Subscribe Twitter

Pages

Isnin, 15 Februari 2010

Hira', Thaur dan Thaif

Alhamdulillah aku berjaya menjejakkan kaki di tempat pertama wahyu diturunkan beberapa hari lepas, 'ibrah yang menusuk dan menyusuk kalbu ketika berada di Gua Hira', selepas itu, terus sahaja bergerak ke Gua Thaur, yang menjadi tempat persembunyian baginda s.a.w dan Abu Bakar al-Siddiq ketika peristiwa hijrah umat Islam ke Madinah.

Penat mendaki, malamnya terlentang keletihan, perjalanan aku dari Riyadh ke kota Makkah kali ini bersama dengan Prof. Madya Dr. Habibollah bin Haron, Ja'a dan anak prof, Firdaus.

Keesokannya kami bergerak ke Thaif sebelum berangkat pulang ke Riyadh, hampir separuh hari kami mencari tempat dimana sejarah mencatatkan baginda s.a.w dilontar batu oleh penduduk Thaif, dan kisah anak muda pertama di Thaif yang menerima Islam, iaitu 'Addas.

Penduduk Thaif enggan memberi kerjasama mahupun memberi maklumat tentang kawasan dimana sejarah itu berlaku, tiada apa yang ingin dihairankan, mereka enggan memberi maklumat kerana malu dengan apa yang mereka lakukan terhadap utusan Allah yang mulia itu, walaupun kisah itu telah berlalu lebih 1400 tahun, mereka masih terkesan dengan apa yang telah mereka lakukan. akhirnya kami berjaya mendapatkan maklumat tentang kawasan tersebut melalui seorang ahli Madinah, sebelum kami berpisah dengan pakcik tersebut, beliau sempat berkata yang dia bukan ahli Thaif.. jadi sekali lagi tidak hairan, beliau membantu kami untuk mencari kawasan tersebut, Akhirnya kami berjaya sampai ke kawasan dimana baginda s.a.w dilontar, dan kebun anggur tempat baginda melepas lelah dan mengelak daripada terus dilontar. Dan disitulah pemuda yang bernama 'Addas, beliau adalah pemuda Nasrani yang berasal dari kaum Nabi Allah Yunus bin Mata, memeluk Islam.

Insyaallah aku akan memasukkan gambar sepanjang rehlah kami berempat, sebagai i'tibar buat diriku sendiri..Wallahua'lam..

Isnin, 8 Februari 2010

Dimuliakan dan Bercahaya

Bercahaya Dan Dimuliakan.
Boleh jadi, bukan suatu pengalaman yang menarik amat untuk dikongsi. Namun aku berharap ianya kekal diingatanku, agar ada teladan hidup yang dapat ku cedok tatkala kealpalan menguasai diri, hidup bertemankan suram dan gundah gulana. Tetapi hanya bisa bercerita, gambarnya tiada kerana ku tak punya kamera..

Perjalanan dari Riyadh ke kota Madinah al-Munawwarah dan Makkah al-Mukarramah, menaiki bas yang dipenuhi rakyat IPB (India, Pakistan, Bangladesh ), yang bekerja di bumi Riyadh, terdetik dihatiku, Allah, betapa mewahnya hidupku di bumimu ini berbanding mereka. Kebanyakan mereka bekerja di sektok pembinaan, penyapu sampah, atau berniaga kecil-kecilan. Mencari sesuap nasi, menyusuri kehidupan di bumi sementara, gaji secara purata,+-500 Saudi Riyal(RS), terkejut aku mendengarnya, biasiswa yang aku perolehi menuntut di Imam University jauh lebih banyak, namun lebih baik daripada terus berada di negara mereka, menganggur tiada kerja, satu sen pun tak dapat..

Kami dari Imam University, berlima, aku dan Ja’a (kami orang Malaysia ye), Abu Bakr ( Tanzania ), Bilal (Cameroon ) dan Abd Rahman ( tak ingat dari mana ). Dengan tambang bas semurah, RS 70 (tambang bas serta penginapan ), kami berangkat dari stesen bas di Batha’, jam 4 petang, Alhamdulillah, pada jam 2 pagi keesokannya kami sampai di Masjid Nabawi, perjalanan merentasi padang pasir berjarak lebih kurang 800 km, benar-benar meletihkan.

Pengalaman kali pertama menaiki bas dari Riyadh ke Makkah pada awal Zulhijjah lalu untuk menunaikan haji.. Bukan beerti haji itu tiada erti, bukan beerti perjalanan untuk melaksanakan haji itu kosong dan sekadar jalan-jalan, ia adalah suatu perjalanan, bukannya jalan-jalan. Tak terdetik ketika itu untuk menulis sebagai peringatan untuk diriku sendiri, betapa ramai yang berkorban untuk menjejakkan kaki di bumi bercahaya dan bumi yang dimuliakan.

Aku bersyukur Allah memilih aku sebagai tetamunya di musim haji yang lepas, Allah memakbulkan doaku ketika di Sudan, aku nekad untuk mengumpul duit demi melaksanakan ibadah agung ini, ketika itu aku dipersimpangan, berdikit-dikit mengumpul wang untuk berkahwin ataupun haji diutamakan, akhirnya aku membekukan hasrat berkahwin dan haji diutamakan. Tak disangka-sangka, aku diterima menyambung pengajian di al-Imam University, Riyadh, pada sesi pengambilan lepas, kira-kira sebulan sebelum Zulhijjah membuka tirai. Setelah beroleh residence permit, terus sahaja aku mendaftar untuk menunaikan haji dengan jemaah di bawah universiti, (tanpa membayar seriyal pun, semuanya ditanggung universiti ). Subhanallah, rezeki yang sangat besar dan bermakna. Menunaikan haji pun dapat, berdikit-dikit mengumpul kewangan untuk baitul muslim yang ingin didirikan juga dapat.

