Subscribe Twitter

Sabtu, 28 Februari 2009

Mengganggu Yang Hidup Dengan Mencela Sirah si Mati



Kalau seorang ahli forensik mengkaji tubuh badan si mati, seorang ahli sejarah mengkaji sirah kehidupan si mati. Tetapi kedua-duanya mengkaji, untuk mencari manfaat bagi yang masih hidup.


Pakar forensik akan membedah tubuh si mati, bagi mengenal pasti punca kematiannya. Jika matinya berpunca dari jenayah, maka penjenayah itu mesti dicari agar jangan dia membunuh yang masih hidup. Jika kematian si mati berpunca dari penyakit yang ada risiko pewarisan genetik, maka ahli keluarga yang masih hidup, kena lebih berhati-hati dengan kehidupannya. Jika orang lain boleh tidak endah dengan bengkak sana bengkak sini, maka bagi keluarga si mati yang mati kerana kanser payu dara, tidak boleh sambil lewa.


Kerja pakar forensik tidak begitu sulit. Tubuh badan si mati ada di depan mata. Tugasnya adalah untuk mengaplikasikan ilmunya ke atas tubuh si mati di depan mata.
Seorang murid Sejarah, dia bertugas membedah sirah kehidupan si mati. Mungkin bukan sekadar seorang insan yang telah mati, tetapi satu umat yang telah binasa. Punca mati dan binasa umat itu perlu dicari.


Jika mati tokoh atau punah bangsa kerana jenayah orang lain, maka setiap bangsa yang masih hidup mestilah berhati-hati jika ada pihak lain sedang melakukan jenayah yang sama ke atas mereka. Jika ada ahli keluarga mahu pun jiran tetangga yang lunak dengan penjenayah itu, bukalah mata dan telinga, kerana mereka itulah mungkin talam dua mukanya. Pelindung nifaq seperti ini mungkin menjual ahli keluarga dan jirannya, demi maslahah diri, seperti yang telah dan sering berlaku kepada umat yang telah mati.


Jika kematian si mati berpunca dari penyakit yang ada risiko pewarisan sikap dan kerenah, maka ahli keluarga yang masih hidup kenalah lebih berhati-hati dengan kehidupan mereka. Mereka perlu sedar yang bangsa mereka ada kelemahan, daya tahan diri lemah, dan mudah jatuh sakit. Maka janganlah bermain-main di tempat kotor yang banyak penuh bakteria dan virus. Kalau ada anasir jahat yang berlegar-legar di tengah kehidupan, jangan ambil mudah kerana tubuh badan kita lemah, berdasarkan Sejarah.


Kerja murid Sejarah tidak mudah. Sirah kehidupan si mati dan umat yang telah mati, bukan berlonggok di depan mata. Segala-galanya bertabur dan berkecai. Ada yang ditimbus bumi, ada yang hilang dibaham masa. Secebis sana secebis sini, perlu dikutip dan dicantum, bagi beroleh gambaran yang penuh, terhadap hakikat kehidupan masa lampau yang ingin diteladani.
Inilah cabaran yang saya hadapi. Cabaran yang dihadapi oleh setiap murid Sejarah.
Tetapi kepayahan itulah letaknya kepuasan. Kerana hidup saya adalah kehidupan yang mengkaji si mati, untuk manafaat mereka yang masih hidup.


TELAH MATI TETAP TELAH MATI


Akan tetapi, tokoh yang sudah mati tetap sudah mati. Kita peduli dengan mereka adalah demi mengambil teladan darinya untuk hidup ini. Kita tidak mencakar dan merobek si mati, seolah-olah si mati yang telah mati, tetap mahu dibunuh dan dimatikan lagi, berkali-kali.
“Yang mati biarkan mati, yang pergi tetap kan pergi”
Kita sanggup bermati-mati, untuk membuat keputusan terhadap si mati, seolah-olah kita mahu mengambil alih kuasa Tuhan, menentukan nasib si mati di alam kedua.


AKHLAK SI HIDUP TERHADAP SI MATI


Di sinilah timbulnya hairan saya di dalam diri, atas kehodohan akhlak sesetengah kita yang rakus merobek sirah si mati. Mulut terlalu celupar mencela sirah umat yang sudah mati. Zikirnya setiap hari ialah pada mengumpul dan mempopularkan cacat cela si mati yang tulang di dalam bumi.


