 Oktober 2010

Buku dan Otak


Hari ini, ada peristiwa di bilik kuliah yang membuatkan aku terfikir, tentang kemampuan untuk mempengaruhi seseorang, juga kebolehan untuk membuatkan orang menerima pendapat kita, tetapi bukan memaksa orang menerima pendapat kita..

Bukan semua perkara yang kita tidak setuju, mesti dilontarkan, adakalanya diam itu lebih baik ketika suasana dan individu yang berselisih dengan kita itu, seakan tiada harapan dan ruang untuk dia menerima pendapat kita atau menarik semula kata-katanya..

Lagi tersebutlah al-kisah, apa yang dapat aku simpulkan dari apa yang berlaku siang tadi di dewan kuliah, pelajar zaman sekarang, lebih selesa mengambil atau sekadar me'naqal'kan kata-kata orang lain, tanpa berfikir panjang, akal tidak digunakan untuk mencetus idea..apa yang dibaca, diambil bulat-bulat, pemikiran kreatif tidak lagi tercetus, sekadar mengikut-ikut, merasa hebat apabila mempunyai banyak maklumat hasil pembacaan, namun otak beku dari membaca persekitaran dan keadaan sekeliling.

Perkara apa yang dibincangkan di dewan kuliah itu, tak terfikir pula nak diceritakan, tetapi itulah al-kisahnya.. jadilah pelajar yang berfikir, bukan meghafal semata..

Sabtu, 30 Oktober 2010

Haji dan Shopping


Menziarahi Madinah al-munawwarah buat kesekian kalinya, entah apa inginku titipkan, barangkali ada satu cerita yang tersengih aku terfikir tentangnya..

Bandar Madinah telah dipenuhi jemaah haji dari seluruh dunia, mereka berada di bumi ini sebelum berangkat melaksanakan manasik haji di bumi Makkah.

Yang mencuit hatiku, ketika sedang bersarapan dengan Muaz, di sebuah kedai berhampiran Masjid Nabawi, datang seorang pasangan, dari Malaysia, duduk ditempat berhampiran kami, berbual dan berkenalan kami secara ringkas dan spontan, setelah mengetahui kami adalah pelajar, soalan yang ditanya menggelikan hatiku.. " dik, kalau nak tanya berapa harga barang ni?, macam mana?"

Apa maksud tersirat yang dapat anda simpulkan dari pertanyaan itu?

teringat nasyid yang didendangkan kumpulan Raihan..

" Pergi haji..
ertinya menuju Allah yang esa.."

Bolehkah kalau ditukar liriknya begini..

"Pergi haji..
ertinya pergi membeli-belah...

Sekadar itu..

Khamis, 21 Oktober 2010

Ikhlaskah begini



عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ :(( إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ)). رواه البخاري مسلم

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin al-Khattab r.a dia berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas)berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan. “ (H.R. Bukhori no:01 dan Muslim no:1907)


KISAH MUHAJIR UMMU QAIS.

Perkongsianku pada tulisan lepas, membuatku ingin meneruskannya.. semoga aku beringat, untung-untung, ada orang lain yang sama-sama beringat..

Pertamanya, sejak di bangku sekolah lagi, selalu sahaja aku mendengar orang mengaitkan hadith ini dengan kisah seorang lelaki yang berhijrah kerana ingin mengahwini Umm al-Qais, kisah ini sahih, namun ia tidak menjadi sebab wurudnya hadith ini, demikian kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari..

PERANAN NIAT

Hadith ini sangat besar peranannya dalam ibadah.. tersilap kita, terazablah kita, ter 'riya', 'terbongkak' membongkoklah kita di akhirat kelak..
Niat membezakan antara Islam dan Kafir, mukmin dan munafiq, ibadah dan adat..tidak makan kerana tiada makanan berbeza dengan tidak makan kerana berpuasa.

Amalan seseorang tidak akan diterima Allah jika ianya dilakukan bukan keranaNya, tetapi berharap menjadi buah mulut orang, meninggalkan larangan Allah, kerana maksud yang tersendiri, bukan kerana takut pada Allah.

Kita memang suka berteori tentang suatu amalan, anak-anak diajar solat, tetapi tak diberitahu, mereka solat untuk apa, siapa yang disembah, akhirnya, sehingga besar, kita hanya mengetahui praktikal solat, sifat solat nabi, tetapi, sekadar di perbuatan, hati? entah bagaimana..