Berjalan dan jalan-jalan.


Berjalan beerti kita melakukan sesuatu perjalanan dengan maksud tertentu, bermakna, kita punya matlamat. manakala berjalan-jalan pula, kita sekadar berjalan, mengisi masa lapang, berbosan-bosan di rumah, maka kita pun berbasi-basi di jalanan. Perjalanan tanpa tujuan adalah sesuatu yang merugikan.

Maqam baginda s.a.w.

Jauh pulak perginya mengenangkan musim haji lepas, cerita semula al-kisah setelah sampai di Madinah kira-kira jam 2 pagi, ketika itu raudhah telah pun sesak dengan manusia, merenung ‘ibrah, menitis air mata dihadapan maqam baginda s.a.w. Pertama kali aku sampai di Masjid Bagida s.a.w, meremang bulu roma tatkala berada dihadapan kuburnya, seakan ada suatu perasaan yang sukar diterjemahkan denagan kata-kata mahupun tulisan.

Allah..kadang-kadang tu, mungkin juga selalu, lisan menutur bicara, “aku mencintai baginda s.a.w ,“ tapi sunnahnya dipandang enteng, kolot katanya siapa yang mengikut sunnah. Tahunya marah ketika baginda s.a.w dicerca, divisualkan dengan karikatur menghina, selepas surut cercaan, kita pun surut, cinta dan marah berkala, marah kerana apa pun tak tahu, orang marah, kita pun marah, orang bilang cinta,kita pun bilang cinta, siapa baginda s.a.w, entah, aku pun tak tahu.. seperkara lagi, aku tidak berhasrat untuk komen tentang mereka yang berdoa menghadap kubur baginda s.a.w, sedang baginda mengajar umatnya berdoa menghadap qiblat.

Perkuburan baqi’


Seusai subuh dan solat jenazah, terus aku menuju ke perkuburan Baqi’, yang dikatakan terdapat lebih 3000 kubur para sahabat, sekali lagi cuba merenung ‘ibrah dan teladan agar diri ini sentiasa ingat, yang suatu detik kelak, atau mungkin sekejap lagi, aku juga akan mati.. Ah.. para sahabat itu, Allah s.w.t meredhai mereka, bagaimana pula aku, mengharap redha Allah, tetapi nafsu jahat menunggangi diri. Alahai.. kenapa lah diri ini tak suka kepada nikmat akhirat, mengutamakan nikmat dunia yang menipu, tidur itu lazat serta nikmatnya sementara, solat malam itu dibenci nafsu, tetapi lazat dan nikmatnya berkekalan di dunia kekal abadi.. salam sejahtera wahai ahli kubur, kalian mendahului kami dan insyaAllah kami akan menikuti kamu kelak.. Ampunkan daku wahai Allah, ampunkan ibu bapaku, ahli keluargaku..

Bahasa melayu bahasa termasyhur


Keluar tanah perkuburan, perut berkeroncong, menyanyi meminta diisi, kongsi duit dengan ja’a, menjamah roti dicicah dengan daging kambing. Senang betul urusan jual beli di Madinah mahupun Makkah, majoriti peniaga( majoritinya non Saudi, boleh jadi pemilik kedai adalah orang Saudi ), tahu berbahasa melayu, “apa khabar? Mahu apa? Kari kambing? Mari-mari, murah saja, jubah, kopiah..” mungkin kerana yang hebat berbelanja di dua tanah haram ini, datangnya dari Kepulauan Melayu. Sehinggakan jika aku memasuki satu-satu kedai, terus sahaja aku akan bertanya dalam bahasa melayu, “apa khabar pakcik, jubah ni berapa, murah sikit la pakcik..” haha..kerna aku yakin, peniaga tu faham..

Bergerak sendirian.

Setelah itu, aku berpecah dengan rombongan kami, bas membawa rombongan untuk menziarahi beberapa tempat di Madinah, seperti Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, dan Bukit Uhud, kemudian terus bergerak ke Makkah yang berjarak kira-kira 450 km,(bayangkan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat berhijrah, kita la ni dah ada bas, kapal terbang..) aku memilih untuk terus berada di Madinah sehingga malam untuk mengikuti program bersama ikhwah dari Universiti Islam Madinah(UIM).

Hanya sempat ke Quba’ dan Qiblatain, selepas zohor, sahabat aku di UIM, Abdul Salam menjemput aku di Masjid Nabawi untuk ke UIM. usai program kira-kira jam 11 malam, beliau terus bergegas menghantar aku ke stesen bas Saptco, untuk ke Makkah, aku membeli tiket untuk menaiki bas terakhir pada jam 1 pagi. Malam kedua aku tidur diatas kerusi bas, ah, esok satu hari lagi tidur atas bas, untuk perjalanan pulang dari Makkah ke kota Riyadh yang dipisahkan dengan jarak kira-kira 1000 km. Bukan aku yang memilih untuk bermusafir terkejar-kejar begini, tetapi komitmen di Riyadh menghimpit aku untuk berbuat demikian. Kira-kira jam 5.30 pagi, bas berhenti untuk solat subuh, majoriti penumpang sudah berihram Umrah, mungkin aku sorang je kot yang tidak mengenakan pakaian ihram, kain ihram aku ditinggalkan di beg Ja’a. Turun dari bas untuk solat subuh, aku dah tak boleh berjalan betul dah.. terkengkang-kengkang dan terhuyung hayang macam itik pulang petang, menggigil kesejukan, solat terketar-ketar..

