Jumaat, 27 Mei 2011
berhijrah untuk lebih baik
Walaupun pengunjung blog ni pun tidak lah ramai mana..sekadar mengumumkan, saya telahpun berheti menulis disini..dan telah berpindah menulis di http://ahmadsabiq87.wordpress.com
semoga Allah mengira apa yang ingin saya lakukan sebagai suatu kebaikan dan diganjari dengan kebaikan didunia dan akhirat..amiiin..
Wassalamualaikum...
Ahad, 24 April 2011
Sebuah Kehidupan
Disaat buntu memikirkan aksara dan butiran lantunan zikir untuk mengelak diri menjadi pencandu maksiat, dikala aku bingung memikirkan keadaan batang tubuh kurniaan tuhan ini, apakah kelak dibelai keindahan syurga, atau dihiris dan dicanai dengan kedahsyatan neraka..
Benarkah manusia dicipta secara fitrahnya menyukai maksiat dan membenci kebaikan? Jika lisan membenarkannya, maka songsanglah pemikiran..
Terkadang aku terkhayal..apakah jiwa merasa selesa mengingkari Ilahi? atau fitrah akan memberontak, cuba mengeluarkan diri dari kejahatan, menyuluh lorong menuju hidayah..
Kedahsyatan Neraka..
Terselak lembaran kisah yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah dalam karyanya al-Tawwabin, seorang lelaki yang bermaksiat di malam hari, tatkala terdengar ayat Allah yang dibutirkan lisan, mati ketakutan!!
نَاراً وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ
maksudnya : api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, penjaganya malaikat yang keras dan kasar (at-tahrim :6)
Sedangkan api lilin tidak tertanggung, si perokok tidak menjamah bahagian rokok yang dibakar.. Fitrah itu membenci derita, tetapi jalan menuju kebahagiaan penuh penderitaan…ketika aku di Sudan, adakalanya rasa tiada upaya lagi menanggung kepanasan suhu bumi Sudan, apakah ada insan yang gagah disalai neraka..?
Inikah Kebahagiaan?
Kata orang, bahagia itu tidakkan mengunjungi insan tanpa harta, aku bingung, kenapa mereka mengerumuni kekayaan tanpa keberkatan? kehairanan bertandang, kenapa insan berkata, "untunglah si dia, memiliki perniagaan yang berjaya, hidup di rumah yang besar, isteri yang menyayangi, anak-anak yang ramai..." kenapa insan tidak melihat manusia tanpa tangan, jalan berkerusi roda, hidup dengan bantuan tong oksigen..lalu dia melihat dirinya yang serba lengkap, sempurna tanpa cacat celanya.. tidakkah kamu melihat bahawa Allah mencurahi nikmat padamu?
Kehancuran Nikmat.
Ketika kaki melangkah, mata meliar memerhati gelagat manusia yang ritmanya berbeza disekitar Masjidil Haram seminggu yang lalu, aku terpaku tatkala melihat sekujur jenazah diusung didepanku, wajahnya terbuka belum dibaluti kelihatan sayu, entah dari mana datangnya rasa gusar di jiwa, hendak ditangisi atau diteladani… malamnya pula mendapat khabar seorang sahabat di Madinah menamatkan perjalanannya di dunia penuh muslihat ini..
Gusar insan pada kematian amat berasas, si kaya yang memiliki emas sebesar Gunung Kinabalu, kelak yang membungkus tubuhnya sekadar kain putih cuma.. mati merupakan penghancur segala kenikmatan dunia, janganlah dirimu terpedaya dengan sihir dunia..yang menghidangkan engkau syurga sementara..
Si dia yang tidak berharta pula, ada yang merasa dunia ini bagaikan neraka, menyalahkan Yang Maha Esa, melahirkannya ke dunia dengan serba tiada..Sedang Allah lebih mengetahui tentang hambaNya..
Aku enggan menjadi tak tentu hala, hidup tanpa tuju dan hala.. sesungguhnya dunia ini sementara.. Jadilah diriku seorang musafir, yang melalui dunia ini, untuk menuju ke negeri kekal abadi.. Janganlah diriku menjadi hamba dunia, janganlah jiwaku meratapi kesusahan dan sengsara di dunia..kerana segalanya bersifat sementara.