Apabila kita mahu berkata-kata tentang para Anbiya, sahabat dan generasi Islam yang telah lalu, kita berkata-kata dengan budi dan sopan bahasa. Kalau si mayat, kita begitu hormat untuk tidak menyakiti tubuhnya yang telah mati, maka sirah generasi umat yang lalu juga kita sentuh berpada-pada.


Kita belajar dari Sejarah, catatan hidup generasi yang sudah mati, kerana mahu mencari teladan dan panduan bagi yang hidup.
Atas dasar itu, saya sentiasa mengingatkan diri, supaya jangan celupar mengkritik generasi yang telah pergi. Yang baik pada si fulan, saya ambil jadi panduan, yang kurang dan cacat cela, saya pulangkan ia kepada Tuhannya yang juga Tuhan saya.


Nama-nama insan yang telah pergi, bermula dari Aisyah dan Fatimah, Muawiyah dan Yazid, Hasan dan Husain, Hasan al-Basri dan Umar bin Abdul Aziz, Imam Syafie, juga al-Ghazzali, malah Ibn Taimiyah, juga Muhammad bin Abdul Wahhab dan Sultan Abdul Hamid ke-II … nama-nama ini adalah nama hamba Tuhan yang sudah mati. Nasib mereka sudah pasti. Cela kita terhadap mereka tidak menambah hukuman derita. Puji kita tidak mengangkat mereka ke darjat mulia. Kita puji atau kita cela, mereka sudah melengkapkan sirah hidup mereka, dan kepada Allah jua kembali segala ketentuan.


Saya tidak suka melihat kegelojohan orang hari ini, merobek sirah si mati dengan bahasa nafsu dan kesumat diri. Mati-mati mahu membuktikan kesesatan si fulan bin si fulan, mati-mati mahu membela kebenaran si fulan bin si fulan, hingga hilang rasional dan timbang iman.
Berpada-padalah meneladani sirah yang telah mati, jangan dicaci tulang di dalam bumi, kerana kesannya buruk di Sana nanti.
Kalau saya ada pedang, ’saif’ saya adalah untuk membela kehidupan, bukan mencantas si mati yang telah pergi.
Itu baru pahlawan yang JANTAN.

Aqidah Tauhid

Aqidah Tauhid: Tiada Ilah Melainkan Allah

La Ilaha Illallah (Tiada Tuhan melainkan Allah) merupakan bahagian pertama daripada kalimah pengakuan keimanan. Ia bermaksud tiada sesuatu pun yang patut ditujukan pengabdian melainkan Allah.
Muhammad Rasulullah (Muhammad Utusan Allah) adalah bahagian keduanya. Ia bermaksud, pengabdian itu mestilah dilakukan berlandaskan ajaran dan cara yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah SAW.
Mentauhidkan Allah dengan makna makrifat yang sebenarnya hendaklah merangkumi tiga perkara iaitu :

1-Tauhid Rububiyyah
2-Tauhid Uluhiyyah
3-Tauhid Al-Asmawas sifat

TAUHID RUBUBIYYAH

Rububiyyah berasal daripada perkataan Rabb dan dari konteks linguistik, ia mengandungi beberapa maksud seperti berikut:
1-Pemeliharaan anak atau pemeliharaan kebun. Ia menjaga dari segala kesusahan kerana ia bertugas sebagai pemelihara, penjaga, pengasuh segala urusan yang berhubung dengan anak atau kebun.

2-Pemimpin atau pembela umat. Apabila ia memerintah ia menjalankan kepimpinan dan hukum; dan ia dianggap sebagai pemimpin masyarakat.
Majikan yang menjaga dan mengawasi rumah atau memilikinya juga digunakan sebagai penternak atau gembala. Ia bererti ada pertaliannya dengan fungsi raja yang memerintah, mendidik dan membela serta mengawasi. Jika perkataan Rabb digunakan untuk Dzat Ilahi, maka hakikatnya Allah merupakan Raja bagi segala makhluk. Ia sebagai Tuhan, sebagai Raja bagi segala raja, yang Maha Agung dan Maha Hakim serta tidak ada yang lebih agung dan hakim selainNya. Dia yang menjadikan alam semesta dengan pengaturan yang rapi, pemeliharaan dan pengendalian pergerakan seluruh alam.