Travel agency, pemandu dan penumpang.

Jam 7 pagi, aku sampai di Makkah, Ja’a menjemput aku untuk ke rumah tumpangan kami yang siap dipakejkan dalam harga RS70 kepada travel agency yang menguruskan perjalanan kami. Murah kan? Tapi bas dan penginapan tanpa bintang la, Cuma pemandunya dan penumpangnya sahaja yang mumtaz pada penilaian aku..hehe, pemandunya tiada lesen, tapi boleh lepas semua sekatan polis dengan selamat tanpa saman..tak ingat aku namanya, tapi beliau sangat mesra dengan kami, pelajar. Umurnya muda lagi sebaya kami barangkali. Bercerita pula tentang penumpang yang majoriti dari IBM, sangat friendly dan happening, bercerita dan berbual dengan ‘bahasa arab batha’, bukan ‘ammiyah Saudi, mahupun fusha(kata mereka ni kalam madrasah).

Antara yang best, “ sadiq, moya barrah”( kawan, air keluar)maksudnya dia nak kencing. Kemudian ketika kami berbual dengan pemandu yang sudah tidak bersekolah,umurnya boleh jadi masih belasan tahun atau awal 20 an, seorang warga bangla yang sangat ramah dan lawak ni kata (beliau marah dengan pemandu yang malas belajar ni),Ana iji hina syughul, ma fi madrasah,lau ana ma iji, ana madrasah hinak, fi Bangladesh, anta, madrasah maujud hina, mafi madrasah, kaslan,naum kasir,fulus ma iji”( aku datang Saudi, kerja, bukan untuk belajar, kalau aku tak datang sini, aku belajar kat Negara aku. kau, sekolah ada kat sini, tapi tak sekolah, malas, tidur banyak, duit tak datang).

Hantam saja lah kawan, yang penting maklumat hasil pebualan tu sampai, betul atau tak susunan bahasa(langsung tak betul) belakang kira. Bohot-bohot (banyak[urdu]) yang aku dapat dari mereka, pengajaran dan pengalaman dari kehidupan mereka yang susah.

Baitullah al-‘Atiq.

Rindunya dengan rumah Allah ni, mungkin bagi sahabat-sahabatku yang belajar di Makkah mahupun Madinah sudah biasa dan dengan dua tanah haram ini, tapi bagi aku yang berada di Riyadh ni, hanya mampu sekali-sekala saja lah untuk mengunjungi dua tanah haram yang bercahaya dan dimuliakan. Dan lebih lagilah rindu dan kepinginnya mereka yang berada di luar Arab Saudi, untuk berada di bumi terbitnya Islam dan bumi hijrah Baginda s.a.w. ni. Dan sekali lagi, pastilah penilaiannya di sisi Allah itu berbeza, mengikut kesungguhan, kewangan dan keletihan yang kita korbankan.

Kata bagida s.a.w :
ان لك من الأجرعلى قدر نصبك ونفقتك
Maksudnya : sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kadar keletihan dan belanja yan kamu keluarkan ( riwayat al-Daruqutni dan al-Hakim)

Zahir hadith ni menunjukkan pahala dan ganjaran bertambah bersesuaian dengan apa yang kita korbankan untuk mendekatkan diri dengan Allah. Maka mereka yang di Malaysia, Togo, Brazil, yang berdikit dan berjimat mengumpul duit untuk mengunjungi dua tanah haram ini, pastilah lebih besar ganjarannya disisi Allah berbanding mereka yang sedia ada berada di makkah mahupun Madinah. Wallahua’lam..

Sampai sahaja di Makkah pagi itu, aku sudah kehabisan tenaga, jalan macam itik, sehingga ditegur seorang pemuda makkah berhampiran Ummul Qura University. “hahaha..tamsyi bi syakli battah” ( kau berjalan macam itik),gelaknya melihat caraku berjalan, ye la, ketinggian aku mencecah 180 cm, duduk dan tidur dikerusi bas yang keras, dua malam berturut-turut(esok tambah sehari lagi). Kejang habis kaki dan badan.

Akhirnya aku tewas dengan keletihan, Ja’a tak bawa aku terus ke tempat penginapan kami, sebaliknya terus ke rumah Persatuan Pelajar Malaysia Makkah, bersama dengan Pok syeh, Apit, Acap dan Loqman. Sampai-sampai je, aku terus terbongkang keletihan, tak larat rasanya nak buat umrah. Tidur sehingga jam 10 pagi, mungkin tak sempat untuk aku melaksanakan umrah, jika sempat pun, pasti dalam keadaan tergesa-gesa. Kami mengisi perut di restoran Malaysia yang terletak berhampiran Masjid al-Haram. Bersiap menunaikan solat Jumaat, usai solat, perlu terus mengemas barang untuk terus pulang ke Riyadh. Allah.. tak sempat kali ini, moga ada peluang dikemudian hari getusku.. sampai dengan selamatnya di Riyadh lebih kurang jam 3.30 pagi.
Alhamdulillah getusanku dimakbulkan Allah, Dr. Habibollah, Pensyarah dari Malaysia yang mengajar di kuliah sains computer, Imam University, mengajak aku dan Ja’a untuk bermusafir ke Makkah selepas maghrib ini menaiki keretanya untuk tujuan Umrah, Alhamdulillah..

