Subscribe Twitter

Pages

Ahad, 24 April 2011

Sebuah Kehidupan



Disaat buntu memikirkan aksara dan butiran lantunan zikir untuk mengelak diri menjadi pencandu maksiat, dikala aku bingung memikirkan keadaan batang tubuh kurniaan tuhan ini, apakah kelak dibelai keindahan syurga, atau dihiris dan dicanai dengan kedahsyatan neraka..

Benarkah manusia dicipta secara fitrahnya menyukai maksiat dan membenci kebaikan? Jika lisan membenarkannya, maka songsanglah pemikiran..

Terkadang aku terkhayal..apakah jiwa merasa selesa mengingkari Ilahi? atau fitrah akan memberontak, cuba mengeluarkan diri dari kejahatan, menyuluh lorong menuju hidayah..


Kedahsyatan Neraka..

Terselak lembaran kisah yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah dalam karyanya al-Tawwabin, seorang lelaki yang bermaksiat di malam hari, tatkala terdengar ayat Allah yang dibutirkan lisan, mati ketakutan!!

نَاراً وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ

maksudnya : api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, penjaganya malaikat yang keras dan kasar (at-tahrim :6)

Sedangkan api lilin tidak tertanggung, si perokok tidak menjamah bahagian rokok yang dibakar.. Fitrah itu membenci derita, tetapi jalan menuju kebahagiaan penuh penderitaan…ketika aku di Sudan, adakalanya rasa tiada upaya lagi menanggung kepanasan suhu bumi Sudan, apakah ada insan yang gagah disalai neraka..?

Inikah Kebahagiaan?

Kata orang, bahagia itu tidakkan mengunjungi insan tanpa harta, aku bingung, kenapa mereka mengerumuni kekayaan tanpa keberkatan? kehairanan bertandang, kenapa insan berkata, "untunglah si dia, memiliki perniagaan yang berjaya, hidup di rumah yang besar, isteri yang menyayangi, anak-anak yang ramai..." kenapa insan tidak melihat manusia tanpa tangan, jalan berkerusi roda, hidup dengan bantuan tong oksigen..lalu dia melihat dirinya yang serba lengkap, sempurna tanpa cacat celanya.. tidakkah kamu melihat bahawa Allah mencurahi nikmat padamu?


Kehancuran Nikmat.

Ketika kaki melangkah, mata meliar memerhati gelagat manusia yang ritmanya berbeza disekitar Masjidil Haram seminggu yang lalu, aku terpaku tatkala melihat sekujur jenazah diusung didepanku, wajahnya terbuka belum dibaluti kelihatan sayu, entah dari mana datangnya rasa gusar di jiwa, hendak ditangisi atau diteladani… malamnya pula mendapat khabar seorang sahabat di Madinah menamatkan perjalanannya di dunia penuh muslihat ini..

Gusar insan pada kematian amat berasas, si kaya yang memiliki emas sebesar Gunung Kinabalu, kelak yang membungkus tubuhnya sekadar kain putih cuma.. mati merupakan penghancur segala kenikmatan dunia, janganlah dirimu terpedaya dengan sihir dunia..yang menghidangkan engkau syurga sementara..

Si dia yang tidak berharta pula, ada yang merasa dunia ini bagaikan neraka, menyalahkan Yang Maha Esa, melahirkannya ke dunia dengan serba tiada..Sedang Allah lebih mengetahui tentang hambaNya..

Aku enggan menjadi tak tentu hala, hidup tanpa tuju dan hala.. sesungguhnya dunia ini sementara.. Jadilah diriku seorang musafir, yang melalui dunia ini, untuk menuju ke negeri kekal abadi.. Janganlah diriku menjadi hamba dunia, janganlah jiwaku meratapi kesusahan dan sengsara di dunia..kerana segalanya bersifat sementara.

Kata Baginda saw :

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أكثروا ذكر هادم اللذات

Dari Abi Hurairah r.a berkata, berkata baginda saw : Perbanyakkanlah mengingati hal yang memusnahkan kelazatan ( mati ) [riwayat tirmizi]

Biarkan diriku dicaci manusia kerana kebodohan, kerana aku yakin, insan yang tidak tahu menulis dan mengeja namanya sendiri itu lebih bijak dari manusia yang bermaksiat pada tuhanNya dan berani mencuba-cuba tentang kepanasan nerakaNya..

alangkah bodohnya manusia yang melupakan kematian..menganggap dunia ini tiada penghabisan, menjadikan nafsu sebagai tuhan..

Arwah Nenek..

Allah memberi aku kesempatan berada disisi nenekku ketika saatnya menghembuskan nafas yang terakhir, sehingga hari ini, masih terbayang keadaannya yang bisa menjadikan aku berfikir, kelak entah bagaimana pengakhiranku..adakah baik..? adakah buruk..?

sesungguhnya amalan seorang insan di muka bumi ini, kemuncaknya adalah disaat kematiannya.. insan yang hebat kehidupannya, soleh amalannya, kehidupannya dipenuhi dengan amalan ahli syurga, namun, jika diakhiri dengan kesyirikan, apalah nilainya segala yang dilakukan sepanjang hidupnya..

Demikian insan yang hidupnya dipenuhi dengan amalan ahli neraka, namun diambang kematiannya, dia bertaubat, akur pada dosanya, merindui keindahan kemaafan ilahi..berbahagialah insan itu.. diselamatkan Allah dari musibah neraka..

Keampunan tuhan dan Uwais al-Qarni

Imam Muslim meletakkan satu bab menceritakan tentang fadhilat Uwais al-Qarni.. Beliau hidup di zaman baginda saw.. namun tidak berkesempatan untuk bertemu baginda, baginda menceritakan tentang beliau.. sehinggakan Umar al-Khatab sangat bersungguh-sungguh untuk bertemu dengannya, semata-mata untuk meminta Uwais al-Qarni berdoa memohon keampunan untuk dirinya.. demikian insan yang mengerti maksud dan tujuan kehidupan.. apakah yang lebih bahagia buat insan melainkan dirinya diampunkan oleh Allah swt..

Semoga Allah mematikan kita semua dalam keadaan iman..

ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون

Maksudnya : dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim[ali imran :102]

0 ulasan:

Catat Ulasan