Kata Baginda saw :
عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أكثروا ذكر هادم اللذات
Dari Abi Hurairah r.a berkata, berkata baginda saw : Perbanyakkanlah mengingati hal yang memusnahkan kelazatan ( mati ) [riwayat tirmizi]
Biarkan diriku dicaci manusia kerana kebodohan, kerana aku yakin, insan yang tidak tahu menulis dan mengeja namanya sendiri itu lebih bijak dari manusia yang bermaksiat pada tuhanNya dan berani mencuba-cuba tentang kepanasan nerakaNya..
alangkah bodohnya manusia yang melupakan kematian..menganggap dunia ini tiada penghabisan, menjadikan nafsu sebagai tuhan..
Arwah Nenek..
Allah memberi aku kesempatan berada disisi nenekku ketika saatnya menghembuskan nafas yang terakhir, sehingga hari ini, masih terbayang keadaannya yang bisa menjadikan aku berfikir, kelak entah bagaimana pengakhiranku..adakah baik..? adakah buruk..?
sesungguhnya amalan seorang insan di muka bumi ini, kemuncaknya adalah disaat kematiannya.. insan yang hebat kehidupannya, soleh amalannya, kehidupannya dipenuhi dengan amalan ahli syurga, namun, jika diakhiri dengan kesyirikan, apalah nilainya segala yang dilakukan sepanjang hidupnya..
Demikian insan yang hidupnya dipenuhi dengan amalan ahli neraka, namun diambang kematiannya, dia bertaubat, akur pada dosanya, merindui keindahan kemaafan ilahi..berbahagialah insan itu.. diselamatkan Allah dari musibah neraka..
Keampunan tuhan dan Uwais al-Qarni
Imam Muslim meletakkan satu bab menceritakan tentang fadhilat Uwais al-Qarni.. Beliau hidup di zaman baginda saw.. namun tidak berkesempatan untuk bertemu baginda, baginda menceritakan tentang beliau.. sehinggakan Umar al-Khatab sangat bersungguh-sungguh untuk bertemu dengannya, semata-mata untuk meminta Uwais al-Qarni berdoa memohon keampunan untuk dirinya.. demikian insan yang mengerti maksud dan tujuan kehidupan.. apakah yang lebih bahagia buat insan melainkan dirinya diampunkan oleh Allah swt..
Semoga Allah mematikan kita semua dalam keadaan iman..
ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون
Maksudnya : dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim[ali imran :102]
Selasa, 29 Mac 2011
Bukan sekadar sebuah kenangan..
Bukan sekadar sebuah kenangan..
Kehidupan di bumi asing, Riyadh, adakalanya mencetus sunyi tanpa zikir, alpa dari lantunan ingatan kepada tuhan yang esa..
Terhuyung-hayang mencari arah tuju demi membina sa'adah di negeri kekal abadi, lebih-lebih lagi kehidupan setelah bernikah, dan isteri dipisahkan ribuan kilometer.
Cita-cita tinggi..meninggalkan tanah halaman nun jauh disana, demi mengejar ma'rifah, mendekatkan diri kepada sang pencipta, ilmu diburu bagaikan sang kelaparan yang tekun memerhatikan kijang yang asyik menghirup air di tebing sungai.. menunggu masa untuk melepaskan das tembakan..namun cita-cita itu adakalanya tersimpang dari landasannya, alpa, leka dan lalai…
Aku disini enggan menjadi pendosa, semua orang tahu, Allah itu maha melihat, mendengar dan mengetahui, sehinggakan daun layu yang berguguran dimuka bumi juga dibawah pengetahuan ilahi..tapi sejauh mana insan merasai pengawasan tuhan? Seringkali nafsu mengambil alih jawatan tuhan disisi manusia..
Aku berkenalan dengan ramai insan yang pertama kali kutemui disini, namun.. sejauh mana perkenalanku dengan mereka menjadikan aku lebih rapat denganMu ya ilahi..dan apakah perkenalan mereka denganku menjadikan cinta mereka padaMU lebih utuh?