Demikian perjalananku sepanjang 3 hari serba sedikit demi meraih redha Allah.. Semoga ia menjadi kaffarah dosaku yang bertimbun..

Rabu, 3 Februari 2010

Hindari ' SUFI '

Entah bagaimana ingin aku aku mulakan, berat tangan ingin menaip aksara membongkar kealpaan, kian jauh dari agama yang tulen, aku yakin kecaman pasti akan datang bertubi-tubi, kebencian pasti menguasai hati, tetapi aku mesti membulat tekad, menulis tentang ini, bukan untuk sesiapa, tetapi untuk diriku sendiri, tekad menjadi hamba yang sedar kedudukan dan martabat sebagai hamba, bukan berpewatakan lagak tuan, menongkah bongkak menyusuri kehidupan, "dunia ini, ana yang punya ."
aku menasihati nafsuku, agar hidari SUFI, kelak kau tidak melihat keindahan Islam, lewat solat kau dibuatnya, kerana banyak berfantasi lagak si bodoh yang kebingungan, hiduplah kau dalam realiti, jangan terpacak dihadapan skrin yang membohong dan berdusta. Menangis menonton adegan sedih, terbahak-bahak melihat kelucuan spastik, geram dengan lagat pelakon yang hakikatnya dirancang untuk menipu dan melekakan engkau. Demikian mereka yang hanyut dengan SUFI ( suka filem ).
Tak dinafikan adanya filem yang bagus untuk ditonton, namun, sampahnya lebih banyak.. Jangan pula ada yang mencaci aku kerana membenci SUFI (suka filem ), kerana aku mencintai sufi yang sebenar-benar sufi, yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai tunjangnya menyelusuri badai dan fitnah kehidupan..

Ahad, 24 Januari 2010

Satu yang tiada sekutu

عن أبي الدرداء، رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: "أيعجز أحدكم أن يقرأ في ليلة ثلث القرآن؟" قالوا: وكيف يقرأ ثلث القرآن؟ قال "قل هو الله أحد، تعدل ثلث القرآن.

Maksudnya, Dari Abu Darda' r.a, dari Nabi S.A.W bersabda ; Adakah seseorang antara kamu merasa lemah( tak mampu ) untuk membaca sepertiga al-Quran pada setiap malam? para sahabat berkata ; Bagaimana hendak membaca sepertiga al-Quran ( terasa susah ), baginda bersabda, قل هو الله أحد، menyamai sepertiga al-Quran.( riwayat Imam Muslim )


Senangkan? untuk top up pahala? berganda-ganda Allah menganugerahi pahala kepada kita. Ada ke diantara kita yang tak menghafal surah al-Ikhlas? Katakanlah yang Allah itu satu (esa).
Tapi jangan lupa yang syaitan tak pernah lupa untuk melupakan kita, ingat! jangan ingat Allah tak ingat kezaliman yang kita lakukan di muka bumi ini, perbanyakkanlah lantunan zikir dan mengaji al-Quran dan mengkajinya, semoga semuanya itu menjadi kaffarah dosa kita kepada Allah, samada sedar, separa sedar mahupun tak sedar.

Allah ampunkan dosa kami..tiada yang lebih bahagia bagi seorang insan daripada dosanya diampunkan Allah..

Rabu, 20 Januari 2010

MANA SATU ANTARA SATU..

Berpuluh-puluh laman yang aku selak hari ini, pelbagai ragam bahasa yang ditonjolkan oleh penulis blog, baik kata pujian, pembelaan, cela dan maki hamun terhadap mereka yang tidak sebulu dengan si penulis, tuduhan, kafir mengkafir. sungguh aku risau dengan fenomena semua orang ingin berblog..Kalau semua menjaga adab berselisih, bijak menggunakan kata-kata, tida carutan yang hodoh, juga gambar-gambar sampah yang menyemakkan mata, blog mampu menjadi perantara dan wasilah menyebar kebaikan, kita kan tak tau bila dan ketika mana detik Allah menganugerahi hidayahnya kepada insan, boleh jadi ketika menjengok blog si dia, si aku atau si sesiapa pun..
Aku terus mencari sesuatu yang bisa aku jadikan tauladan, ada yang menyebabkan aku meremang ketika membaca, adakalanya bangga dengan blog kawan, sahabat dan teman, tatkala mereka menceritakan pencapaian mereka, terdetik cemburu yang murni di hati agar aku bisa menjadi sehebat mereka, bisa menyumbang untuk Islam,jika tidak banyak, lebih mulia aku menjadi pembancuh air untuk mereka yang sedang berjihad di medan peperangan, daripada duduk melepak di rumah, atau di bilik menggoyang kaki, mengunyah cekodok..
Tiada apa sangat yang ingin aku coretkan untuk pedoman aku sendiri buat kali ini,dikala semua pelajar Imam Universiti ligat mengulangkaji pelajaran, pereriksaan is around the corner.. sekadar ingin mengingatkan kembali nasihat seorang profesor madya di Imam Universiti. Namanya Prof. Madya Dr. Habibollah bin Haron, berasal dari Melaka, beliau mengajar di kuliah sains komputer di Imam Universiti, katanya, sebagai pelajar sepenuh masa, tiada stress untuk menghadapi peperiksaan, kerana sepatutnya, seorang pelajar sepenuh masa, kerjanya belajar je la.. sentiasa bersedia menghadapi peperiksaan, jangan dilebihkan benda lain daripada belajar.
Hmm.. ada benar, memang benar-benar betul.. bagi yang leka dan malas, memang buku hanya diselak di malam peperiksaan, bagi yang aktif berdakwah, tenaga telah dihabiskan untuk berdakwah kepada mereka yang malas dan leka, tinggallah saki baki tenaga untuk mengulangkaji pelajaran..
Ada yang mendakwa, dakwah mesti diutamakan, walaupun sebagai seorang pelajar. Benar, aku tak menafikannya, namun, perlu dilihat mana satu yang lebih perlu diutamakan, kata Steven R. Covey, first thing first.
Ada kerja yang important and urgent, ada kerja yang important but not urgent, urgent but not important dan ada juga yang not important and not urgent. Dakwah bagi seorang pelajar sepenuh masa, pada pendapat aku, adalah suatu kerja yang important but not urgent, dan kerja belajarnya dalah suatu yang important and urgent.
Belajarlah!! dicelah-celah belajar itu, berdakwahlah! jangan dakwah yang kita jalankan menjadi fitnah dek pelajaran yang tak tentu hala, keputusan peperiksaan serabai..huh, takut juga aku memikirkan tulisanku sendiri, mampukah aku cemerlang kedua-duanya? belajar dan dakwah? kelak bila sudah berkeluarga, mampukah aku terus menjadi cemerlang? Tapi kan, bukankah semua benda tu boleh dilihat disudut dan kaca mata dakwah? Allah, aku nak jadikan setiap gerak ku ini sebagai dakwah kepada mu ya Allah..susahnya..tapi tak mustahil.. Allahul musta'an..Allh, Jadikanlah aku dikalangan orang yang berjaya, di dunia dan akhirat..

