Subscribe Twitter

Pages

Selasa, 30 November 2010


Berniaga kecil-kecilan.

Setiap peniaga yang telah berjaya meluaskan empayar perniagaan, semakin besar modalnya, semua orang mengenali produknya, pasti si dia itu memulakannya kecil-kecilan, tidak pernah putus asa, melangkah setapak demi setapak, tidak gelojoh untuk berada dipuncak, sentiasa optimis dan berfikiran positif.
Orang melayu dan sistem cepat kaya atau apa-apa yang segera.
Setiap orang berkemungkinan memiliki keinginan untuk memiliki wang yang banyak, benarkah bangsa melayu sangat suka pada cara mudah untuk mendapat kekayaan? Hatta benarkah sangat ramai yang inginkan syurga dengan cara yang mudah? Contohnya solat dengan niat sahaja..tapi bab makan, tak nak pula diniatkan sahaja.. atau hidup bergelumang dengan dosa, lepas mati, minta pada kanak-kanak tahfiz membaca al-quran dikubur mereka dengan bayaran tertentu, orang kaya la katakana.. dengan sangkaan hal itu bisa menyelamatkan mereka..

Islam 24 jam.

Berjayakah kita menjadi seorang muslim 24 jam sehari? Atau, paginya beriman, dan petangnya bermaksiat? Ataupun petangnya beriman dan paginya bermaksiat? Sedarkah kita, bahawa adanya Allah yang maha tahu setiap gerak geri kita? Bertakwakah kita dimana sahaja kita berada. Kita semua sepakat mengatakan Allah itu maha melihat, mendengar dan mengetahui, namun sedarkah kita, kita hanya mengetahui tanpa merasai?
Mulakan amal sebagaimana si peniaga yang berjaya

Kita suka berbicara hal-hal yang bersifat 'giant', adapun, hal-hal yang bersifat 'nobita', sering diperlekeh dan dipandang enteng.. aku juga ingin berbicara hal-hal yang besar, bicara tentang Islam yang memerintah dunia, menyedarkan manusia tentang perlunya mengembalikan khilafah, kesatuan umat Islam, mengharapkan kerajaan Malaysia yang bersih tanpa rasuah dan sebagainya.
Tetapi, aku suka untuk mengikut resam si peniaga yang berjaya, bermula secara kecil-kecilan, tetapi sentiasa optimis dan positif bahawa dia mampu mengorak langkah untuk maju,tidak gelojoh untuk ke puncak, bukan beerti tidak langsung melihat kehadapan, tidak berada ditakuk yang sama, tetapi sentiasa berusaha untuk menambah baik dan memajukan perniagaan.
Demikian usaha untuk menegakkan Islam dalam diri orang lain, juga untuk memartabatkan Islam di muka bumi ini, mulakan secara kecil-kecilan, setiap individu memainkan peranan seperti peniaga, peniaga berfikir untuk memajukan perniagaan, muslim berfikir bagaimana hendak memenangkan Islam.
Perkara-perkara 'kecil'.

Sedarkah kita, adakah kita berusaha untuk mengamalkan sunnah-sunnah seharian baginda saw? Adakah kita berusaha untuk menegakkan Islam dalam diri kita? Sebelum kita tegakkannya pada diri orang lain. Sebagaimana yang aku sebut diatas, mulakanlah secara kecil-kecilan, ianya nampak kecil, tetapi hakikatnya besar disisi Islam. Kita perlu menanam rasa bahagia dan cinta mengamalkan sunnah dalam kehidupan seharian kita!!
Contoh.. makan dengan tangan kanan menjadi kebiasaan, perkara tersebut sunnah sebenarnya, tetapi minum? Tangan kanan telah kotor memegang makanan, maka kita sering minum dengan tangan kiri..sedang makan dan minum itu sunnahnya menggunakan tangan kanan. Apabila kita bahagia untuk beramal dengan sunnah, pasti kita akan berusaha mempelajarinya.. memakai kasut, dimulakan dengan kaki kanan, dipecat,kaki kiri dahulu, membaca basmalah ketika hendak makan, disudahi dengan alhamdulillah, usahalah untuk solat jemaah di masjid setiap waktu bagi lelaki, bukan berat untuk menyebut lafaz 'subhanallah al-azim, subhanallah wa bihamdihi', dua kalimah yang disukai oleh Allah al-Rahman, mengucap 'Alhamdulillah' ketika bersin, orang yang mendengarnya menjawab dengan ucapan 'yarhamukallah', dan banyak lagi sunnah-sunnah baginda yang mampu kita amalkan, malah, kita tidak memerlukan suatu amalan pun selain apa yang diajari baginda saw..sedang sunnahnya pun tak terhabis kita nak amalkan..