Syarat penerimaan suatu ibadah seperti solat, pertamanya, mestilah dilakukan sebagaimana yang diajar baginda s.a.w, dan yang kedua, melakukannya hanya kerana Allah s.w.t. Hari ini. orang sangat menitik beratkan tentang kefahaman secara zahir iaitu praktikal, tidak kurang ramai yang mengajak kepada kefahaman secara batin(hati), tanpa mempedulikan tentang praktikal yang diajar oleh baginda s.a.w.

bukankah sepatutnya, diajar bagaimana ibadah yang berdalil, ibadah yang sahih dan warid dari baginda s.a.w, dalam masa yang sama, dipergiatkan usaha membentuk hati, agar melakukannya semata kerana Allah, berusaha melentur hati agar sentiasa terikat dengan Allah, membuahkan hasil membentuk individu yang sabar, mampu mengawal kemarahan, merasa cukup dengan apa yang ada, syukur, redha,,juga melenyapkan buruk kata-kata, 'ujub(syok sendiri), takabbur dan sebagainya.

KEHEBATAN NIAT

Kemampuan niat memang sangat hebat, niat yang salih mampu memberi kesan kepada perkara-perkara yang harus seperti makan, minum, dan sebagainya.

Nabi s.a.w berkata kepad Sa'ad bin Abi Waqas yang bermaksud ; "sesungguhnya tidak akan engkau menginfaqkan sesuatu demi mengharap wajah Allah melainkan kau akan diganjari pahala, hatta apa yang kau berikan di mulut isterimu" (al-Bukhari). Imam Nawawi berkata tentang hadith ini, kebiasaannya, menyuapkan makanan ke mulut isteri termasuk dalam hal bergurau-senda..namun jika dilakukan untuk mendapatkan ganjaran pahala, dia akan memperolehinya ( Fathul Bari 1/137 )

Namun, Izuddin ibn Abd Salam, beliau adalah seorang faqih dalam mazhab Syafie, menyebut, bahawa yang diganjari adalah niat dan bukannya perbuatan.. makan tak diganjari pahala, tetapi niat kita makan itu yang dinilai..(lihat Qawa'id al-al-Ahkam 1/178).

Sebagai akhirnya, aku perlu hadam dan tahu, niat itu termasuk dalam iman, apakah maksud iman? membenarkannya dengan hati, menuturnya dengan lisan dan beramal dengan anggota.. kerana itu, al-Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini dalam kitab al-Iman dalam sahihnya..


Selasa, 12 Oktober 2010

Imam Nawawi dan Nasihat Ibuku


Sejak kecil lagi, ketika aku di sekolah rendah, kemudian ke sekolah menengah, sesuai dengan pertambahan umur, aku sering didengarkan, diajar dan belajar juga disuruh menghafal hadith 40 yang disusun oleh al-Imam al-Nawawi r.h, dan kini aku telah berada di alam universiti, masih mendengar dan mempelajari kitab tersebut. Dari muda sampai ke la ni, entah bertambah, entah tidak imanku mempelajari hadith-hadith yang dituturkan baginda s.a.w.

Terdetik pula rasa ingin berkongsi tentangnya di lamanku ini, sebelum itu, suka juga nak cerita sedikit tentang penulisnya, beliau lahir di sebuah kampung yang bernama Nawa, selatan Damsyik, pada tahun 631 hijri, beliau adalah seorang 'alim yang bermazhab Syafi'e, seorang yang sangat salih, zuhud dan wara', sangat berani menasihati pemerintah, tidak takut pada celaan dan keji manusia.

Beliau meninggal dunia pada tahun 676 hijri, di kampung tempat beliau dilahirkan, umurnya hanya lebih kurang 45 tahun, umur yang sangat berkat, dihabiskan untuk mengabdikan diri kepada Allah, beliau juga bujang, tidak berkahwin kerana miskin, tidak memiliki harta.

Umurnya sedikit, tetapi sumbangannya untuk agama dan umat melaut, antara buku-bukunya yang popular dikalangan kita, seperti Riyadh al-Salihin, Minhaj al-Talibin, al-Minhaj fi syarh Sahih Muslim, dan banyak lagi.

Membaca tentangnya membuatkan aku bersemangat untuk menyumbangkan sesuatu untuk agama..umurnya pendek,tetapi berkatnya tak terkata.

UMUR ITU HARTA

Umur bagaikan harta.. harta yang banyak, belum tentu berkat, ramai orang kaya yang membunuh diri, tak rasa cukup dengan kekayaan yang sedia ada,harta yang ada hanya untuk diri dan keluarga, orang lain, cari sendiri, jangan diminta darinya.. demikian umur, panjang mana pun umur kita, tidak berguna jika tidak diguna dengan sebaiknya.. menyerahkan diri kepada tuhan pencipta sekalian alam, berbakti kepada agama dan ummah..jika tidak..rugilah kita disisi Allah.

