Subscribe Twitter

Pages

Sabtu, 28 Februari 2009

Mengganggu Yang Hidup Dengan Mencela Sirah si Mati



Kalau seorang ahli forensik mengkaji tubuh badan si mati, seorang ahli sejarah mengkaji sirah kehidupan si mati. Tetapi kedua-duanya mengkaji, untuk mencari manfaat bagi yang masih hidup.


Pakar forensik akan membedah tubuh si mati, bagi mengenal pasti punca kematiannya. Jika matinya berpunca dari jenayah, maka penjenayah itu mesti dicari agar jangan dia membunuh yang masih hidup. Jika kematian si mati berpunca dari penyakit yang ada risiko pewarisan genetik, maka ahli keluarga yang masih hidup, kena lebih berhati-hati dengan kehidupannya. Jika orang lain boleh tidak endah dengan bengkak sana bengkak sini, maka bagi keluarga si mati yang mati kerana kanser payu dara, tidak boleh sambil lewa.


Kerja pakar forensik tidak begitu sulit. Tubuh badan si mati ada di depan mata. Tugasnya adalah untuk mengaplikasikan ilmunya ke atas tubuh si mati di depan mata.
Seorang murid Sejarah, dia bertugas membedah sirah kehidupan si mati. Mungkin bukan sekadar seorang insan yang telah mati, tetapi satu umat yang telah binasa. Punca mati dan binasa umat itu perlu dicari.


Jika mati tokoh atau punah bangsa kerana jenayah orang lain, maka setiap bangsa yang masih hidup mestilah berhati-hati jika ada pihak lain sedang melakukan jenayah yang sama ke atas mereka. Jika ada ahli keluarga mahu pun jiran tetangga yang lunak dengan penjenayah itu, bukalah mata dan telinga, kerana mereka itulah mungkin talam dua mukanya. Pelindung nifaq seperti ini mungkin menjual ahli keluarga dan jirannya, demi maslahah diri, seperti yang telah dan sering berlaku kepada umat yang telah mati.


Jika kematian si mati berpunca dari penyakit yang ada risiko pewarisan sikap dan kerenah, maka ahli keluarga yang masih hidup kenalah lebih berhati-hati dengan kehidupan mereka. Mereka perlu sedar yang bangsa mereka ada kelemahan, daya tahan diri lemah, dan mudah jatuh sakit. Maka janganlah bermain-main di tempat kotor yang banyak penuh bakteria dan virus. Kalau ada anasir jahat yang berlegar-legar di tengah kehidupan, jangan ambil mudah kerana tubuh badan kita lemah, berdasarkan Sejarah.


Kerja murid Sejarah tidak mudah. Sirah kehidupan si mati dan umat yang telah mati, bukan berlonggok di depan mata. Segala-galanya bertabur dan berkecai. Ada yang ditimbus bumi, ada yang hilang dibaham masa. Secebis sana secebis sini, perlu dikutip dan dicantum, bagi beroleh gambaran yang penuh, terhadap hakikat kehidupan masa lampau yang ingin diteladani.
Inilah cabaran yang saya hadapi. Cabaran yang dihadapi oleh setiap murid Sejarah.
Tetapi kepayahan itulah letaknya kepuasan. Kerana hidup saya adalah kehidupan yang mengkaji si mati, untuk manafaat mereka yang masih hidup.


TELAH MATI TETAP TELAH MATI


Akan tetapi, tokoh yang sudah mati tetap sudah mati. Kita peduli dengan mereka adalah demi mengambil teladan darinya untuk hidup ini. Kita tidak mencakar dan merobek si mati, seolah-olah si mati yang telah mati, tetap mahu dibunuh dan dimatikan lagi, berkali-kali.
“Yang mati biarkan mati, yang pergi tetap kan pergi”
Kita sanggup bermati-mati, untuk membuat keputusan terhadap si mati, seolah-olah kita mahu mengambil alih kuasa Tuhan, menentukan nasib si mati di alam kedua.


AKHLAK SI HIDUP TERHADAP SI MATI


Di sinilah timbulnya hairan saya di dalam diri, atas kehodohan akhlak sesetengah kita yang rakus merobek sirah si mati. Mulut terlalu celupar mencela sirah umat yang sudah mati. Zikirnya setiap hari ialah pada mengumpul dan mempopularkan cacat cela si mati yang tulang di dalam bumi.


Apabila kita mahu berkata-kata tentang para Anbiya, sahabat dan generasi Islam yang telah lalu, kita berkata-kata dengan budi dan sopan bahasa. Kalau si mayat, kita begitu hormat untuk tidak menyakiti tubuhnya yang telah mati, maka sirah generasi umat yang lalu juga kita sentuh berpada-pada.


Kita belajar dari Sejarah, catatan hidup generasi yang sudah mati, kerana mahu mencari teladan dan panduan bagi yang hidup.
Atas dasar itu, saya sentiasa mengingatkan diri, supaya jangan celupar mengkritik generasi yang telah pergi. Yang baik pada si fulan, saya ambil jadi panduan, yang kurang dan cacat cela, saya pulangkan ia kepada Tuhannya yang juga Tuhan saya.


Nama-nama insan yang telah pergi, bermula dari Aisyah dan Fatimah, Muawiyah dan Yazid, Hasan dan Husain, Hasan al-Basri dan Umar bin Abdul Aziz, Imam Syafie, juga al-Ghazzali, malah Ibn Taimiyah, juga Muhammad bin Abdul Wahhab dan Sultan Abdul Hamid ke-II … nama-nama ini adalah nama hamba Tuhan yang sudah mati. Nasib mereka sudah pasti. Cela kita terhadap mereka tidak menambah hukuman derita. Puji kita tidak mengangkat mereka ke darjat mulia. Kita puji atau kita cela, mereka sudah melengkapkan sirah hidup mereka, dan kepada Allah jua kembali segala ketentuan.


Saya tidak suka melihat kegelojohan orang hari ini, merobek sirah si mati dengan bahasa nafsu dan kesumat diri. Mati-mati mahu membuktikan kesesatan si fulan bin si fulan, mati-mati mahu membela kebenaran si fulan bin si fulan, hingga hilang rasional dan timbang iman.
Berpada-padalah meneladani sirah yang telah mati, jangan dicaci tulang di dalam bumi, kerana kesannya buruk di Sana nanti.
Kalau saya ada pedang, ’saif’ saya adalah untuk membela kehidupan, bukan mencantas si mati yang telah pergi.
Itu baru pahlawan yang JANTAN.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bagus!!!

Tanpa Nama berkata...

saye suke&bagos!!!

Catat Ulasan