Mulakanlah..tegakkan Islam didalam diri kita terlebih dahulu..

Jumaat, 26 November 2010

Lambaian Yang Disambut



Perjalanan haji yang menarik tahun ini, pertama kali pergi secara koboi, adakalanya terasa perit, hidung berkepul dengan tahi, asap bas menjadi makanan pagi, tengahari dan malam. Perjalanan bertambah menjadi lebih mencabar kerana bersama kami seorang nenek, dan seorang baby, 'travel' kami disungut oleh nenek yang pernah menunaikan haji dengan tabung haji, "dulu pergi dengan tabung haji, tak payah jalan pun, naik bas, turun bas, sampai ke hotel" kami hanya mampu membalasnya dengan sengihan.

Terpisah.

Pada aku, hari yang paling menguji ialah ketika perjalanan menapak dari Arafah ke Muzdalifah sejauh 5km, bagi aku, Pak Syeikh, Apit, Loqman, Naim, Ja'a dan Faiz, bukanlah suatu masalah besar, dengan kudrat tenaga muda kami, tetapi yang menimbulkan cabaran ialah untuk kekal berjalan dalam kumpulan, tidak terpisah didalam lautan manusia, dalam masa yang sama, bersama kami keluarga Dr. Habib seramai 9 orang..

Akhirnya terpisah juga kami, aku lah yang pertama sekali rasa 'terpinggir',tak perasan langsung mereka semua berhenti rehat ditepi jalan, sedang aku menapak terus, dengan sangkaan mereka berada didepan,jutaan manusia disekitar, jalan berhimpit dada.

akhirnya aku dibenarkan untuk meneruskan perjalanan sendirian, bermalam di Muzdalifah sehingga pertengahan malam, kemudian kembali ke Makkah, jarak yang memisahkan Muzdalifah ke Makkah lebih dari 10km, Alhamdulillah sampai ke Makkah lebih kurang jam 2 pagi, hanya mampu menapak sehingga jam 1 pagi, kemudian membonceng motor dengan harga 50 Riyal, penunggang 2 memang layak diberi pujian,nak tercabut jantung aku, mencilok, dicelah bas dan kereta, membawa dilorong bertentangan, sedang aku berkain ihram cuma..kalau tercabut?ha… kemudian, dengan selamba dia Tanya, "ya haj! Quais kida?"( haji, ok tak macam ni?) aku menjawab " anta quais marrah" (engkau bagus sangat-sangat), dalam hati aku, punyalah panjang mengucap..rasa macam subuh di masjidil haram nanti, aku bukan lagi bersembahyang, tetapi disembahyangkan! Kami memulakan ekspedisi menapak pada jam 7malam..lebih 6 jam menapak…

Sangkaku, aku yang paling kurang bernasib baik, rupanya aku yang paling kurang dugaannya..rupanya selepas aku terpisah keseorangan dengan kumpulan, mereka terpecah juga kepada 3 kumpulan, semuanya melalui dugaan yang pelbagai, ada yang subuh diatas bas, ada yang berjalan seorang diri menolak baby, ada yang bersesak didalam bas yang sebenarnya hanya boleh memuatkan 40 orang, tetapi disumbat sehingga 80 orang, akhirnya, seorang penumpang pengsan, seorang muntah-muntah, semua penumpang turun tanpa membayar satu sen pun. Padan muka pemandu bas yang tamak, mencekik jemaah yang terdesak.