Khamis, 24 Disember 2009

KUBUR MASING-MASING

Firman Allah s.w.t ;Wahai orang yang beriman, keatas kalian ( jagalah ) diri kalian, tidaklah orang yang sesat itu memberi mudharat keatas kalian, jika kalian telah diberi hidayah ( al-Maidah :105) .
Adakah ayat ini menjadi hujah kepada aku untuk berteleku dan berdiam diri daripada menyampaikan dan menyebarkan ayat Allah? Dengan alasan, ahh..cukuplah aku jage solat aku, jemaah di masjid setiap waktu, puasa, gi haji, tak payah nak disibukkan mereka yang tunggang-langgang tu, merempit, tunggang arak, dedah sana-sini, tak sembahyang, ponteng puasa.., kubur kan masing-masing, mereka tidak memberi mudharat kepada aku.
Perhatikan ayat diatas dengan teliti, seolah aku terlepas dari bebanan dakwah..
tapi, sedarkah aku firman Allah s.w.t; "Dan takutlah fitnah yang bukannya menimpa kepada orang yang zalim secara khusus.. (al-Anfal :25 )
Jika aku tidak berusaha seupaya aku, kemungkinan Allah akan menurunkan azab secara umum, bukannya khusus kepada si zalim, ah, bahkan berdiam diri melihat kemungkaran di depan mata, malah hati juga tridak diselimuti kebencian terhadap kefasadan, bukankah itu juga zalim namanya..
Diri ini terus beralasan, alah, kebathilah dah tersebar luas, nak dakwah apa lagi? takde makna daah..Kau fikir je diri kau, kubur kau, usah kisah dan peduli orang lain, aduhai malangnya diri ini, bukankah dakwah itu perlu dilaksanakan walau tidak diterima masyarakat? Allah menceritakan hal ini didalam al-Quran ; "dan ingatlah, ketika satu kaum dikalangan mereka berkata, mengapa kamu menasihati kaum yang dibinasakan atau diazab oleh Allah dengan azab keras? Mereka menjawab, "agar kami mempunyai alasan (terlepas tanggungjawab) kepada tuhanmu, dan semoga mereka bertaqwa, setelah mereka(orang yang zalim) melupakan apa yang diingatkan, kami selamatkan orang yang melarang kejahatan dan kami timpakan kepada orang yang zalim dengan siksaan yang keras disebabkan mereka berbuat kefasikan."
Ayat diatas menggambarkan ahli kampung yang berpecah kepada 3 kelompok, kelompok yang pertama adalah pelaku maksiat, puak yang kedua pula ialah mereka yang mengingkari perbuatan maksiat tersebut dan berusaha mengubahnya, manakala kumpulan yang ketiga adalah geng yang berdiam diri dan berteleku, tidak melakukan maksiat, mencegahnya juga tidak, bahkan mereka berkata kepada kumpulan yang kedua berusaha dijalan dakwah; "untuk apa kamu menasihatikaum yang dihancurkan dan diazab Allah dengan azab yang dahsyat? kenapa kamu menegah mereka sedangkan kamu tahu mereka tidak akan mendengar ajakan kamu dan berhak mendapat azab tuhan akibat kezaliman mereka? tak da faedah pun tegahan kamu keatas mereka..jawab golongan kedua itu, "kami sekadar melaksanakan kewajiban amar maaruf dan nahi mungkar, dan kami serahkan urusan selepas itu kepada Allah, kami sekada mengajak pemaksiat itu agar meninggalkan maksiat dan bertaubat kepada ALlah, muda-mudahan mereka menerima dakwah kami.
Tiada lagi alasan..alah.. jika engkau malas, katakan malas, "aku tak da ilmu," ceh, tak kan langsung tak da, tak kan kalimah syahadah pun tak faham..dakwahlah dengan kemampuan masing2, kalau dah malas sangat, aku minta satu je pada diriku ini, tolonglah jangan tambah kemaksiatan dan kemungkaran di muka bumi ini, jika engkau malas mencegahnya...be a good muslim.. tapi, tolonglah, sekurang-kurangnya jadikanlah hati engkau benci kepada maksiat, jika hati telah tenang dan rasa biasa je dengan kemaksiatan, dimana lagi iman ingin bertapak..Allahul musta'an..