Dr Habib's travel=)
bersama anak sulung beliau, Akmal, di puncak Bukit Nur(Gua Hira')
Perkenalanku dengan keluarga ini sedikit unik bagiku, semoga perkenalan ini Allah merahmatinya, dibina atas asas aqidah yang menjadi tunjang dan pasak setiap individu muslim…
"dekat tak jemu…jauh tidak dilupa"
"makanan yang dijamah banyak tangan itu, berkat…"
"kekayaan bukan disimpan, tetapi dikongsi bersama.."
"pelajar full time, kerjanya belajar,,bukannya dibelek buku itu di malam peperiksaan.."
Huh..entah berapa banyak lagi nasihat yang ditinggalkan oleh beliau, perjalanan ini benar-benar menuntut kesungguhan..sokongan dari sahabat handai.. Kini beliau telahpun meninggalkan bumi Riyadh, kembali ke pangkuan UTM..
Akhirnya..
Kambing yang seekor lebih mudah dibaham serigala…namun jika kambing itu berada didalam kelompok..maka ia lebih selamat….
Demikian manusia…entah siapa yang mampu hidup sendirian tanpa sokongan disekeliling…
Entah apa yang aku coretkan ini..kenangan kah..atau peringatan.. aksara yang tidak tersusun kemas..boleh jadi mengundang kebosanan, manusia menjauhkan diri darinya..namun semoga ia member sedikit bekas pada hatiku..agar terus melangkah..menuju redha ilahi…
Khamis, 24 Februari 2011
Undangan Tuhan
Manusia bakalan sesat jika meninggalkan buku manual yang menunjuki tatacara hidup yang sebenar. Manusia tak mungkin boleh hidup dengan sebenar-benar kehidupan tanpa merujuk kepada buku panduan yang diturunkan tuhan rabbul jalil..
Manusia akan hilang punca dan arah tuju kehidupan jika hidup tanpa panduan ilahi ini..asalnya dicipta sebagai satu hidupan dimuka ini, boleh saja ia berubah daripada hidupan kepada hidup-hidupan, daripada memiliki kemanusiaan, berubah kepada kebinatangan..
Wahai diriku dan manusia sekalian…sahutlah undangan Allah jalla wa 'ala yang tidak pernah menzalimi hambanya..
والله يدعو إلى دار السلام ويهدي من يشاء إلى صراط مستقيم
Maksudnya : dan Allah menyeru (manusia ) ke Darussalam ( Syurga ) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kejalan yang lurus. Surah Yunus :25
Sesungguhnya undangan ini bukan kepada orang tertentu, tetapi kepada sesiapa yang sudi untuk menerimanya, adapun yang enggan, tiada paksaan…
كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى. قيل: يا رسول الله من يأبى؟ قال من أطاعني دخل الجنة، ومن عصاني فقد أبى
Maksudnya : setiap dari kalangan umatku akan memasuki syurga kecuali mereka yang enggan. Seorang sahabat bertanya : siapa yang enggan memasuki syurga wahai rasulullah? Jawab baginda : sesiapa yang mentaati aku, dia akan memasuki syurga, sesiapa yang mengingkari aku, dia itulah yang enggan ( memasuki syurga ). ( Sahih Bukhari ).
Bacalah al-Quran dan sunnah baginda saw yang diturunkan sebagai panduan kita menyelusuri kehidupan.. usah biarkan diri kita hidup seperti orang yang bermain golf tanpa lubang..bermain tanpa sasaran dan tujuan.. jangan kita biarkan hidup tanpa tujuan…jadikanlah setiap pergerakan dan diam kita sebagai satu usaha mencapai dan menggapai syurga yang didalamnya redha Allah..
Setelah dibaca, cubalah untuk fahami..kerana al-Quran adalah kitab yang sangat mudah difahami, majoriti ayatnya boleh difahami tanpa bersusah payah bertanya kepada orang lain, mampu saja difahami dengan melihat terjemahannya..
