Subscribe Twitter

Pages

Isnin, 8 Februari 2010

Dimuliakan dan Bercahaya

Bercahaya Dan Dimuliakan.
Boleh jadi, bukan suatu pengalaman yang menarik amat untuk dikongsi. Namun aku berharap ianya kekal diingatanku, agar ada teladan hidup yang dapat ku cedok tatkala kealpalan menguasai diri, hidup bertemankan suram dan gundah gulana. Tetapi hanya bisa bercerita, gambarnya tiada kerana ku tak punya kamera..

Perjalanan dari Riyadh ke kota Madinah al-Munawwarah dan Makkah al-Mukarramah, menaiki bas yang dipenuhi rakyat IPB (India, Pakistan, Bangladesh ), yang bekerja di bumi Riyadh, terdetik dihatiku, Allah, betapa mewahnya hidupku di bumimu ini berbanding mereka. Kebanyakan mereka bekerja di sektok pembinaan, penyapu sampah, atau berniaga kecil-kecilan. Mencari sesuap nasi, menyusuri kehidupan di bumi sementara, gaji secara purata,+-500 Saudi Riyal(RS), terkejut aku mendengarnya, biasiswa yang aku perolehi menuntut di Imam University jauh lebih banyak, namun lebih baik daripada terus berada di negara mereka, menganggur tiada kerja, satu sen pun tak dapat..

Kami dari Imam University, berlima, aku dan Ja’a (kami orang Malaysia ye), Abu Bakr ( Tanzania ), Bilal (Cameroon ) dan Abd Rahman ( tak ingat dari mana ). Dengan tambang bas semurah, RS 70 (tambang bas serta penginapan ), kami berangkat dari stesen bas di Batha’, jam 4 petang, Alhamdulillah, pada jam 2 pagi keesokannya kami sampai di Masjid Nabawi, perjalanan merentasi padang pasir berjarak lebih kurang 800 km, benar-benar meletihkan.

Pengalaman kali pertama menaiki bas dari Riyadh ke Makkah pada awal Zulhijjah lalu untuk menunaikan haji.. Bukan beerti haji itu tiada erti, bukan beerti perjalanan untuk melaksanakan haji itu kosong dan sekadar jalan-jalan, ia adalah suatu perjalanan, bukannya jalan-jalan. Tak terdetik ketika itu untuk menulis sebagai peringatan untuk diriku sendiri, betapa ramai yang berkorban untuk menjejakkan kaki di bumi bercahaya dan bumi yang dimuliakan.

Aku bersyukur Allah memilih aku sebagai tetamunya di musim haji yang lepas, Allah memakbulkan doaku ketika di Sudan, aku nekad untuk mengumpul duit demi melaksanakan ibadah agung ini, ketika itu aku dipersimpangan, berdikit-dikit mengumpul wang untuk berkahwin ataupun haji diutamakan, akhirnya aku membekukan hasrat berkahwin dan haji diutamakan. Tak disangka-sangka, aku diterima menyambung pengajian di al-Imam University, Riyadh, pada sesi pengambilan lepas, kira-kira sebulan sebelum Zulhijjah membuka tirai. Setelah beroleh residence permit, terus sahaja aku mendaftar untuk menunaikan haji dengan jemaah di bawah universiti, (tanpa membayar seriyal pun, semuanya ditanggung universiti ). Subhanallah, rezeki yang sangat besar dan bermakna. Menunaikan haji pun dapat, berdikit-dikit mengumpul kewangan untuk baitul muslim yang ingin didirikan juga dapat.

Berjalan dan jalan-jalan.


Berjalan beerti kita melakukan sesuatu perjalanan dengan maksud tertentu, bermakna, kita punya matlamat. manakala berjalan-jalan pula, kita sekadar berjalan, mengisi masa lapang, berbosan-bosan di rumah, maka kita pun berbasi-basi di jalanan. Perjalanan tanpa tujuan adalah sesuatu yang merugikan.

Maqam baginda s.a.w.

Jauh pulak perginya mengenangkan musim haji lepas, cerita semula al-kisah setelah sampai di Madinah kira-kira jam 2 pagi, ketika itu raudhah telah pun sesak dengan manusia, merenung ‘ibrah, menitis air mata dihadapan maqam baginda s.a.w. Pertama kali aku sampai di Masjid Bagida s.a.w, meremang bulu roma tatkala berada dihadapan kuburnya, seakan ada suatu perasaan yang sukar diterjemahkan denagan kata-kata mahupun tulisan.