Dari segi istilah syara, Tauhid Rububiyyah bermaksud mentauhidkan Allah pada mencipta alam, mengurus dan mentadbirkannya, memiliki, memelihara, menghidup, mematikan dan seterusnya, di mana terkandung di dalamnya juga beriman dengan qadar.
Tauhid ini sahaja tidaklah mencukupi dalam mencapai iman dan Islam, kerana Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang musyrik juga mengakui tauhid ini. FirmanNya di dalam Surah Yunus ayat 10:

“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?”

Rujuk juga surah Az-Zukhruf ayat 87, Al-Ankabut ayat 61 dan 63
Keingkaran manusia kepada adanya pencipta hanya kerana kesombongan dan ketakburan, bukan bererti fitrah manusia menolak adanya Pencipta. Kerana itu apabila kepompong kesombongan yang mengurung fitrah itu hilang, maka tanpa disedari manusia pada suatu waktu terpaksa menyerahkan dirinya kepada kekuasaan Allah dan meminta tolong kepadanya. Hakikat ini menjadi ketara apabila manusia menempuh detik-detik genting di mana segala pengharapan terputus, kecuali yang bersandar kepada Yang Maha Esa. FirmanNya di dalam surah Luqman ayat 32:

“Apabila mereka dilamun ombak yang (besar) seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya. Tetapi tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, maka sebahagian mereka sahaja yang tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar”

Daya memahami adanya Allah Yang Maha Pencipta, sudah semulajadi dibekalkan ke dalam naluri manusia. Oleh yang demikian, perbahasan mengenai Tauhid Rububiyyah bukanlah merupakan sasaran utama perbincangan Al-Quran. Persoalannya adalah sama ada fitrah ini dibentuk, dipupuk, diseleweng atau dibanteras. Jika dibanteras, bermakna manusia tersebut menzalimi dirinya sendiri. Sekiranya terseleweng maka akan songsanglah insan tadi mengharungi hidup ini, celakalah dia di neraka nanti.
Dan seandainya naluri ini dipupuk, dididik dan dipertingkatkan ketaqwaannya, maka pasti akan menatijahkan keyakinan yang bulat bahawa Allah sahajalah sumber cipta, Allah sahajalah yang berhak menerima pengabdian ringkasnya pengiktirafan uluhiyah Allah secara mutlak dan serba merangkumi:

TAUHID ULUHIYYAH

Iaitu dengan ikhlas memberikan kepada Allah, dengan mahabbah (cinta) kepadaNya, khauf (takut) kepadaNya, raja(pengharapan), tawakal dan raghbah (keinginan) dan rahbah (kegerunan) hanya kepada Allah. Bahawa semua itu dibina dengan ibadat yang ikhlas zahir dan batinnya kepada dan kerana Allah. Tidak ada sekutu bagiNya, tidak dijadikan ibadat itu kepada selainNya. Seterusnya menerima segala hukum dengan yakin dan redha.
Perkataan Ilah lazimnya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai TUHAN. Penterjemahan itu tidaklah salah tetapi pemahaman Bahasa Melayu terhadap perkataan Tuhan tidak merangkumi keseluruhan makna Ilah yang dikehendaki oleh nas syara. Selain daripada Allah, perkataan Tuhan ditujukan kepada patung-patung berhala atau dewa-dewi Hindu dan Buddha. Orang Melayu yang beragama Islam yang tidak menyembah patung-patung itu tadi sudah tentu menganggap bahawa mereka sudah menyempurnakan kewajipan mengiktiraf Allah sebagai Tuhan dan bebas daripada syirik. Sedangkan pemahaman serpihan terhadap makna Ilah itu tadi akan mendedahkan mereka kepada pelbagai syirik lain yang boleh berlaku tanpa disedari dan di luar kefahaman.
Untuk mengelakkan kekeliruan, eloklah kita perhatikan kepada penggunaan perkataan ILAH di dalam Al-Quran:

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAHnya (Al-Jatsiyah : 23)

Di dalam ayat ini Allah SWT telah menujukan perkatan ILAH kepada hawa nafsu. Sudah tentu perkataan ILAH yang diertikan sebagai tuhan menurut kefahaman biasa tidak akan dapat menggambarkan hawa nafsu sebagai tuhan. Ini membuktikan bahawa perkataan ILAH mempunyai makna yang jauh lebih luas dari perkataan tuhan yang biasa.
Perkataan ILAH membawa kepada pengertian yang saling melengkapi. Untuk tujuan perbincangan, kita bahagikan ia kepada enam pengertian iaitu:

-Tuhan menurut pengertian lazim
-Tumpuan atau matlamat pengabdian
-Tempat perlindungan
-Tumpuan kecintaan
-Pemberi rezeki
-Sumber perundangan

1.Menurut Kefahaman Lazim

Kalimah syahadah membawa pengertian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, suatu hakikat yang telah kita sedia maklumi. FirmanNya:

“Allah menyaksikan bahawsanya tidak ada ILAH melainkan DIA. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga mengatakan demikian juga). Yang menegakkan keadilan”¦” (Ali Imran : 18)

Allah sahajalah Tuhan di langit dan di bumi, pendeknya di seluruh alam.

Dan Dialah ILAH di langit dan di bumi, dan Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui” (Az-Zukhruf : 84)

Sebagai Tuhan yang tunggal, segala kekuasaan dan penciptaan secara multak adalah hakNya sahaja.

“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Ajaklah mereka yang kamu anggap (mereka itu berkuasa) selain Allah. Mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit mahupun di bumi. Dan mereka tidak mempunyai saham sedikit pun dalam pencapaian langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagiNya.” (Saba : 22)

2.Tumpuan Dan Matlamat Pengabdian

Kita mengakui bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah dan Allah sahajalah tumpuan serta matlamat pengabdian kita, tidak yang lain.
Bahkan sememangnya manusia dan jin itu diciptakan oleh Allah untuk tujuan pengabdian kepadaNya. Firman Allah:
Penyembahan dan pengabdian ini dilakukan dengan melaksanakan ibadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu juga, perkataan ibadat mestilah difahami menurut pengertiannya yang sebenar agak ia tidak dipandang sempit. Pengaruh sekularisma yang memisahkan agama daripada kehidupan mendorong masyarakat agar memahami ibadat sebagai aturcara manusia berhubung dengan Tuhannya semata-mata tanpa ada kaitan dengan urusan kehidupannya di dunia dan hubungannya sesama manusia. Sedangkan kalimah syahadah menuntut supaya ibadah itu dilakukan setiap masa, di setiap tempat, meliputi dan menyerapi setiap aspek serta ruang lingkup hidup insaniah.

“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam” (Al-An”™am : 162)
“Dan tidaklah mereka itu diperintahkan, kecuali menyembah ILAH yang Esa, yang tiada ILAH melainkan Dia. Maha Suci (Allah) dari apa yang mereka sekutukan dengan Dia.” (At-Taubah : 31)

Ringkasnya, implikasi kalimah La Ilaha Illallah iaitu ialah, seluruh hidup mestilah berterusan di dalam ubudiyyah kepada Allah. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah semata-mata.

3.Tempat Perlindungan

Kepercayaan dan kefahaman tentang kuasa Allah sudah tentu akan mewarasi fikiran bahawa tidak ada siapa yang mampu memberikan perlindungan secara mutlak selain daripada Allah. Segala perlindungan yang diberikan oleh mana jua makhluk adalah bersifat sementara dan bergantung terus kepada keizinanNya. Dia bebas mencabut keizinan itu pada bila-bila masa dan tinggallah insan itu berpaut pada dahan yang rapuh.
Maksud ILAH sebagai tempat perlindungan dapat dilihat dari ayat-ayat berikut sebagai contoh:

“Katakanlah : Aku berlindung dengan Rab manusia, Raja Manusia, ILAH manusia” (An-Nas : 1-3)
“Dialah Rab timur dan barat, tiada ILAH melainkan Dia. Maka terimalah Dia sebagai Pelindung.” (Al-Muzammil : 9)
Natijahnya, akan timbullah keyakinan bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi manfaat atau mudharat (lihat Al-Maidah : 76).
Ia juga akan membebaskan dari segala pautan ketakutan dan pengharapan yang lain dari Allah. Dengan cara ini akan hilanglah rasa gentar untuk melaksanakan hukum hakam Allah, walaupun terpaksa berhadapan dengan apa sahaja cabaran menurut perhitungan manusia.
Segala kemegahan dan kekuasaan kuasa-kuasa makluk itu akan menjdi fatamorgana yang sementara, tidak ubah seperti gagah perkasanya patung wayang kulit. Apabila selesai persembahan maka akan terhimpit-himpitlah mereka antara satu sama lain di dalam peti yang sempit, hinggakan yang paling gagah sebentar tadi akan berada di susunan paling bawah tertindas (lihat Al-Baqarah : 150)

4. Tumpuan Kecintaan

Bagi mereka yang benar-benar mempersaksikan La Ilaha Illallah, maka Allah sahajalah yang menjadi tumpuan kecintaan mereka bahkan tiada yang menyamai atau menyaingi kecintaan tersebut. Perhatikan maksud ayat-ayat berikut:
“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara mara, isteri-isteri dan kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah semua itu lebih kamu cintai dari cinta kamu kepada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya? Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (durhaka). (At-Taubah : 24)

“Dan ada di antara manusia orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah;
mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui tatkala mereka melihat azab (Al-Baqarah : 165)
Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah hasil kecintaan kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tiga perkara yang barangsiapa memilikinya nescaya dia akan merasa kemanisan iman, iaitu apabila Allah dan RasulNya lebih dicintainya dari segala sesuatu selain keduanya, apabila seseorang mengasihi seseorang yang lain kerana Allah, dan apabila dia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana bencinya ia untuk dicampakkan ke dalam api neraka” ““ Riwayat Bukhari dan Muslim

5. Pemberi Rezeki
Kalimah Syahadah menerangkan bahawa Allah sahajalah yang memberi rezeki, manakala makluk pula hanyalah pembawa atau penyampainya sahaja dan bukannya sumber yang boleh menambah atau menguranginya walau sebesar zarah. Ini adalah hakikat yang nyata, tetapi manusia selalu terlupa terutamanya apabila mereka hilang pertimbangan ketika mengharungi pancaroba dan cabaran hidup.

“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Apakah ada pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki dari langit dan bumi? Tiada ILAH selain Dia. Maka di manakah akalmu? (Al-Fatir : 3)

“Katakanlah: Bagaimana keadaan kamu jika Allah mencabut pendengaranmu, dan penglihatan serta menutup qalbumu? Apakah ada ILAH selain Allah yang berkuasa mengembalikan (itu semua) kepadamu? (Al-An”™am : 46)

Menerima Allah sebagai ILAH yang satu-satunya memberikan rezeki, akan mendatangkan kesedaran bahawa memilih jalan yang tidak diredhai Allah tidak akan menambah rezeki yang telah ditetapkan untuk kita walaupun seberat zarah. Begitu juga, dengan mentaati perintah Allah tidak sekali-kali akan mengurangkan rezeki kita walaupun sekecil mana pun ia. Maka betapa sia-sianya usaha dan ikhtiar yang durhaka kepada Allah.

6. Sumber Perundangan

ILAH juga membawa pengertian sebagai Zat yang kepadanya kita rujuk untuk mendapatkan ketentuan baik dan buruk, untuk mendapatkan hukum dan keputusan yang akan dipatuhi. Ia adalah aqidah yang terhasil daripada kefahaman bahawa Allah adalah satu-satunya ILAH yang Maka Perkasa, mempunyai kekuasaan yang mutlak, keagungan yang tidak terbanding. Kekuasaan Allah yang meliputi segala sesuatu itu tidak mungkin boleh dibahagi-bahagi. Ulamak bersepakat bahawa, seseorang itu menjadi kafir jika dia beriktiqad bahawa ada hukum yang lebih baik, adil dan praktikal berbanding dengan hukum Allah, atau ada sistem yang lebih baik atau setanding dengan syariatNya.