Jadilah di dunia ini seperti orang yang bermusafir, berehat sebentar di R n R, makan, minum, mengisi minyak dan bekalan-bekalan lain untuk meneruskan perjalanan, demikian kehidupan di dunia ini, semoga aku memanfaatkannya hanya untuk Allah.

TIADA SIAPA YANG BERNIAGA UNTUK RUGI

Ayahku seorang peniaga di pasar peladang Kuala Kubu Bharu, sejak beliau pencen Komando ketika usiaku baru 5 tahun, beliau menyara kami hanya dengan perniagaan kecilnya itu, Alhamdulillah, kami empat beradik, dah besar panjang pun, hasil titik peluh mak dan ayah yang bertungkus-lumus membesarkan kami. Terima kasih mak, ayah..tanpa mak dan ayah, siapalah kami ni…

Berniaga memerlukan modal, optimumkan penggunnaan modal, untuk meraih untung, semua kira-kira duit keluar masuk perlu diambil kira, dan akhirnya, mungkin perniagaan tersebut berakhir dengan keuntungan ataupun gulung tikar.

Perniagaan ayah adakala rugi, adakala untung, tapi mak dan ayah selalu ingatkan kami tentang perniagaan yang tak akan dan tak mungkin rugi.. perniagaan akhirat, beriman kepada Allah dan rasulNya, melaksanakan suruhan dan meniggalkan larangan. Kata mak, jangan dibazirkan modal umur yang Allah beri, manfaatkan sebaiknya, jangan modalnya banyak, tetapi disia-siakan, dijoli entah kemana, kelak rugi di akhirat, benar kata mak, mak tak mengaji tinggi, tiada ijazah mahupun PhD, tapi mak sangat hebat hubungannya dengan Allah..apa yang dia tahu, diamalkannya.

Semoga aku dan kita dapat mengambil ikhtibar dari imam yang hebat ini, al-Imam al-Nawawi, modal umurnya sedikit, tetapi beliau menggunakannya dengan sangat hebat, maka keuntungannya juga pastilah sangat hebat disisi Allah kelak di akhirat..

Ahad, 20 Jun 2010

Sembang-sembang yang tidak sumbang


Alhamdulillah, selesai sudah imtihan, esok pulang bercuti selama tiga bulan.. dicelah-celah itu, banyak perbualan menarik yang aku sempat kongsi dengan sahabat pelajar dari pelbagai negara.


Ada yang sempat ku lihat, cara berfikirnya lurus, tiada bengkok-bengkok, yang totok salafinya tidak kurang, memuji barat juga tidak ketinggalan..


Paling kerap menjadi teman aku berbual dikala orang lain sibuk menelaah pelajaran; Rabbani, dari Niger ( negara yang terletak bersebelahan dengan Nigeria ).


Katanya, aku menunggu Amerika mendidik kerajaan negara aku sebagaimana Amerika mendidik Iraq dan Afghanistan, tergelak kecil aku dibuatnya dengan lawak tak kelakar tu.. katanya, hari ini kita dihina barat kerana kita tak memuliakan diri kita.. benar katanya..


sebagaimana kata Umar al-Khatab.." Allah Muliakan kita dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan selain apa yang Allah telah muliakan kita, maka kita akan dihina oleh Allah"


Kami pantang berjumpa, di kantin, di masjid, mahu pun sebelum masuk ke dewan peperiksaan, pasti berbual panjang tentang perkara serius yang pastinya tiada kaitan dengan peperiksaan, dalam keadan santai dan bergurau, antara perkataannya yang best, orang di Saudi meninggalkan maksiat kerana takutkan hukuman, tapi di barat, muslim meninggalkan maksiat kerana takutkan Allah..hehe.. subhanallah..


Tanya aku padanya, kenapa kau seakan mengagungkan barat,? katanya, kerana barat mengikut apa yang Islam ajar dalam budaya kerja.. tak macam negara Islam, kau tengok sahaja budaya di Saudi, tak perlu aku hurai panjang..kau tengok sendiri..


hmm..jangan diikut budaya hidup buruk di barat,tapi banyak kebaikan disudut lain yang boleh dilihat dan dicontohi.. kata Dr. Sulaiman al-Yusof, pensyarah madah Adab,( beliau tinggal lama di Amerika, tak ingat berapa tahun) katanya, orang Amerika minum arak, berzina, tapi mereka bekerja danberdisiplin ketika bekerja, muslimin pula, minum arak, berzina tapi tak bekerja..




BUDAYA HIDUP BARAT ADALAH SPT SEBUAH KAPAL YANG SEDANG TENGGELAM DAN UMAT ISLAM BEREBUT-REBUT MEMBELI TIKET UTK MENAIKINYA -CAT STEVEN

Rabu, 2 Jun 2010

Menjadi Debu Lebih Mulia






Menjadi debu yang melekat di kaki pejuang agama Allah di medan menegakkan Islam lebih mulia dari menjadi manusia yang sekadar mengunyah cekodok lagak si bodoh menonton filem dan drama, tercegat dihadapan skrin..