Selasa, 8 Disember 2009

KEHIDUPAN DALAM KEMATIAN

Dan berilah perumpamaan kepada mereka ( manusia ) bahawa kehidupan dunia seperti air hujan yang kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuhan itu menjadi kering dan diterbangkan angin, dan Allah maha berkuasa atas segala sesuatu ( al-Kahfi :45 .
Ditenung dan direnung aksara dan makna ayat ini, aku bingung dengan percanggahan dalaman diriku, tadabbur yang menghasilkan keinsafan dan penyesalan, namun seringkali bersifat sementara. Ku yakini kehadiran maut yang berkunjung tanpa alamat, kudratku langsung tiada daya menahan dan menolak jemputannya, walau awal sedetik, hatta dita’khirkan sedetik juga mustahil.
Sebelum ku mulai safar sebentar tadi, ikrar telah termeterai, aku berjanji menjadi hambaNYA yang taat dan soleh, aku dibekalkan petunjuk agar selamat sampai ke destinasi, aku dipesan. “jangan kau memandan gmengikut apa yang kau mahu, tetapi kau mesti memandang mengikut apa yang sebenarnya!!” acap kali aku tewas, mengikut dan beramal berasaskan apa yang kau mahu, bukan apa yang sebenarnya Tuhanku mahu. Aku telah pun memulakan safar yang mencabar, perjalanan yang penuh muslihat, permainan dan tipu daya. Tiada masa rehat dan bersenang-lenang, kerana musuh yang menanti dan mengekori di sepanjang perjalanan langsung tidak pernah berehat daripada mengajak aku membuntutinya. Katanya, jalan yang aku pilih itu payah dan bosan, “kau ikut aku sajalah, tak penat, nikmat, senang amat..” hmm.. aku terfikir, si durjana itu tidak pernah tidurkah? Hah! Jika bangsat itu tidur, pasti aku bias rehat!
Selang beberapa ketika, aku bertemu dan Berjaya berhimpun dengan sekelompok manusia yang turut komited melalui jalan berliku ini, mereka mengajakku melangkah bersama, agar gagah, tidak goyah, saling kuat-memperkuat, seperti sebuah binaan. Katanya, kita umpama sekawan kambing, sukar untuk serigala mendekati kelompok yang banyak. Namun, jika menyendiri dan angkuh. Menganggap diri itu kuat dan tidak butuh pada kawan, maka, bersendirianlah kau melawan serigala.
Kali ini perjalananku lebih bermakna dan selamat. Namun, masih ada bahaya yang menanti, kerana memang fitrah manusia barangkali, tidak suka, mungkin juga gagal, untuk berfikir mengikut apa yang sebenarnya, tetapi memandang mengikut apa yang mereka mahukan.
Kumpulan ini kelihatan gagah bangat zahirnya, jumlahnya bukan sedikit, walau pada mulanya memang sedikit dan asing, dan pada suatu hari kelak, ketika perjalanan ini diambang dan dipuncak destinasi, akan berakhir sebagaimana bermulanya ia.
Dikala ini aku bingung dengan kita yang bersama tapi tidak bersatu, kita sedang dikerumuni musuh, bagaikan sekumpulan orang lapar yang mengerumuni hidangan lazat. Kita sering bercakaran, suka mengeluarkan orang dari jemaah kita. Kita lupa yang tuhan berkata. Bahawa umat ini adalah umat yang satu, kenapa kita bersungguh menyuruh saudara sekumpulan kita berfikir sebagaimana kita berfikir tentang hal yang cabang? Sedang tingkat dan tahap kesarjanaan kita berbeza. Aku hairan, kita ini sabarnya kurang, selalu ingin Berjaya dalam kegelojohan. Bukankah lebih baik dan perlunya kita menyatukan pemikiran yang kita semua telah sepakat dan setujui ia, serta mengajak mereka yang tidak pernah atau terlupa untuk memikirkannya, berfikir bersama-sama kita?
Zionis menari di sekeliling masjid al-Aqsa sambil menyanyi, “agama Muhammad telah hancur dan musnah, Muhammad telah mati, yang ditinggalkan hanyalah anak-anak perempuan yang lemah..” “arggh..!” jeritan Firdaus membingitkan telinga. “ kenapa kamu semua membatu melihat kami disini kesengseraan , tidakkah kamu melihat masjid-masjid yang berada di bumi suci ini dijajah, ada yang dirobohkan, dijadikan muzium, kandang lembu, kelab malam dan pusat pelacuran..!! bukankah kami juga saudara kalian? Bukankah kita diikat dengan simpulan yang sama?
Firdaus terus menangis, seluruh keluarganya dibunuh, esakannya bertambah kuat.. Dihatiku, kegeraman bercampur kesedihan. Geram dan benci dengan kedurjanaan si bangsat yahudi. Sedih dengna diriku dan saudaraku sekalian, ramainya yang menyembah barat dalam kehidupannya, yang punya kesedaran agama dan berilmu pula lain ceritanya. Tenggelam dalam dunia akademik, sehingga tidak timbul ilmu dan kepakarannya kepada masyarakat. Apakah tujuan ilmu didalami?