Akhirnya Alhamdulillah kami semua selamat sampai di rumah kami, aku yang paling awal, mujur kunci rumah bersama aku, dan yang paling lewat sampai, kumpulan Pak Syeikh, mereka sampai pada jam 9 pagi, solat subuh dan solat raya didalam bas..

Bayaran sebuah pengalaman.

Pengalaman yang pastinya tersemat dan akan dibandingkan dengan cabaran pada musim haji akan datang InsyaAllah, jika diizinkan Allah untuk menyahut seruan hajinya pada musim akan datang.

Sangat menarik perjalanan haji kali ini, jika kami pergi dengan travel yang berbayar, pastinya selesa dan kemudahan yang diterima akan menjadikan kita selesa untuk menunaikan haji, khemah untuk wuquf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina disediakan, tetapi pengalaman ini tiada harganya, namanya pun pelajar, mana nak cekau duit sampai tiga-empat ribu untuk membayar travel, upah yang diterima untuk melaksanakan badal haji pun bukannya seberapa, tetapi semangat untuk menjadi tetamu Allah itu bergolak, setiap kali telah berada didalam himpitan jutaan manusia, bermandi bukan sekadar dengan peluh kita sendiri, tetapi peluh jutaan orang selain kita, maka jadilah badan kita memiliki 'wangian' dari pelbagai benua, terdetik dihati, "tahun depan aku nak rehat la..tak larat nak buat haji macam ni," tapi bila dah selesai segala amalan haji, terus tak sabar menanti kedatangan musim haji akan datang..

Taqwa itu membezakah darjat.

Haji benar-benar satu didikan menurunkan ego, semua manusia sama.. tiada apa yang membezakan kita melainkan taqwa kepada Allah.. semuanya berpakaian putih tanpa jahitan..

Haji turut menuntut tenaga yang banyak, jadi, tunaikan haji di hari muda anda, dihari anda diberikan nikmat kesihatan dan kewangan, jangan ditangguh lagi, ada la seorang sahabat ni, usianya 18 tahun, merungut..katanya, " tak tau la makcik pakcik yang wat haji ketika umur 40-50 tahun..macam mana la rasa kaki diorang, umur yang belum 20 ni ha dah rasa nak tercabut kaki.."

Segala cabaran, jika kita melihatnya disudut yang positif, insyaAllah hasilnya baik, dan kita mampu melaksanakannya tanpa tekanan..bayangkan jika nak diikutkan amarah, pasti ada sahaja yang akan dihamun dan disembur, ditolak sehingga nak tersungkur, sangkaku lelaki bertubuh sasa, rupanya makcik-makcik tua yang berpaut tangan, enggan berlepas, habis semua orang dikuak dan dilanggar tanpa simpati,.

Tersalahkah begini?

Hmm..jika hendak diceritakan segalanya, tak tercerita, tetapi ada satu lagi yang ingin sangat dikongsi, dikala kita hendak mendekatkan dengan Allah, janganlah sehingga menyakiti orang lain, sedang amalan tersebut sunat sahaja, tetapi menyakiti orang lain itu satu kesalahan.. contohnya,mencium hajarul aswad itu sunat, hendak dicium boleh,tetapi tak perlulah bergasak, menolak dan menyakiti orag lain.. bukan sekadar dalam haji, tetapi juga dalam hal-hal yang lain

Oh ye..terlupa pula satu lagi yang rasa menarik untuk dikongsi, bergambar ketika masih berada didalam ihram..aku sangat lah kurang bersetuju..bukankah kita berada didalam ibadah? Mengapa ingin dijadikan kenangan sebegitu pula, misalannya begini, "Mat, aku nak sembahyang sunat ni, masa aku tengah solat, ko tangkap gambar aku tau! Saja nak buat kenangan, nanti boleh tunjuk kat kawan-kawan," amacam? Apa pendapat anda? Demikian haji, ia merupakan ibadah, tak perlulah bergambar ketika kita didalam ihram, seakan nak menunjuk-nunjuk pula perihal ibadah kita kepada selain Allah..