“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (Al-Maidah : 44)

Suatu ketika, seorang sahabat yang dahulunya beragama Nasrani, iaitu “˜Adi bin Hatim RA telah mendengar Nabi SAW membacakan sepotong firman Allah :
Mereka (Ahli Kitab) menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Rab selain Allah, dan (juga mereka melakukan hal yang sama kepada) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah ILAH yang Maha Esa. Tiada ILAH selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan” (At-Taubah : 31)
Lantas beliau bertanya kepada Rasulullah SAW, bahawa kami (yakni orang Nasrani) tidak pernah menyembah mereka!. Jawab Rasulullah SAW, “Tetapi mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan kemudian kamu patuh kepadanya. Dengan demikian itu kamu menyembah mereka.” ““ Maksud hadith riwayat Tirmizi dan Ibnu Jarir.
Ketentuan untuk memutuskan halal atau haram, sah atau tidak, baik atau buruk, adalah hak Allah semata-mata.. Segala sesuatu yang berkaitan dengan hal ini mestilah tunduk dan patut kepada wahyu Allah.. Undang-undang yang kita iktiraf hanyalah undang-undang Allah, atau sesuatu yang bersumber daripada undang-undang Allah, dan pastinya tidak bertentangan dengan ketetapanNya.

“Menetapkan hukum itu adalah hak Allah.” (Al-An'am : 57)

“Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka Ad-Din yang tidak diizinkan Allah?” (Asy-Syura :21)

Syahadah kita menuntut supaya kita menentang dan membenci segala perundangan yang durhaka kepada Allah, dan inilah tanda keimanan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu maka hendaklah merubahnya dengan lisannya dan jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.

Ketaatan kita adalah kepada Allah, maka tiadalah kita terikat kepada undang-undang dan akta-akta ciptaan manusia sekiranya ia bertentangan dengan syariat Allah. FirmanNya:

“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah, bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Maidah : 50)

Sifat senang dan suka kepada hukum yang selain daripada hukum Allah, adalah sifat munafiq dan dilaknat oleh Allah. FirmanNya:

“Apakah kamu tidak perhatikan orang-orang yang mengaku dirinya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut itu. Dan syaitan itu bertujuan mahu menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu semua (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul, nescaya kamu lihat orang-orang munafiq akan menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu (An-Nisa : 60-61)

TAUHID AL-ASMA WA AL- SIFAT

Iaitu percaya dan mengakui segala nama dan sifat Allah SWT secara ijmal dan tafsil menurut apa yang telah diberitahu di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah SAW. Di mana Allah mempunyai Al-Asmaul Husna (nama-nama yang paling baik) dan segala sifat kesempurnaan Maha Suci dari segala kekurangan.
Perlu diketahui bahawa tauhid Al-Asma was Sifat ini tidak memadai untuk membuktikan keIslaman dan menyatakannya, tetapi mestilah melaksanakan apa yang lazimnya terkandung di dalam Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah. Ini adalah kerana orang-orang kafir juga mengakui beberapa sifat dan nama Tuhan tetapi tidak dengan cara yang sebenar, seperti mengakui beberapa nama Allah dan menafikan nama Ar-Rahman . Kata mereka, “Kami tidak mengenal Ar-Rahman (Maha Pemurah) melainkan Rahman di Al-Yamamah sahaja.”. Lalu Allah menurunkan firmanNya:

“Padahal mereka kafir kepada Tuhan Yang Ar-Rahman (Maha Pemurah)” (Ar-Ra'd : 30)

Mereka mengakui beberapa nama dan sifat Allah SWT tetapi mereka ingkarkan nama Ar-Rahman dengan maknanya yang sebenar, begitu juga dengan sifat-sifat Allah. Bahkan mereka mengada-adakan sifat yang tidak layak bagi Allah SWT.