Ghaza kembali berdarah, tanggal 27 desember 2008, aku berangkat meninggalkan Malaysia, mengembara ke bumi Sudan, tarikh itu juga bumi Ghaza bermandi darah, aku hadir di bumi yang menjadikan semangatku berjuang begitu membakar.. Allah, bebaskan bumi Palestin dari yahudi yang bangsat dan busuk!

Aku mencari semangat itu semula disini, juga disini, juga disini, dan disini, disini juga

Sabtu, 29 Mei 2010

Peristiwa Thaif.

Perjalanan aku bersama Prof Habib, Azhar dan firdaus beberapa bulan dahulu, mencari kesan sejarah yang mencatatkan peristiwa sedih, baginda s.a.w dan Zaid bin Harithah dilontar batu oleh penduduk Thaif. Dan kesannya terpalit sehingga ke hari ini, Tiada seorang pun penduduk Thaif ingin memberi maklumat kepada kami tentang lokasi peristiwa tersebut, kami akhirnya berjaya mendapatkan maklumat melalui seorang Ahli Madinah.



Bersama Prof Habib, disekitar kebun anggur, tempat baginda s.a.w berlindung daripada terus dilontar oleh penduduk Thaif, kini kebun tersebut ditanam kobis. Binaan bewarna putih dibelakang kami ialah Masjid 'Addas, nama tersebut diberi bersempena dengan pemuda pertama Thaif yang menerima Islam.

Disinilah Baginda melafazkan doa yang sangant masyur :

"Ya, Allah kepada-Mu aku mengadukan kelemahanku kurangnya kesanggupanku, dan kerendahan diriku berhadapan dengan manusia. Wahai Dzat Yang Maha Pengasih ladi Maha Penyayang. Engkaulah Pelindung bagi si lemah dan Engkau jualah pelindungku! Kepada siapa diriku hendak Engkau serahkan? Kepada orang jauh yang berwajah suram terhadapku, ataukah kepada musuh yang akan menguasai diriku ? Jika Engkau tidak murka kepadaku, maka semua itu tak kuhiraukan, kerana sungguh besar nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku. Aku berlindung pada sinar cahaya wajah-Mu, yang menerangi kegelapan dan mendatangkan kebajikan di dunia dan di akherat dari murka-Mu yang hendak Engkau turunkan dan mempersalahkan diriku. Engkau berkenan. Sungguh tiada daya dan kekuatan apa pun selain atas perkenan-Mu.

Berkat do’a Rasulullah saw itu tergeraklah rasa hiba di dalam hati kedua anak lelaki Rabi’ah yang memiliki kebun itu. Mereka memanggil pelayannya seorang Nasrani, bernama Addas, kemudian diperintahkan, “Ambilkan buah anggur, dan berikan kepada orang itu!“ Ketika Addas meletakkan anggur itu di hadapan Rasulullah saw, dan berkata kepadanya, “Makanlah!“ Rasulullah saw mengulurkan tangannya seraya mengucapkan, “Bismillah.“ Kemudian dimakannya.Mendengar ucapan beliau itu, Addas berkata, “Demi Allah, kata-kata itu tidap pernah diucapkan oleh penduduk daerah ini.“ Rasulullah saw bertanya, “Kamu dari daerah mana dan apa agamamu?“ Addas menjawab, “Saya seorang Nasrani dari daerah Ninawa.

Rasulullah saw bertanya lagi, “Apakah kamu dari negeri seorang saleh yang bernama Yunus bin Matta?“ Rasulullah saw menerangkan "Yunus bin Matta adalah saudaraku. Ia seorang Nabi dan aku pun seorang Nabi.“ Seketika itu juga Addas berlutut di hadapan Rasulullah saw, lalu mencium kepala, kedua tangan dan kedua kaki beliau.




Berada diatas bumbung Masjid 'Addas, bukit yang berada dibelakang kami itulah yang dikatakan lokasi dimana peristiwa baginda s.a.w dan Zaid bin Harithah dilontar batu.

Ya Allah, Ampunilah dosa kami, dosa ibu bapa kami dan seluruh umat Islam

Jumaat, 23 April 2010

Guru Agama..

Lazimnya, tiada teguran harus diajukan mengenai disiplin tatkala seseorang guru masuk ke kelas untuk mengajar. Para pelajar akan berdiri, memberi salam hormat kepada guru dan duduk setelah diizinkan.