Allah..kadang-kadang tu, mungkin juga selalu, lisan menutur bicara, “aku mencintai baginda s.a.w ,“ tapi sunnahnya dipandang enteng, kolot katanya siapa yang mengikut sunnah. Tahunya marah ketika baginda s.a.w dicerca, divisualkan dengan karikatur menghina, selepas surut cercaan, kita pun surut, cinta dan marah berkala, marah kerana apa pun tak tahu, orang marah, kita pun marah, orang bilang cinta,kita pun bilang cinta, siapa baginda s.a.w, entah, aku pun tak tahu.. seperkara lagi, aku tidak berhasrat untuk komen tentang mereka yang berdoa menghadap kubur baginda s.a.w, sedang baginda mengajar umatnya berdoa menghadap qiblat.

Perkuburan baqi’


Seusai subuh dan solat jenazah, terus aku menuju ke perkuburan Baqi’, yang dikatakan terdapat lebih 3000 kubur para sahabat, sekali lagi cuba merenung ‘ibrah dan teladan agar diri ini sentiasa ingat, yang suatu detik kelak, atau mungkin sekejap lagi, aku juga akan mati.. Ah.. para sahabat itu, Allah s.w.t meredhai mereka, bagaimana pula aku, mengharap redha Allah, tetapi nafsu jahat menunggangi diri. Alahai.. kenapa lah diri ini tak suka kepada nikmat akhirat, mengutamakan nikmat dunia yang menipu, tidur itu lazat serta nikmatnya sementara, solat malam itu dibenci nafsu, tetapi lazat dan nikmatnya berkekalan di dunia kekal abadi.. salam sejahtera wahai ahli kubur, kalian mendahului kami dan insyaAllah kami akan menikuti kamu kelak.. Ampunkan daku wahai Allah, ampunkan ibu bapaku, ahli keluargaku..

Bahasa melayu bahasa termasyhur


Keluar tanah perkuburan, perut berkeroncong, menyanyi meminta diisi, kongsi duit dengan ja’a, menjamah roti dicicah dengan daging kambing. Senang betul urusan jual beli di Madinah mahupun Makkah, majoriti peniaga( majoritinya non Saudi, boleh jadi pemilik kedai adalah orang Saudi ), tahu berbahasa melayu, “apa khabar? Mahu apa? Kari kambing? Mari-mari, murah saja, jubah, kopiah..” mungkin kerana yang hebat berbelanja di dua tanah haram ini, datangnya dari Kepulauan Melayu. Sehinggakan jika aku memasuki satu-satu kedai, terus sahaja aku akan bertanya dalam bahasa melayu, “apa khabar pakcik, jubah ni berapa, murah sikit la pakcik..” haha..kerna aku yakin, peniaga tu faham..

Bergerak sendirian.

Setelah itu, aku berpecah dengan rombongan kami, bas membawa rombongan untuk menziarahi beberapa tempat di Madinah, seperti Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, dan Bukit Uhud, kemudian terus bergerak ke Makkah yang berjarak kira-kira 450 km,(bayangkan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat berhijrah, kita la ni dah ada bas, kapal terbang..) aku memilih untuk terus berada di Madinah sehingga malam untuk mengikuti program bersama ikhwah dari Universiti Islam Madinah(UIM).

Hanya sempat ke Quba’ dan Qiblatain, selepas zohor, sahabat aku di UIM, Abdul Salam menjemput aku di Masjid Nabawi untuk ke UIM. usai program kira-kira jam 11 malam, beliau terus bergegas menghantar aku ke stesen bas Saptco, untuk ke Makkah, aku membeli tiket untuk menaiki bas terakhir pada jam 1 pagi. Malam kedua aku tidur diatas kerusi bas, ah, esok satu hari lagi tidur atas bas, untuk perjalanan pulang dari Makkah ke kota Riyadh yang dipisahkan dengan jarak kira-kira 1000 km. Bukan aku yang memilih untuk bermusafir terkejar-kejar begini, tetapi komitmen di Riyadh menghimpit aku untuk berbuat demikian. Kira-kira jam 5.30 pagi, bas berhenti untuk solat subuh, majoriti penumpang sudah berihram Umrah, mungkin aku sorang je kot yang tidak mengenakan pakaian ihram, kain ihram aku ditinggalkan di beg Ja’a. Turun dari bas untuk solat subuh, aku dah tak boleh berjalan betul dah.. terkengkang-kengkang dan terhuyung hayang macam itik pulang petang, menggigil kesejukan, solat terketar-ketar..

Travel agency, pemandu dan penumpang.

Jam 7 pagi, aku sampai di Makkah, Ja’a menjemput aku untuk ke rumah tumpangan kami yang siap dipakejkan dalam harga RS70 kepada travel agency yang menguruskan perjalanan kami. Murah kan? Tapi bas dan penginapan tanpa bintang la, Cuma pemandunya dan penumpangnya sahaja yang mumtaz pada penilaian aku..hehe, pemandunya tiada lesen, tapi boleh lepas semua sekatan polis dengan selamat tanpa saman..tak ingat aku namanya, tapi beliau sangat mesra dengan kami, pelajar. Umurnya muda lagi sebaya kami barangkali. Bercerita pula tentang penumpang yang majoriti dari IBM, sangat friendly dan happening, bercerita dan berbual dengan ‘bahasa arab batha’, bukan ‘ammiyah Saudi, mahupun fusha(kata mereka ni kalam madrasah).

