Subscribe Twitter

Pages

Selasa, 12 Oktober 2010

Imam Nawawi dan Nasihat Ibuku


Sejak kecil lagi, ketika aku di sekolah rendah, kemudian ke sekolah menengah, sesuai dengan pertambahan umur, aku sering didengarkan, diajar dan belajar juga disuruh menghafal hadith 40 yang disusun oleh al-Imam al-Nawawi r.h, dan kini aku telah berada di alam universiti, masih mendengar dan mempelajari kitab tersebut. Dari muda sampai ke la ni, entah bertambah, entah tidak imanku mempelajari hadith-hadith yang dituturkan baginda s.a.w.

Terdetik pula rasa ingin berkongsi tentangnya di lamanku ini, sebelum itu, suka juga nak cerita sedikit tentang penulisnya, beliau lahir di sebuah kampung yang bernama Nawa, selatan Damsyik, pada tahun 631 hijri, beliau adalah seorang 'alim yang bermazhab Syafi'e, seorang yang sangat salih, zuhud dan wara', sangat berani menasihati pemerintah, tidak takut pada celaan dan keji manusia.

Beliau meninggal dunia pada tahun 676 hijri, di kampung tempat beliau dilahirkan, umurnya hanya lebih kurang 45 tahun, umur yang sangat berkat, dihabiskan untuk mengabdikan diri kepada Allah, beliau juga bujang, tidak berkahwin kerana miskin, tidak memiliki harta.

Umurnya sedikit, tetapi sumbangannya untuk agama dan umat melaut, antara buku-bukunya yang popular dikalangan kita, seperti Riyadh al-Salihin, Minhaj al-Talibin, al-Minhaj fi syarh Sahih Muslim, dan banyak lagi.

Membaca tentangnya membuatkan aku bersemangat untuk menyumbangkan sesuatu untuk agama..umurnya pendek,tetapi berkatnya tak terkata.

UMUR ITU HARTA

Umur bagaikan harta.. harta yang banyak, belum tentu berkat, ramai orang kaya yang membunuh diri, tak rasa cukup dengan kekayaan yang sedia ada,harta yang ada hanya untuk diri dan keluarga, orang lain, cari sendiri, jangan diminta darinya.. demikian umur, panjang mana pun umur kita, tidak berguna jika tidak diguna dengan sebaiknya.. menyerahkan diri kepada tuhan pencipta sekalian alam, berbakti kepada agama dan ummah..jika tidak..rugilah kita disisi Allah.

Jadilah di dunia ini seperti orang yang bermusafir, berehat sebentar di R n R, makan, minum, mengisi minyak dan bekalan-bekalan lain untuk meneruskan perjalanan, demikian kehidupan di dunia ini, semoga aku memanfaatkannya hanya untuk Allah.

TIADA SIAPA YANG BERNIAGA UNTUK RUGI

Ayahku seorang peniaga di pasar peladang Kuala Kubu Bharu, sejak beliau pencen Komando ketika usiaku baru 5 tahun, beliau menyara kami hanya dengan perniagaan kecilnya itu, Alhamdulillah, kami empat beradik, dah besar panjang pun, hasil titik peluh mak dan ayah yang bertungkus-lumus membesarkan kami. Terima kasih mak, ayah..tanpa mak dan ayah, siapalah kami ni…

Berniaga memerlukan modal, optimumkan penggunnaan modal, untuk meraih untung, semua kira-kira duit keluar masuk perlu diambil kira, dan akhirnya, mungkin perniagaan tersebut berakhir dengan keuntungan ataupun gulung tikar.

Perniagaan ayah adakala rugi, adakala untung, tapi mak dan ayah selalu ingatkan kami tentang perniagaan yang tak akan dan tak mungkin rugi.. perniagaan akhirat, beriman kepada Allah dan rasulNya, melaksanakan suruhan dan meniggalkan larangan. Kata mak, jangan dibazirkan modal umur yang Allah beri, manfaatkan sebaiknya, jangan modalnya banyak, tetapi disia-siakan, dijoli entah kemana, kelak rugi di akhirat, benar kata mak, mak tak mengaji tinggi, tiada ijazah mahupun PhD, tapi mak sangat hebat hubungannya dengan Allah..apa yang dia tahu, diamalkannya.

Semoga aku dan kita dapat mengambil ikhtibar dari imam yang hebat ini, al-Imam al-Nawawi, modal umurnya sedikit, tetapi beliau menggunakannya dengan sangat hebat, maka keuntungannya juga pastilah sangat hebat disisi Allah kelak di akhirat..

1 ulasan:

Hamba Allah berkata...

"....mak tak mengaji tinggi, tiada ijazah mahupun PhD, tapi mak sangat hebat hubungannya dengan Allah..apa yang dia tahu, diamalkannya..." a'ah betulkan bang...Allahuakbar...bolehkah diri ini mencontohi dirinya....

Catat Ulasan