PENUTUP

Perlu dijelaskan di sini bahawa enam bahagian pengertian dan pengolahan maksud serta implikasi perkataan ILAH diketengahkan di sini adalah dalam rangka untuk memudahkan pengupasan tajuk dan bukannya untuk membataskan maksud-maksud serta implikasi yang terkandung di dalam Al-Asmaul Husna. Bahkan nama-nama dan sifat Allah yang mulia itu adalah kesimpulan kepada semua intipati Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah itu sebenarnya.
Bertafakurlah terhadap Al-Asmaul Husna nescaya ia akan membukakan hati kita kepada kefahaman yang lebih mendalam terhadap Uluhiyah dan Rububiyyah Allah SWT secara multak, tanpa sekutu dan tanpa bandingan.
Di dalam persoalan fiqh, pada keadaan-keadaan tertentu, kita dibolehkan bertaqlid kepada imam yang mujtahid. Tetapi di dalam masalah aqidah, ia tidak mungkin berlaku sedemikian rupa bahkan setiap individu wajiblah meyakinkan diri terhadap akidah yang dipegangnya secara ikhlas. Wallahu Alam

CINTA VS BENCI


Hari ini Islam diperlekeh oleh kebanyakan masyarakat dunia, bukan kerana ajarannya semakin tidak releven, tetapi kerana umatnya yang gagal menonjolkan keindahan Islam itu sendiri. Tetapi kita tetap marah apabila musuh agama secara terang menghina Islam, jika tidak lama dahulu, Denmark menghina Muhammad s.a.w melalui karikaturnya, seluruh umat melenting, bermula dari mereka yang berkopiah, hinggalah yang berseluar koyak lutut..melaungkan kemarahan terhadap tindakan biadap Denmark itu. Namun, kita tanya kembali kepada diri kita, kita marah kerana cinta kepada Rasul atau kebencian yang tidak lagi mampu dibendung terhadap si penghina?
Kita datangkan satu analogi, hubungan muslim kini dengan sunnah… seperti barang buruk dan usang milik kita yang sudah tidak digunakan lagi, hendak digunakan..tidak, hendak dijunjung dan dihargai jauh sekali, tapi entah kenapa tidak dibuang. Tetapi bila ada orang lain hendak mengambilnya, cepat-cepat dilarang, heboh kononnya masih hendak digunakan lagi.
Tatkala Muhammad s.a.w dihina oleh Denmark, apabila hak Muslim dicabuli oleh musuh, ada orang bertanya, “kau x marah ke?” kita katakan kita marah!!
Katanya lagi “kalau begitu jom kita berarak! kita serahkan memorendum! Kita tunjukkan kemarahan kita kepada mereka yang menghina Rasul!” betul 2, tapi menunjukkan kecintaan kepada Rasul lebih utama..
“marah tanda cinta!” betul.. tapi menunjukkan kecintaan dengan mengamalkan sunnahnya jauh lebih utama!
“Elleeh.. takut cakap la takut”.. kita katakan mengamalkan sunnahnya memerlukan lebih keberanian..tentangannya lebih hebat, bahkan dari orang Islam sendiri!
“kita bakar bendera mereka!” kita ‘bakar’ cara hidup mereka yang melalaikan kita!
Bagaimana kita hendak menunjukkan kemarahan? Demonstrasi depan manusia, depan Allah, kita berdoa dan muhasabah sejauh mana kecintaan kita kepada rasulNya. Boleh jadi provokasi barat membawa maksud yang tersirat daripada Allah..agar kita menilai semula sejauh mana kita mencintai rasul dengan mengamalkan sunnahnya.
Kemarahan hanya bermusim, hanya luapan sentimen berkala. Namun keggigihan, kebijaksanaan, perancangan dan ketabahan jangka panjang amat diperlukan! Sudahkah kita mendidik diri kita, generasi muda kita, kawan2 kita mencintai Allah dan rasulNya?
Cinta perlu disemai dahulu, marah kemudian, bila ada cinta, pasti ada marah bila kecintaan dicela. Tapi kalau marah saja, belum tentu ada cinta..!
Kembali pada analogi tadi,agaknya orang berani tak hendak minta barang yang kita hargai, di simpan rapi di dalam almari, dijaga elok, seperti hanphone, laptop kita? Berbanding barang buruk yang kita tidak gunakan lagi? Tentu tidak.. mencuri lain ceritalah
Begitulah sunnah, jika dihayati, di amalkan dan diperjuangkan,pasti kelihatan sangat berharga disisi pencintanya. Pasti musuh tidak berani mengusiknya, apatah lagi menghinanya.
Muslim, mesti menghormati dirinya sendiri terlebih dahulu, jika ingin orang lain menghargainya, jika musuh yang menghina Islam dimarahi, sewajarnya, kemarahan itu dilemparkan kepada diri kita sendiri kerana jauh menyimpang dari ajaran sunnah yang tulen
Buktikan cinta dengan mengamalkan ajaran Islam melalui petunjuk rasulNya!!