Setelah para pelajar mengucapkan salam kepada guru tersebut, mereka beramai-ramai melafazkan doa yang berbunyi (dalam bahasa Arab), "rabbi -syrah lii shadrii, wa yassir lii amri, wahlul 'uqdatan min-lisaani, yafqahuu qaulii, waj'al lii waziiran min ahlii."

Itu kononnya doa untuk terang hati.

Doa tersebut dipetik daripada ayat-ayat al-Qur'an yang bererti, "Wahai Pemeliharaku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah ikatan pada lisanku (lidahku), supaya mereka memahami ucapanku" (20:25-28).

Sekiranya para pelajar itu mengetahui maksud doa yang disuruh dilafazkan sebelum memulakan pembelajaran, tentu mereka akan menyuruh guru agama tersebut melafazkannya pula sebelum dia memulakan pengajarannya!

Demikian itu adalah satu contoh kekalutan dalam pendidikan agama yang terdapat di sekolah kita. Tentu ada yang lain.

Cerita diteruskan. Seorang murid perempuan balik ke rumah lalu memberitahu ibunya, "Emak, cikgu agama kata tuhan tu bodoh!" Ibunya kehairanan seraya bertanya, "Kenapa Ina cakap begitu?" "Sebab dalam ujian agama, Ina tulis satu daripada sifat tuhan ialah 'Tuhan itu pandai' tapi cikgu tanda salah!!"

Terdahulu daripada itu, semasa murid itu lebih kecil, dia telah menceritakan perihal Nabi Nuh dengan bahteranya. Dia memberitahu bahtera tersebut telah bocor lalu air masuk ke dalamnya. Nabi Nuh bersegera pergi ke tempat yang bocor itu lalu menampalnya dengan tahi matanya.
Apabila ditanya dari mana cerita itu didengar, dia menjawab, "Dari cikgu agama di sekolah."

Rabu, 31 Mac 2010

Aku merindui Sudan?

Beberapa hari yang lalu, Dr. al-Amin, pensyarah berbangsa Sudan yang mengajar aku madah Nahu pada semester ini, bercerita tentang Sudan, terus aku mengelamun, aku sangat terkenang dengan perit jerih aku di Sudan, nasibku kurang baik di Sudan, biarpun begitu, bumi ini banyak mendidik aku, terima kasih sahabatku sekalian, yang tak mungkin luput dari ingatanku,

Terima kasih juga Syeikh Salih Abd Qadir yang sudi menjaga hafazanku, terima kasih PMMS..
Allah..terima kasih kalian.. "sesiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, beerti dia tidak bersyukur kepada Allah..






























Jumaat, 12 Mac 2010

Borak Syurga Dan Sembang Neraka


Sesiapa yang menetapkan amalan membaca Yaasiin di malam Jumaat sebagai pelaku bidaah yang sesat!”

“ Apa diorang ni dok bidaah-bidaahkan orang ni? Kita membaca satu surah daripada al-Quran dikatakan bidaah? Sunnah mana yang diorang pakai ni?”

“Wahabi sesat! Ibn Taimiyah buat bidaah..! tauhid dibahagikan kepada tiga pula! Sesat..sesat..”

“Apa punya pe’el diorang ni..di susah-susahkan pengajian tauhid.. sifat 20 lah..apelah.. mana orang kampong faham semua tu.. ini semua bidaah yang diada-adakan!!”

“ Berbilangnya jemaah itu suatu yang salah! Kita pelu bekerja dibawah satu jenama! Sapa-sapa yang berada di luar jemaah kita, semuanya sesat!”

Sesiapa yang tidak menggabungkan diri dengan jemaah, amalan dan kerja dakwahnya tidak diterima dan sia-sia!”

“ Lantak korang lah nak gaduh... baik clubbing malam jumaat..awek ramai turun..”

Ape mende jemaah2 ni? Cerita apa diorang ni? Chating ngan awek lagi bahagia! Serabut betul diorang ni!”

“Jom lepak Brickfield malam ni.. aku dah tak tahan ni.”

“ Hai sayang..kite jumpe malam ni kat café..mmuaaahhh”



RAMAI DAN BANYAK
Pernahkah kita merenung dan bertafakur di Suria KLCC sejenak, jauh atau dekat jarak mereka, sahabat dan rakan kita dengan halaqah usrah kita? Dengan pengajian di masjid dan surau yang kita adakan? Ramaikah kita yang ada kesedaran beragama berbanding semakin banyaknya perangai hantu yang semakin pelbagai?

Dunia kita berbeza..kita cerita, cerita ‘ahli syurga’… diorang cerita ‘ahli neraka’.. siapa yang ditipu syaitan? Kita atau mereka? Atau kita dan mereka? Benarkah kita benar dan betulkah mereka salah?