Demikian kata Ibn Abbas : tafsir terbahagi kepada 4 kategori..satu daripadanya ialah tafsir yang tiada seorang pun yang punya keuzuran untuk tidak mengetahuinya.
( Tafsir Tabari 1/75 )
Contohnya ayat yang berkaitan dengan balasan baik dan buruk, pengetahuan tentang Allah dan hari akhirat, galakan dan ancaman.. InsyaAllah kita bisa memahaminya jika ada kemahuan dan kesungguhan menerima undangan Allah jalla wa 'ala..
Sampai bila kita sekadar membaca dan menghafal.. fahami dan hayatilah wahai aku dan manusia sekalian..ayat-ayat Allah.. selamatkanlah diriku dari menjadi dikalangan orang yang menolak undangan tuhan…
Sabtu, 8 Januari 2011
Debu di Kaca Mata...
Tika aku memilih untuk meninggalkan USIM, ramai yang marah dan pelik dengan tindakanku, kata mak.. " orang lain bersusah payah nk dapat tempat ke universiti, kau senang-senang nak berrhenti"
Tiga tahun sebelum itu, aku ditawarkan melanjutkan pelajaran ke UM, juga dibiarkan berlalu, puas mak memujuk untukku menerima tawaran tersebut..ayah marah-marah padaku, aku tahu mereka berharap untukku melanjutkan pelajaran ke universiti tersebut..
Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh
Selepas meninggalkan USIM, aku memilih Sudan, masih kuat diingatanku, ketika hendak pergi membeli tiket, aku dan mak menangis bersama, mak menangis untukku mengubah fikiran dari berkelana dibumi yang terkenal dengan pergolakan, barangkali itulah yang buat mak gusar untuk melepaskanku..bayangkanlah akulah satu-satunya anak mak yang membesar didepan matanya sehingga berjanggut bermisai, abang-abang yang lain, semuanya bersekolah asrama, jarang berada dirumah, membesar disekolah, berbanding aku, anak emak...
Jika mak menangis agar aku mengubah fikiran, aku pula menangis memujuk emak untuk mengizinkanku, sedang jihad peperangan juga memerlukan izin dari ibu dan ayah.. akhirnya mak mengizinkan aku melangkah mengejar impian.. tapi aku tahu itu satu keputusan yang sangat berat buat mak..
Sentiasa rindu ibu pada anak-anaknya mengatasi ingatan anak-anak pada seorang ibu..
Bukan seorang yang pelik dengan keputusanku berkelana dibumi Sudan, tetapi itulah yang Allah tunjuki buatku pada waktu itu.. setibanya di Sudan, aku pula yang jadi pelik melihat ikhwan akhawat dari Malaysia sekalian, kuat dan tabahnya mereka..
Rezekiku di Sudan tak lama..satu demi satu ujian menimpa, boleh jadi itu sebab mak berat melepaskanku, tapi, semua kesusahan itu, mematangkan aku.. aku tetap ketawa dan gembira kerana memiliki sahabat-sahabat yang hebat..
Pernah satu malam di Sudan, perutku bermain seruling..kelaparan mencucuk, duit dah tak ada, tiba-tiba seorang sahabat dapat membaca riak wajahku, " nah sabiq, amik duit ni beli maggi dengan telur, masak untuk aku sekali ea.." aku tahu duit dia pun entah tinggal berapa junaih je pun di poketnya.. tapi kami susah bersama..terima kasih ayyuhal ikhwah akhawat....
Sudan oh Sudan..terima kasih ya Allah..mengenalkanku dengan bumimu ini...
Tika mengetahui aku diterima melanjutkan pelajaran di al-Imam Universiti, Riyadh, aku melonjak keriangan, memanjat kesyukuran, seolah-olah, itulah jalan keluar segala masalah yang kuhadapi di bumi Sudan,..
Hmm..susahnya hidup di Sudan, mewah dan manjanya hidup di Riyadh... susahnya di Sudan, ada didikannya, ada ibrahnya,,, senang di Riyadh, semoga ada juga didikan dan insafnya.. semoga Allah jadikan kita hamba yang berfikir tentang ayat-ayatnya... ayat-ayat yang dibaca(al-Quran) dan ayat-ayat yang dilihat(alam semesta)..