Jumaat, 27 Februari 2009

BLOG OH BLOG






Apakah tujuan saya menulis blog? baik sangatkah saya untuk menulis blog berunsur keagamaan? atau sekadar nak menunjuk dan menzahirkan kebaikan demi menyembunyikan kejahatan dan kebobrokan sikap sebenar saya? atau apakah sekadar mengisi masa lapang? Allah.. bolehkah manusia menilai sikap seseorang melalui penulisannya?

Ruangan blog saya ini boleh jadi sekadar ingin dijadikan ruang berceloteh, dengan harapan saya menjadi orang yan lebih rajin membaca, mengkaji dan menganalisa maklumat secara adil dan terbuka, apa yang saya baca dan lalui akan cuba saya teliti dan teladani kemudian menyatakan komen mengikut kemampuan saya.. Juga diharapkan Allah memberi saya kesungguhan untuk sentiasa mengemaskini blog yang cuba diusahakan. Ini bermakna kesungguhan saya untuk mengemaskini blog ini menuntut kerajinan saya untuk menambah maklumat, dan ilmu pengetahuan melalui pembacaan dan kelas-kelas pengajian serta pergaulan dengan masyarakat sekitar.


Saya juga berharap melalui blog ini dapat dikongsi pengalaman saya yang sedikit ini agar saya sentiasa beringat dengan dosa lalu agar tidak terlupa untuk bertaubat..
Seperkara yang tidak kurang pentingnya adalah saya sangat berharap saya menjadi orang yang sentiasa berusaha untuk melakukan apa yang akan atau yang telah disampaikan melalui penulisan blog ini kelak. Sebagai contoh saya ingin menyatakan kejelekan mereka yang tidak menjaga matanya daripada melihat aurat wanita atau apa juga maksiat, adakah saya orang yang pertama yang meninggalkannya? atau saya hanya pandai berceloteh dan dan melontarkan ayat dakwah, namun dalam masa yang sama sayalah orang yang turut meminati hal kemaksiatan itu? tidak takutkah saya dengan ancaman Allah dan rasulNya didalam al-Quran dan hadith yang sahih berkaitan dengan perkataan dan percakapan tak serupa bikin ini?? inilah antara sebab kenapa terdetik ingin mula membangunkan blog.


Kenapa memilih kembara perjuangan..?


boleh jadi ianya dipilih kerana saya perlu menyedari bahawa kehidupan saya didunia ini adalah sebagai seorang pengembara yang perlu berjuang agar kembalinya saya kepada Allah diakhir pengembaraan kelak adalah suatu pengembalian yang mulia dan bermakna.. Alangkah ruginya andai kepulanganku kelak adalah suatu kepulangan yang sia-sia dan tiada nilai serta tiada apa yang boleh aku persembahkan dihadapan Allah jalla wa 'ala sebagai bukti yang aku juga adalah sebahagian daripada pejuang agama Allah. Sebagai memulakan usaha saya keatas blog ini, semoga Allah menilainya sebagai satu amal soleh yang bisa membantu untuk menyelamatkan saya daripada seksaan dan azab kubur dan neraka..saya ingin menjadi hamba Allah yang soleh, hambanya terselamat daripada fitnah wanita yang sangat memudharatkan insan yang sangat lemah imannya ini, menjadi anak soleh yang berbakti kepada ibu bapanya kerana Allah.
Semoga dengan kehadiran blog ini dapat membantu saya menjadi lebih rapat dengan tuhan sekalian alam dengan lebih rajin untuk beramal dan bermujahadah dengan perkara maaruf dan mengucapkan sayonara mungkar dan jahiliah, juga saya mengharap ini adalah suatu alternatif wasilah dakwah, kepada mereka yang 'terbaca' blog saya kelak, semoga ada manfaat yang dapat dikutip..=)