Kita tidak atau jarang sekali bersama mereka. Sekadar berceramah di masjidkah kerja kita? Sudahlah masjid kita itu orang tua yang membilang hari kematian menjemput sahaja yang ramai, anak-anak diherdik siak kerana membuat bising, malah diasingkan pula saf dewasa dan kanak-kanak..tidak perlukah kita ke padang bola,membina jambatan dakwah, wahai du’at! Bangkitlah dari lamunan! Kerah minda anda berfikir menjangkaui apa yang tercatat didalam kitab dan buku! Jangan jadikan serban, kopiah dan tudung litup anda itu menjadi kubu ampuh yang menjumudkan pemikiran anda! kita selalu menang teori..bukan..sentiasa menang teori, tetapi kerap kali kalah di sudut praktikalnya. Praktikalnya kerap sahaja dimenangi musuh, mereka bijak mengaplikasi teori dalam praktikalnya, sedang kita hebat berteori, canggung sekali praktikalnya. Kita bukan mesin Photostat!!

Dunia kita benar-benar berbeza, kita pendakwah yang tidak realiti, kurang bijak mentafsir suasana, bergaduh dan bertegang leher sesama kita, sedang masyarakat kian jauh meninggalkan fitrah, pening melihat gelagat ‘orang agama’, lantas berbogel menanggalkan pakaian (agama)! musuh tertawa riang-ria!!

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :“ Katakanlah (wahai Muhammad), apakah perlu kami beritahu kepadamu tentang orang yang paling rugi amalannya? Iaitulah mereka yang sesat amalannya di dunia ini, sedang mereka menyangka telah melakukan perbuatan yang baik” ( al-Kahfi 103-104 )


BERBEZA ATAU BERBALAH?

Mampukah kita menyatukan pemikiran manusia yang berbeza-beza? Tahap berfikir yang tidak sama tinggi rendahnya. Kita berbeza pendapat atau berbalah memenangkan cara berfikir kita? Atau kita berbeza kemudian berbalah? Siapa yang salah? Manhaj atau sikap? Siapa pandu siapa? Manhaj memandu sikap atau sikap yang jelek merosakkan manhaj!!
“ Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka” ( al-Rum-32 )

“Tarawikh 8 rakaat itu yang sunnah!!”

“ hmmm..ngaji tadika tak lulus..matematik 1-1 terkial-kial..nak tunjuk pandai.. 20 rakaat itu yang sunnah!!”

Siapa yang betul? Itu bukan isu, mana yang lebih utama? Perbalahan yang cabang itukah atau kesatuan ummah yang menjadi pokok.

Berbeza pendapat itu suatu yang pasti dan tetap akan berlaku pada satu-satu isu dan permasalahan atau ketika yang tertentu, namun perbezaan yang tercetus janganlah sehingga menyalakan api perpecahan, ditiup semboyan kekufuran, bidaah, sesat terhadap mereka yang tidak sebulu dan sekapal dengan pemikiran kita. Lunak sungguh bahasa kita terhadap saudara seaqidah kita. ‘ Yang zikir kuat setelah solat itu bidaah, yang zikir perlahan dan tidak berdoa setelah solat itu wahabi!’ yang bermain handset selepas solat, merokok di beranda surau itu juga yang ‘relek’.

Menghukum dan memberi gelaran itu akhirnya menjadi zikir orang agama. kita ini Dai’e yang berjiwa qadhi!! Anda tidak bersetuju? Maka andalah yang mesti mejadi pencetus revolusinya jika ada sekelumit kesedaran.


AHLI FORENSIK DAN PENGKAJI SEJARAH


Tugas ahli forensik adalah untuk menyiasat punca kematian si mati, demi membela hak si mati dan keluarganya jika terdapat unsur jenayah.

Pengkaji sejarah pula ceritanya membelek kisah silam dan tamadun serta artifak sejarah, membongkar kisah hidup si mati, atau sejarah silam orang yang masih hidup, dan perihalnya dipaparkan kepada masyarakat agar menjadi teladan dan ikutan jika ada kebaikannya. Kesilapan dan kekhilafannya pula dijadikan iktibar.

Namun kita pula memilih skrip yang berbeza dalam membicarakan tentang orang lain. Sejarah dirobek, diburuk-burukkan riwayat si mati, dicela dan dijaja kisah mereka yang telah pun menamatkan perjalanan di dunia sementara ini. Peduli apa jalan penceritaannya.. samada sahih atau dusta, yang penting, ada sahaja cerita buruk, melalui buku mahupun lisan, yang disandarkan kepada mereka yang tidak sekapal dengan kita, terus sahaja disebarkan! Kenapa kita memilih yang ini?