Rosaknya agama kristian kerana bertuhan tanpa agama. Terus yakin kepada Dia, tetapi hilang arah kerana rosaknya agama untuk berhubung denganNYA. Agama Islam kita rosak. Hingga ramai orang kita yang beragama tanpa tuhan, kerana kita terperangkap dalam ritual dan proses agama, kita gagal sampai kepadaNYA. Kita menyembah agama, bukan lagi tuhan. Kerana itu kita berbaklah, berkeluh-kesah dan memberontak. Kerana kita lupa yang kita hamba dan dia segalaNYA. Kita kelihatan seperti sangat beragama dek pengetahuan, dalam beragamanya kita, kita miskin dari hakikat DIA. Tidak terserlah kehambaan diri, tidak terlihat kebesaranNYA.
Aku sedih kita bodoh melihat hakikat keutamaan, kita berbalah tentang makna hadith ’nuzul Allah’ di sepertiga malam, maka lupalah kita tentang tuntutan sebenar hadith itu yang menyaran dan menggalakkan kita untuk bangun untuk berdoa, beribadah dan memohon ampun kepada Allah s.w.t, bukannya berbalah!!
Kata Firdaus, dia tidak dapat menemani safarku, tetapi berjanji untuk bertemu kembali di destinasi yang sepakat kami ingin tujui bersama, Cuma wasilah yang kami pilih berbeza.. tika merasa keseorangan, musuh yang setia menemaniku, yang tiada sifat putus asa dalam dirinya, kerap sahaja menyogokku dengan tawaran yang menggiurkan untuk menghiburkan hati dijalan hina menuju neraka. Kata Hamka, “ cinta itu iradah tuhan,dikirim ke dunia supaya ia tumbuh, kalau ia terletak diatas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain, kalau ia datang pada hati yang keruh, dan budi yang rendah ia akan membawa kerosakan, namun jika ia hinggap di hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat pada Ilahi..”
Benarlah wanita ini adalah fitnah terbesar bagi kaum Adam diatas muka bumi ini, kerana itu sesiapa yang telah berkahwin, umpama telah menyempurnakan separuh daripada agamanya, dan taqwa kepada Allah itu melengkapkan agama seseorang itu. Ah, siapa yang bisa terus hidup sendirian? Gejolak nafsu itu, perlu disalurkan kejalan syurga, kerana benih yang terhasil dari sulbimu itu bisa melahirkan permata yang menyatukan ummah, yang bisa menyedarkan si kaya yang mabuk, mengeluarkan kesengsaraan hidup si miskin yang merempat. Si kaya yang tersandar perlu disedarkan agar membantu si miskin yang terlantar. Dikala umur yang kian meningkat, aku juga butuh srikandi yang bisa menemaniku meneruskan safar ini. Agar aku punya pewaris, mungkin aku gagal untuk melihat Islam kembali memerintah bumi ini kerana umur yang punya batasnya, maka ku harap, pewarisku yang bakal menjulang panji megah ini. Teringat aku tok wan yang usianya melepasi separuh abad, menanam dan menyemai benih durian, kemanisan dan keenakan buahnya dan hasilnya, bukan lagi untuk dinikmati kerongkongnya, tetapi untuk anak cucunya. Begitulah aku, perlu menyediakan generasi selepasku, agar mereka bisa mengecapi hasil dan nikmat tatkala Islam menguasai alam.
Ikatan sesama Muslim yang kian hari tambah goyah dan longgar, aku tahu kemusykilan ini bukan mudah proses islahnya, kerap sahaja kita gelojoh mengusahakannya. Ada yang ingin cepat berubah menjadi pemerintah daripada terus diperintah dan dijajah. Akan tetapi sering kemahuan itu kita usahakan secara terburu-buru, emosi dan kejahilan. Jarang ditemui sifat kesabaran, ketabahan dan keteguhan dalam berazam dan berusaha. Ada yang ifrat, tidak kurang ramainya yang tafrit, bagi yang melampau dan gelojoh, aku melihat mereka ini seakan meledakkan kekuatan sebelum waktunya, seakan menjolok sarang tebuan. Huh.. keberanian tanpa kebijaksanaan pada hakikatnya, satu kebodohan yang mengundang kebinasaan. Tafrit? Usah bicara lagi, memang hari demi hari, jumlah muslim yang hilang sensitivity, sambil lewa dan memandang enteng masalah umat Islam ini kian ramai.
Allahuakbar 2x, ahh..! lamunanku terhenti dengan kalimah agung itu, jam di handphone ku jeling, menunjukkan jam 6.40 petang, waktu isya’ telah masuk di Riyadh, bergegas aku berwudu’, melangkah ke masjid yang hanya kira-kira 15-20 tapak dari bilikku, tak sempatku habiskan safarku, hmm, “ balik solat nanti nak mengelamun lagi lah, nak tamatkan safarku, mungkin boleh dapat good ending, Allah matikan aku dalam iman..