Mak...ayah....rehlahku ini, mengajarku untuk lebih menghargai, menyayangi mak dan ayah..terima kasih kerana sudi melahirkanku dan membesarkanku..
Allah..bantulah aku untuk berbakti pada ibu dan ayah... Jauhilah aku dari tipu daya syaitan yang inginkan aku menderhakai mereka....
Rabu, 15 Disember 2010
Izinkan Aku Megucup Dahimu..
Aku ingin sekali berkongsi rasa, sangat menyentuh hati, ingin aku nukilkan terjemahan satu kisah yang berlaku di Bandar Riyadh ini,
Seorang lelaki salih, katanya , 'aku sedang memandu kereta berhampiran pasar 'uwais, tiba-tiba aku melihat seorang pemuda sedang mengusik seorang pemudi. Aku merasa ragu-ragu untuk menegur mereka, aku berazam juga untuk menasihati mereka, turun sahaja aku dari kereta, pemudi itu melarikan diri, pemuda itu pula menyangka aku adalah dari Badan amr ma'ruf nahi munkar, aku pun memberi salam, kataku : "aku bukanlah polis, ataupun badan pencegah maksiat, aku hanyalah seorang saudara yang sukakan kebaikan padamu dan aku suka untuk menasihatimu"
Kami pun duduk dan aku mula mengingatkan dia tentang Allah sehingga jatuh air dari matanya, kami bertukar nombor telefon sebelum berpisah.. selepas dua minggu, aku meraba-raba telefon di poketku, terdetik ingin menghubungnya, aku terus menghubunginya, "assalamualaikum, apa khabar, kenal aku?" jawabnya : " bagaimana aku tidak kenal suara yang aku dengar darinya hidayah, menunjukkan aku cahaya dan jalan kebenaran?
Kami membuat temu janji untuk bertemu selepas asar hari tersebut..ditakdirkan Allah, aku didatangi tetamu sehingga aku terlewat sejam daripada waktu yang dijanjikan, aku berfikir samada hendak pergi ataupun tidak..? "aku telah berjanji, aku mesti pergi walaupun lewat," ketika aku mengetuk pintu rumahnya, bapa pemuda itu yang membukanya..
Tanya aku : assalamualaikum, adakah fulan ada?"
Jawab bapanya : "waalaikumussalam," dia hanya memandang aku,
Tanya aku lagi, "fulan ada?"
Dia memandang aku dengan pelik sekali, kemudian dia berkata :" ini tanah quburnya, kami baru mengebumikannya sebentar tadi.."
Kataku : "dia baru berbual dengan aku pagi tadi"
Bapanya berkata :"dia bersolat zuhur di masjid, kemudian dia membaca al-quran, kemudian pulang untuk qailulah(tidur sebentar diwaktu petang), ketika kami ingin mengejutnya untuk makan tengahari, Allah telahpun mencabut nyawanya.."
Katanya lagi : "anak aku adalah seorang yang suka menzahirkan kemaksiatan, tapi…sejak dua minggu yang lalu, dia dah berubah, dia yang mengejut kami bangun menunaikan solat subuh, sedang sebelum itu, dia enggan bangun ketika kami mengejutnya..Allah telah menganugerahinya hidayah.."
Sambungnya : " bila kamu kenal anakku wahai saudara? "
Kataku : " dua minggu yang lalu "
Kata bapanya : "egkau yang menasihatinya?"
Jawabku : " ya"
"biarkan aku mengucup dahimu.."
........Ya Allah..mahalnya hidayahmu...benarlah.. seseorang yang keseluruhan hidupnya beriman padaMu, belum tentu matinya juga dalam keadaan iman..
Orang yang hidupnya bergelumang dengan dosa, belum tentu matinya juga dalam kekufuran, Allah berhak mengurniakan hidayah kepada sesiapa pun..
Ampunkan kami ya Allah...hidupkanlah dan matikanlah kami dalam iman...
indahnya kesudahan hidup si pemuda itu...aku ingin menjadi orang yang tamak pada rahmatMu ya Allah...