Muhibbudin al-Khatib, memberi satu muqaddimah yang baik ketika beliau mentahqiq kitab al-Awasim min al-Qawasim karangan Ibn ‘Arabi, antaranya beliau menyebut ;

“ Insan itu insan, berlaku ke atasnya apa yang berlaku ke atas insan yang lain, seorang yang benar dan salih kehidupannya( majoriti kehidupannya), tidak menghalangnya daripada melakukan kejahatan, demikian orang yang kehidupannya penuh dengan kejahatan dan kebatilan, tidak menghalangnya daripada melakukan kebaikan. Namun, apabila kita membicarakan tentang orang yang salih, yang kita ketahui dia ada melakukan kesalahan, janganlah kita lupa yang kehidupannya dipenuhi dengan kebaikan, janganlah kita mengkufurkannya kerana kesilapannya itu( ditonjolkan sebagai orang yang jahat). Demikian wajib apabila kita membicarakan tentang orang yang jahat dan batil, janganlah kita menonjolkannya sebagai orang yang baik kerana sedikit kebaikan yang dilakukannya itu.”


Muawiyyah ibn Abi Sufyan, Yazid bin Muawiyyah, Sultan Muhammad al-Fateh, Muhammad ibn Abd Wahhab, Ibn Taimiyah.. mereka telah menamatkan kembara di dunia ini, nasib mereka di tangan Allah, cela kita tidak menambah seksa mereka, puji kita tidak menambah nikmat mereka.

BERUBAHLAH..

Salafi, Khalafi, Sufi, Haraki, PAS, JIM, Tabligh, ISMA, ABIM siapa pun anda, kita tetap punya kalimah pengikat yang satu, berpeganglah dengan tali Allah, hulurkan salam dakwah, kembalikan masyarakat kepada fitrah, usah bertelagah kerana berbeza wasilah, kita punya ghayah (matlamat ) yang satu, bukankah begitu?

Segera bangkit! Sedarkah kita? Jumlah kita sedikit berbanding mereka yang menelanjangkan diri dari agama. Kita bergaduh bidaah atau harus bacaan yaasin di hari Jumaat, sedang kita hanya sekitar 20%, mereka yang clubbing, dating di kedai mamak, berpeleseran tanpa arah tuju di malam Jumaat itu 80%( belum dicampur dengan pelajar pengajian agama yang jelek perangainya, tonton lucah, merokok,etc.)

Siapa jua kita, kita MUSLIM. “ Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang mengajak kepada Allah dan melakukan amal soleh dan mereka berkata sesungguhnya aku dikalangan MUSLIMIN”(Fussilat : 24 )

“ sesungguhnya Mukminun itu bersaudara , maka perelokkanlah persaudaraan itu”(al-Hujurat :11 )

“ Kami bertolong-menolong dengan apa yang kami sepakati, dan berlapang dada dengan apa yang kami perselisihkan”_al-Syeikh Rashid Ridha

Ahad, 21 Februari 2010

BERBAIK DENGAN SYIAH?

Seruan kesatuan ummat sering kedengaran, hentikan perbalahan antara mazhab, syiah dan ahli sunnah perlu bersatu, enak bunyinya, tetapi pada aku, hal tersebut boleh dikatakan mustahil, tidak mungkin ahli sunnah mampu berbaik dengan syiah.

Berbicara tentang syiah, benarkah syiah berusaha untuk merapatkan ikatan dengan ahli sunnah? ahli sunnah pula, ta'asub dengan mazhabnya, enggan berbaik dengan syiah. Adakah ini semua benar? jika anda membaca tulisan aku sebelum ini berkaitan hakikat syiah, bagaimana kita ingin berbaik dengan mereka, sedang sejarah kewujudan mereka sangat buruk, lahir dari perut Abdullah bin Saba'.

kata al-Imam at-Tabari :

"Telah berlaku pada hari Jumaat, 18 Zulhijjah tahun 35 hijrah, hari musibah terbesar dalam Islam, pembunuhan si Syahid yang dizalimi, Uthman zu an-nurain, Allah meninggikan martabatnya di dunia yang kekal abadi, pada hari tersebut, lahirnya syiah dari perut Ibn Saba', yahudi yang berpura-pura Islam,si hitam yang menzahirkan Islam dan berlakunya kejadian berdarah diatas tangannya " ( Tarikh at-Tabari jzk 4 ms 416 )

Kata Dr. Mustafa as-Sibaie :

Pada tahun 1953, aku menziarahi Abdul Hussain di rumahnya dan bersamanya beberapa ulama' syiah, kami berbicara tentang keperluah menyatukan kalimah antara syiah dan ahli sunnah, dan diantara mereka yang bersungguh-sungguh kearah matlamat tersebut, menziarahi para ulama dari kedua-dua kumpulan, mengeluarkan buku dan tulisan untuk menyeru kearah kesatuan tersebut, dan beliau_Abdul Hussain, begitu bersemangat untuk menjayakan matlamat tersebut dan percaya ianya akan berjaya, dianjurkan muktamar yang menghimpunkan ulama' sunni dan syi'i demi tujuan tersebut, aku sangat gembira dengan hal ini, namun selepas beberapa fatrah masa berlalu, aku terkejut, Abdul Hussain mengarang buku mencerca dan menghina Abu Hurairah r.a.