Antara yang best, “ sadiq, moya barrah”( kawan, air keluar)maksudnya dia nak kencing. Kemudian ketika kami berbual dengan pemandu yang sudah tidak bersekolah,umurnya boleh jadi masih belasan tahun atau awal 20 an, seorang warga bangla yang sangat ramah dan lawak ni kata (beliau marah dengan pemandu yang malas belajar ni),Ana iji hina syughul, ma fi madrasah,lau ana ma iji, ana madrasah hinak, fi Bangladesh, anta, madrasah maujud hina, mafi madrasah, kaslan,naum kasir,fulus ma iji”( aku datang Saudi, kerja, bukan untuk belajar, kalau aku tak datang sini, aku belajar kat Negara aku. kau, sekolah ada kat sini, tapi tak sekolah, malas, tidur banyak, duit tak datang).

Hantam saja lah kawan, yang penting maklumat hasil pebualan tu sampai, betul atau tak susunan bahasa(langsung tak betul) belakang kira. Bohot-bohot (banyak[urdu]) yang aku dapat dari mereka, pengajaran dan pengalaman dari kehidupan mereka yang susah.

Baitullah al-‘Atiq.

Rindunya dengan rumah Allah ni, mungkin bagi sahabat-sahabatku yang belajar di Makkah mahupun Madinah sudah biasa dan dengan dua tanah haram ini, tapi bagi aku yang berada di Riyadh ni, hanya mampu sekali-sekala saja lah untuk mengunjungi dua tanah haram yang bercahaya dan dimuliakan. Dan lebih lagilah rindu dan kepinginnya mereka yang berada di luar Arab Saudi, untuk berada di bumi terbitnya Islam dan bumi hijrah Baginda s.a.w. ni. Dan sekali lagi, pastilah penilaiannya di sisi Allah itu berbeza, mengikut kesungguhan, kewangan dan keletihan yang kita korbankan.

Kata bagida s.a.w :
ان لك من الأجرعلى قدر نصبك ونفقتك
Maksudnya : sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kadar keletihan dan belanja yan kamu keluarkan ( riwayat al-Daruqutni dan al-Hakim)

Zahir hadith ni menunjukkan pahala dan ganjaran bertambah bersesuaian dengan apa yang kita korbankan untuk mendekatkan diri dengan Allah. Maka mereka yang di Malaysia, Togo, Brazil, yang berdikit dan berjimat mengumpul duit untuk mengunjungi dua tanah haram ini, pastilah lebih besar ganjarannya disisi Allah berbanding mereka yang sedia ada berada di makkah mahupun Madinah. Wallahua’lam..

Sampai sahaja di Makkah pagi itu, aku sudah kehabisan tenaga, jalan macam itik, sehingga ditegur seorang pemuda makkah berhampiran Ummul Qura University. “hahaha..tamsyi bi syakli battah” ( kau berjalan macam itik),gelaknya melihat caraku berjalan, ye la, ketinggian aku mencecah 180 cm, duduk dan tidur dikerusi bas yang keras, dua malam berturut-turut(esok tambah sehari lagi). Kejang habis kaki dan badan.

Akhirnya aku tewas dengan keletihan, Ja’a tak bawa aku terus ke tempat penginapan kami, sebaliknya terus ke rumah Persatuan Pelajar Malaysia Makkah, bersama dengan Pok syeh, Apit, Acap dan Loqman. Sampai-sampai je, aku terus terbongkang keletihan, tak larat rasanya nak buat umrah. Tidur sehingga jam 10 pagi, mungkin tak sempat untuk aku melaksanakan umrah, jika sempat pun, pasti dalam keadaan tergesa-gesa. Kami mengisi perut di restoran Malaysia yang terletak berhampiran Masjid al-Haram. Bersiap menunaikan solat Jumaat, usai solat, perlu terus mengemas barang untuk terus pulang ke Riyadh. Allah.. tak sempat kali ini, moga ada peluang dikemudian hari getusku.. sampai dengan selamatnya di Riyadh lebih kurang jam 3.30 pagi.
Alhamdulillah getusanku dimakbulkan Allah, Dr. Habibollah, Pensyarah dari Malaysia yang mengajar di kuliah sains computer, Imam University, mengajak aku dan Ja’a untuk bermusafir ke Makkah selepas maghrib ini menaiki keretanya untuk tujuan Umrah, Alhamdulillah..

Demikian perjalananku sepanjang 3 hari serba sedikit demi meraih redha Allah.. Semoga ia menjadi kaffarah dosaku yang bertimbun..

0 ulasan:

Catat Ulasan