Khamis, 29 Oktober 2009

SUDAN KAH ATAU RIYADH..SEBUAH MONOLOG..

Alhamdulillah, kini aku telah berada di Riyadh, menyambung pengajian diperingkat Ijazah sarjana muda di Universiti Imam Muhammad ibn Sa'ud al-Islamiyyah.. Seminggu sebelum aku terbang ke Riyadh, sempat berjumpa dengan orang yang saya ingin sangat jumpa, Ust mad (Ahmad Izzuddin ), beliau sedang menyambung pengajian di peringkat PhD di UIAM dalam bidang hadith, pesan beliau pada saya, " bagus mengaji di Saudi, tapi anta jangan beku lah... "

Hmmmm.. kelihatan ada benarnya kata-kata beliau, walaupun aku baru dua hari berada di kampus, dan mungkin terlalu awal untuk membuat penilaian.. Perasaan dihati juga tidak sama berbanding ketika pertama kali aku menjejakkan kaki di Khartoum yang menghidangkan seribu satu dugaan, tetapi perasaan aku terus gembira, walaupun hingga ke hari terakhir aku di Sudan, terus berhadapan dengan masalah, tapi, entah... cabaran yang mematangkan pemikiranku..

Berbanding Riyadh, entah kenapa perasaan kurang seronok sebagaimana pertama kali ke Sudan dan sepanjang berada di bumi panas itu.. boleh jadi aku memilih untuk ke Saudi adalah untuk memudahkan aku untuk melaksanakan haji, Jika di Sudan aku diduga Allah dengan kesusahan, tetapi hidup di Saudi, aku bakalan diuji dengan kemewahan pula barangkali.. Allahul musta'an...

Aku tidak ingin menghukum suasana disini terlalu awal, dan tidak pula berniat memburuk-burukkan tempat belajar aku yang baru ini..aku juga perlu buktikan yang kita mampu mencipta suasana, bukan sekadar mengikut arus suasana sekitar yang bisa membantutkan pemikiran dan ketajaman daya fikir.. Sudankah atau Riyadh, aku telah pun memilih Riyadh dan meninggalkan Sudan, jasadku telah meninggalkan Sudan, tetapi hatiku tetap punya ikatan aqidah dengan sahabat-sahabatku disana... Allah!!!

Selasa, 15 September 2009

AKU SEORANG HAMBA..

Setiap insan tahu bahawa dia tidak datang ke dunia ini dengan kebijaksanaannya, tidak juga dengan kebijaksanaan ibu bapanya, kalaulah insan wujud di dunia ini dengan pilihan dan kebijaksanaannya, tentu semua ingin dilahirkan dengan rupa paras yang cantik dan lahir dengan penuh kemewahan, dan lahir dengan penuh sempurna. Namun ternyata ini semua diluar kawalan insan. Ini semua menyedarkan aku tentang adanya kuasa yang maha agung yang mengatur semua ini.

Dan Allah tidak akan mempersoalkan insan tentang keputusan yang diluar tanggungjawab kita, samada kita putih atau hitam, kaya ataupun miskin, yang dipersoalkan kelak adalah sejauh mana aku melaksanakan tanggungjawab dan kewajiban di dunia ini..
Kerana itu aku wajib mentaati suruhannya, dan meninggalkan larangannya dalam apa jua keadaan. Setiap amalan yang aku ingin lakukan perlulah dibatasi dengan batasan al-Quran dan Sunnah. Halal dan haram perlu dijaga, jika dilanggari, maju bagaimana sekalipun, harta melimpah ruah, pasti tiada ketenangan, hatinya dihiasi hasad dengki, musuhnya banyak..Allah.. ampunkan aku..

Bertaqwalah dimana jua engkau berada..dikala seorang diri.. tika di khalayak ramai..
taqwa itu letaknya dihati..

tidak Allah ciptakan aku melainkan untuk mengabdikan diri padaNYA...
the purpose of our life..

Ahad, 6 September 2009

RAMADHAN.....

Ramadhan telah memasuki separuh masa kedua, entah telah di ampun atau tambah di benci oleh Allah Jalla wa’Ala dan segala amalan tertolak dek kerana riya di hati yang tiada siapa tahu, puasaku bakalan jadi sebagaimana sabdaan bagindakah? Berapa ramai yang puasa yang hanya mendapat tidak lebih dari lapar dan dahaga?..na’uzubillah..
Adakah aku benar-benar berpuasa? Atau sekadar tak makan dan minum sehinga maghrib? Puasa bulan tidur? Tidur orang berpuasa ibadaaaah jawab mereka.. ibadahkah tudur selepas subuh hingga azan zuhur yang menggerakkan kita? Sedang di malamnya lepak di kedai mamak, bersembang tak tentu hala sehingga jam 3 pagi, atau berchating, surf internet sehingga subuh? Ibadahkah yang sedemikian?( Ini belum di tambah sebut tentang kedhaifan hadith yang dijadikan hujah penidur itu lagi..)
Wahai sekalian pemuda! Berkahwinlah jika mampu! Jika tidak, berpuasalah! Sesungguhnya pada puasa itu ada penawar… kenapa puasa? Kenapa tak sembahyang ke, berzikir sampai nafsu jadi maintain ke? Tak pun pergi buat umrah ke.. Subhanallah.. agungnya pahala puasa kerana hanya Allah yang akan membalasinya, tiada siapa tahu kita menadah mulut di bawah shower ketika mandi.. mendongak ke langit ketika menunggang atau membonceng motor di kala hujan.. segalanya menjadi rahsia antara kita dengan Allah.. ya! Nafsu itu perlu dipuasakan sekali! Kerana itu antara yang membatalkan puasa bukan sekadar makan dan minum, tetapi bersetubuh juga membatalkan malah terbeban keatasnya kaffarah..
Saya dan kita perlu menghitung-hitung diri ini sebelum malik yaumuddin menghitungnya di akhirat kelak, hitungan yang sangat teliti, tiada satu pun amalan tercicir daripada disebut dan ditimbang, walau hanya sebesar biji sawi..
Ya Allah.. Aku memohon redha dan syurgamu.. Aku Memohon perlindungan dari kemarahan dan neraka mu.. sesungguhnya.. amat rugilah aku, malanglah aku..jika ramadhan berlalu, namun dosaku tak terampun..