Aku begitu ta'ajub dengan pendirian beliau yang tidak menunjukkan langsung keinginannya kearah kesatuan ummah, dan sekarang aku melihat pendirian yang sama dari kumpulan syiah yang menyeru kearah kesatuan ummah, mereka menyeru, menyebarkan majalah di Qaherah, meminta ulama Azhar menulis untuk tujuan tersebut, kita tidak melihat kesan dari seruan tersebut, mereka terus berada diatas apa yang mereka tulis, mencerca, dusta dan mentohmah para sahabat r.a, seakan-akan maksud dakwah tersebut adalah mendekatkan ahli sunnah kepada mazhab syiah, bukannya mendekatkan antara dua mazhab satu sama lain.

Dan setiap kajian ilmiah didalam kitab sejarah as-sunnah, atau mazhab-mazhab islamiyyah yang tidak selari dengan sudut pandang syiah, ulama' mereka akan bangun, mengingkari kajian tersebut dan berselindung di sebalik seruan kesatuan, mendakwa kajian tersebut sebagai ta'asub, tetapi kitab seperti kitab Abdul Hussain Syarf ad-Din yang mencerca sebesar-besar sahabat, yang dipercayai periwayatan hadith-hadith daripadanya menurut ahli sunnah, tidak pula dipandang sebagai perbuatan yang mengingkari dan menyulitkan usaha kearah mendekatkan dua kumpulan ini, tidaklah aku sekadar membataskan kitab ini sahaja dalam hal ini, tetapi banyak lagi kitab yang dicetak di Iraq dan Iran yang mencela Aisyah r.a dan sekalian sahabat, yang tidak sanggup didengari oleh insan yang punya hati perut.. " ( Dr. Mustafa as-Sibaie : As-Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri' al-Islamiy m.s 10 )

Demikian syiah, terus hidup dalam kepura-puraan, kata Muhibbudin al-Khatib,
" sesungguhnya taqiyyah adalah i'tiqad yang harus buat mereka, menyembunyikan i'tiqad mereka, menzahirkan keinginan untuk saling faham memahami, dekat mendekati, hakikatnya mereka tidak mahukan hal tersebut, tidak redha dengannya malah tidak berusaha pun kearah itu" (al-Khutut al-'Aridhah)


Sudut pandang syiah terhadap ahli sunnah.

Bagaimana kita ingin bersatu dengan mereka sedang kita ini dianggap najis. kata bapa reformasi Iran, al-Khomeini didalam bukunya Tahrir al-Wasilah, menganggap ahli sunnah sebagai najis.

Dizaman khalifah 'Abasiyyah, telah dilantik seorang syi'i sebagai menteri, akhirnya dia belot dan mengadakan perjanjian dengan Tartar untuk menjatuhkan daulah, ribuan umat islam disembelih di Baghdad, al-Khomeini memuji tindakan menteri tersebut didalam bukunya al-Hukumah al-Islamiyyah.

Syiah juga mendoakan sesiapa yang berselisih dengan mereka dengan seksaan.
kata al-'Amili dalam bukunya Wasail as-Syiah : "Jika mereka ingkar dengan kebenaran syiah, doakan kepada mereka, "Ya Allah,penuhi rongga mereka dengan api, qubur mereka dengan api, dan kuasai qubur mereka dengan ular dan kala jengking."

Syiah menganggap solat ahli sunnah sebagai batal, katanya :"meletakkan tangan kanan keatas tangan kiri membatalkan solat tetapi harus dengan taqiyyah " ( tahrir wasilah jzk 1 ms 186)

Solat bersama ahli sunnah juga batal, hatta perlunya seseorang itu mengulangi solatnya ( al-Tijani : Kullu al-Hulul 'inda ahl rasul , ms:160 )

Wahai saudaraku sekalian, masih adakah lagi ruang untuk bersama dengan mereka? Uthman al-Affan dituduh zina, Abu Bakr r.a dan Umar r.a dituduh kafir.. malah sekalian sahabat dianggap murtad selepas kewafatan bagindan s.a.w, kecuali sedikit.. Allahul musta'an.. wallahua'lam..